Saturday, June 9, 2012

Asal-usul Bangsa Thai

Jika anda benci kepada bangsa sendiri, ini bermakna anda bukan manusia normal. Manusia normal amat mencintai bangsanya. Saya pun begitu. Saya berbangga dilahirkan sebagai orang keturunan Thai beragama Buddha.

Bangsa Thai merupakan bangsa yang besar dan penting sejak zaman dahulu kala. Bangsa Thai mempunyai tamadun yang tinggi seperti bangsa-bangsa besar lain di muka bumi ini. Pakar arkeologi, pakar sejarah dan pakar sosiologi Inggeris, Amerika, Perancis mahu pun China yang telah mengkaji sejarah dan kesusasteraan China berpendapat bahawa petempatan Bangsa Thai telah lama bertapak di selatan Negara China sekarang sebelum bangsa China datang ke tempat tersebut. Maknanya Bangsa Thai tinggal di selatan China lebih awal daripada kaum atau bangsa China. Apabila dicerobohi bangsa China, maka sebahagian bangsa Thai pun berhijrah ke selatan. Pakar berpendapat, jumlah bangsa Thai ketika itu sama banyak dengan bangsa China atau mungkin lebih banyak. Namun, mungkin kerana kekuatan tentera yang kurang, (atau untuk menggelakan peperangan) maka terpaksa mengalah kepada China. Sebahagian lagi bangsa Thai yang tidak berhijrah terpaksa tinggal bersama bangsa China dan melalui proses asimilasi, bangsa Thai hilang ditelan bangsa China (sebenarnya bangsa China terdiri daripada puluhan suku kaum, termasuk kaum Tai. Kaum Han yang besar pun telah hilang ditelan bangsa China). Sekarang ini bangsa Thai tinggal secara bertaburan di pelbagai tempat, dari selatan Negara China, daerah Assam di India, Indochina, Thailand dan Malaysia. Oleh itu, nama bangsa Thai juga ada pelbagai, misalnya Tai, Thai Yai, Pu Thai, Thai Dam, Thai Khao, Thai Leu, Thai Lao, Thai Yuan dan sebagainya. Di Asia Tenggara, mungkin juga bangsa Thai telah ditelan oleh bangsa lain yang lebih besar sebagaimana yang berlaku di China.

Terdapat pelbagai teori tentang petempatan awal bangsa Thai.

1. Petempatan awal bangsa Thai terletak di sekitar Sechuan. Setelah dicerobohi bangsa China, bangsa Thai berhijrah ke selatan iaitu ke Yunan dan Indochina.

2. Petempatan awal bangsa Thai terletak di sekitar Pergunungan Altai. Maksudnya Thai berketurunan Mongol yang dipanggil Lao atau Ta Mung. Oleh sebab dicerobohi, maka bangsa Thai berhijrah ke selatan China dan Indochina.

3. Petempatan awal bangsa Thai terletak bertaburan dari selatan China, bahagian utara Asia Selatan dan menganjur ke wilayah Assam, India.

4. Petempatan awal bangsa Thai terletak di negara Thai sekarang berdasarkan kajian ke atas tulang-tulang dan artifak peninggalan Zaman Batu yang dijumpai di beberapa tempat di Negara Thai.

5. Petempatan awal bangsa Thai terletak di sekitar Indochina dan "di sekitar Lautan Melayu". Lautan Melayu ini bermula dari selatan Myanmar dan selatan Thailand, menganjur ke Semenanjung Malaysia hingga ke Singapura. Di sebelah timur disempadani Kepulauan Borneo. Manakala, sebelah barat disempadani Pulau Sumatera. Dalam Geografi kita tidak ada istilah "Lautan Melayu", tetapi ada Teluk Siam, Teluk Andaman, Selat Melaka dan Laut China Selatan. Semua ini termasuk dalam Nusantara. Jadi, teori yang terakhir, bangsa Thai berasal dari Daratan Asia Tengara, Nusantara atau Kepulauan Melayu.

Pengkaji kumpulan ini menggunakan kaedah kajian baka yang mengkaji gen, kumpulan darah dan Hemoglobin E. Hasil kajian mendapati kumpulan darah bangsa Thai mempunyai persamaan dengan orang Jawa di selatan, berbanding dengan orang China di utara. Kesimpulannya, orang Thai bukan keturunan daripada China. Manakala hasil kajian Hemoglobin E oleh Universiti Khonkhen, mendapati Hemoglobin E banyak terdapat pada orang Asia Tenggara, misalnya orang Thai, Laos, Myanmar, Mon dan sebagainya. Masyarakat Isan mempunyai Hemoglobin E paling banyak, sedangkan Orang Cina hampir tiada. Berdasarkan teori ini, bangsa atau kaum Thai penduduk asal di Asia Tengara dan Kepulauan Melayu.

Kemajuan teknologi memudahkan manusia mengkaji dan menemukan asal-usul masing-masing. Namun, asal-usul ini hanya sekadar dijadikan pengetahuan kerana dasar-dasar di setiap negara kurang menitikberatkan asal-usul, tetapi "kumpulan manusia yang bersepakat" menjadi satu bangsa  di sebuah negara yang berdaulat. Di Thailand, bangsa Thai terdiri daripada puluhan suku kaum. Di Malaysia, bangsa Melayu juga terdiri daripada puluhan suku kaum dan keturunan yang digabungkan melalui Perlembagaan Persekutuan. Perbezaan agama juga menyebabkan seseorang atau kumpulan manusia terpisah daripada bangsa asalnya.

Walau bagaimanapun, setiap orang pasti bangga dengan bangsa dan keturunan masing-masing. Kita orang Thai pun harus berbangga kerana dilahirkan sebagai bangsa yang besardan mempunyai tamadun yang tinggi sejak zaman berzaman.




No comments: