Saturday, June 23, 2012

Berbuat Baik Menongkah Arus Hasrat Buddha

Masyarakat Thai suka berbuat baik, suka tambun (buat pahala) dan tamtan (sedekah). Tambun dan tamtan, bagi kebanyakan orang Thai adalah sama. Definisi tambun sangat luas; merangkumi 10 perbuatan yang baik-baik. Tamtan pula salah satu daripada 10 perbuatan baik-baik tersebut. 

Memang tidak dinafikan bahawa tambun dan tamtan sangat baik. Sedekah atau memberi merupakan perbuatan yang sangat mulia kerana bukan semua orang sudi melakukannya. Orang Thai terkenal dengan sikap pemurah hati.

Setiap kali dibagikan sampul tambun, sampul Kathina misalnya, pasti tidak dihantar balik kosong. Setiap kali diundang ke perayaan tambun, misalnya perayaan masuk bhikkhu, perayaan merasmikan bangunan Ubosot, Dewan Dhamma, Menara Loceng, Patung Buddha dan sebagainya, jikalau tidak dapat pergi, pasti akan mengirim duit tambun. Asalkan tambun, masyarakat Thai pasti tidak akan menolak. Betapa pemurahnya orang Thai dalam soal tambun ini.

Namun, sikap pemurah hati kebanyakan orang Thai hanya terhad kepada Sangha dan perkara-perkara yang berkaitan agama sahaja. Tidak ramai yang sudi memberi atau bersedekah di luar lingkungan Sangha dan perkara-perkara berkaitan agama. Inilah kekurangannya.

Jiran berlapar, orang sebangsa kesempitan hidup, budak Thai tiada modal ke universiti, pasangan suami isteri malang tiada tempat tinggal atau manusia dilanda bencana alam, belum pasti orang Thai sudi menghulurkan bantuan. Akan tetapi apabila mendengar wat ada perayaan tambun, walaupun jauh hingga ke utara atau timur tanah air, orang Thai pasti akan mengirim duit tambun. Bahkan perayaan tambun tanam Luknimit di Thailand pun ramai yang pergi atau jika tidak boleh pergi, akan mengirim duit tambun.

Seandainya terdapat bhikkhu atau Luang Phor yang tua datang minta tambun, misalnya mahu bina bangunan di wat, orang Thai berduyun-duyun menghulurkan bantuan.

Tambun itu baik. Akan tetapi, kata Achan Cha, perompak pun sanggup tambun. Nah, renungkan, bukan sahaja orang baik, bahkan perompak pun sanggup tambun. Tambun itu baik, tetapi bukan semua orang yang tambun itu orang baik kerana perompak pun ada yang tambun.

Jadi, tambun bukan simbolik orang baik. Menurut Achan Cha lagi, mengajak orang tambun tidak susah kerana yang susah mengajak orang meninggalkan kejahatan. Ini tepat sekali. Saya selalu mengajak kawan-kawan tambun di wat. Tidak susah. Tidak cukup tapak tangan, nyiru mereka tadahkan. Namun, apabila mengajak mereka meninggalkan kejahatan, meninggalkan perbuatan yang dilarang dalam Sila 5, susah sekali.  Silap-silap, mereka akan berkerat rotan, berpatah arang dengan kita.

Begitu juga dengan Buddhadasa Bhikkhu. Beliau jarang mengajak orang tambun dan tamtan kerana bagi beliau ini perkara yang senang. Ramai orang, termasuk perompak dan penyamun sanggup membuatnya. Namun, meninggalkan kejahatan sesuatu yang sukar dilakukan. Oleh itu, beliau tumpu kepada usaha mengajak orang meninggalkan kejahatan.

Buddha sendiri mengajak kita meninggalkan kejahatan terlebih dahulu, baru membuat kebaikan (tambun), kemudian menyucikan hati atau minda. Namun, kita melakukan secara terbalik. Kita tidak meninggalkan kejahatan, kita berterusan, setiap hari melanggar Sila 5. Malahan ada orang, sebelah pagi melanggar Sila 5, kemudian sebelah petang pergi tambun. Atau sebelah pagi pergi tambun dan sebelah petang melanggar Sila 5. Pokoknya, kita buat baik dan buat jahat serentak umpama orang yang makan ubat dan racun sekaligus.

Buddha memberi keutamaan kepada usaha meninggalkan kejahatan. Setelah meninggalkan kejahatan, baru buat kebaikan. Buddha tidak mahu kita jadi seperti perompak. Perompak, biarpun dia buat baik, derma duit ratusan ribu kepada wat atau pusat kebajikan, dia tetap perompak. Buddha mahu kita jadi orang baik terlebih dahulu, kemudian membuat kebaikan. Kebaikan yang dibuat oleh orang baik lebih berkat daripada kebaikan yang dibuat oleh orang jahat. Maknanya kebaikan yang dibuat oleh orang yang berpegang teguh kepada Sila (bermoral) lebih mulia daripada kebaikan yang dibuat oleh orang yang tiada Sila (immoral).

Selepas meninggalkan kejahatan, membuat kebaikan, Buddha mahu kita membersihkan hati supaya kita tidak kembali kepada kejahatan. Perkara yang mesti dibersihkan daripada hati kita ialah 3 akar kejahatan iaitu Lobha, Dosa dan Moha. Kaedah membersihakan akar kejahatan (Kusala Mula) ialah meditasi iaitu Samadhi-Pavana. Sila dan tambun melalui sedekah atau memberi tidak akan menjadikan seseorang itu mendapat Panna (kebijaksanaan), sebaliknya, kebijaksanaan hanya diperolehi melalui Samadhi-Pavana.

Kita sebenarnya, secara sedar atau tidak, sedang menongkah arus hasrat Buddha. Buddha mahu kita meninggalkan kejahatan, baru membuat kebaikan dan kemudian menyucikan hati. Sebaliknya kita membuat kebaikan, tanpa meninggalkan kejahatan dan tidak pernah berusaha menyucikan hati. Bagaimana kita akan mendapat berkat?

Saya kesian melihat kaum kita yang bertungkus lumus tambun tetapi pada masa yang sama dia tambap (buat dosa). Tambun bagaimana pun caranya tetap mendapat hasilnya. Akan tetapi jika kita tidak meninggalkan tambap, hasil tambun akan berkurangan kerana terpaksa membayar hasil tambap. Tambun umpama kerja. Tambap umpama hutang kepada ceti. Pendapatan kita banyak kerana kita rajin berusaha, tetapi jika hutang juga banyak, pendapatan akan berkurangan kerana terpaksa membayar hutang. Silap haribulan mungkin kerja kita sia-sia, penat lelah tidak memberi faedah kerana hutang lebih banyak daripada pendapatan.

Hutang lebih daripada pendapatan ini sesuatu yang membimbangkan. Oleh itu, untuk mendapat faedah yang banyak daripada tambun, terlebih dahulu kita meninggalkan semua perkara yang tidak bermoral, perkara jahat yang selalu kita lakukan sebelum ini. Tidak susah meninggalkan kejahatan sekiranya kita mahu. Kita mesti bertekad bahawa kita mahu berbuat baik betul-betul sebagaimana yang dianjurkan oleh Buddha iaitu meninggalkan kejahatan, membuat kebaikan dan menyucikan hati.




1 comment:

Anonymous said...

Setuju dengan penulisan ini. Kebanyakkan kaum Buddhis Thai memang tidak lokek jika berkaitan dengan THAMBUN/THAMTHAN, tak kiralah di wat atau Sammak mana.

Tapi, kalau sesuatu program@ anjuran untuk kutip derma bukan untuk wat atau sammak, maka sambutannya sangat mendukacita, sebab mengikut pendapat mereka kurang @ tiada BUN (pahala).

Ini berlaku kemungkinan kurang penerangan dari pihak Sangha atau dari intitusi agama kita sendiri.