Friday, June 22, 2012

Dari Dusit Ke Dunia

Sebelum dilahirkan ke dunia, Buddha menjadi Bodhisatva dan tinggal di syurga yang bernama Dusit (Tusita). Sebelum menjadi Bodhisatva, beliau telah membuat dan mengumpul Parami 10 (10 Kesempurnaan) daripada beratus-ratus kelahiran. Kelahiran terakhir sebagai manusia sebelum menetap di Dusit ialah sebagai Phra Vetsandorn.

Thau Maha Phrom (Maha Brahma) bersama-sama dengan Raja Deva dari 6 tingkat syurga bersepakat menghadap Bodhisatva, memohon Bodhisatva lahir di dunia agar penghuni dunia dapat mengetahui dan mengamalkan Dhamma.

Phra Bodhisatva tidak terus menerima permohonan tersebut. Baginda mahu menghalusi "Panca Maha Vilokana" terlebih dahulu. Maksudnya, Baginda  mesti meneliti dengan bijaksana 5 perkara terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menerima permohonan Thau Maha Phrom dan Raja Deva untuk meninggalkan Dusit dan berangkat ke dunia sebagai kelahiran terakhir sebelum menjadi Buddha.

5 perkara tersebut ialah:

1. Masa; 2. Benua; 3. Tempat atau Daerah; 4. Keturunan, dan 5. Bonda

1. Masa

Memilih masa mengikut jangka hayat manusia kerana umur manusia tidak sama bergantung pada keadaan yang mempengaruhinya. Sesetengah zaman manusia berumur hingga 80,000 tahun, 40,000 tahun, 20,000 tahun. Umur begini terlalu panjang dan tidak sesuai menerima Dhamma.

Umur manusia pada masa Phra Bodhisatva dimohon turun ke dunia ialah purata 100 tahun iaitu bertepatan dengan perkiraan yang ditetapkan iaitu umur manusia tidak kurang daripada 100 tahun dan tidak lebih daripada 100,000 tahun. Bodhisatva memilih umur manusia purata 100 tahun agar manusia dapat melihat "ketidakkekalan segala benda" (Sabbe Sankhara Anicca). Faktor tidak mencapai Trassaru (Pencerahan Sempurna) di syurga kerana Devada kurang merasai kesengsaraan kerana asyik melekat kepada kebahagiaan nafsu-nafsi. Usia Devada pula terlalu panjang, oleh itu tidak akan melihat Ariya Sacca. Oleh itu, penyebaran Dhamma lebih berkesan di dunia sewaktu manusia mempunyai purata jangka hayat 100 tahun. 

2. Benua

Bodhisatva memilih benua India. Masa itu benua India dipanggil Chumputavif yang keluasannya lebih besar daripada negara India sekarang, iaitu meliputi Pakisan, Bangladesh, Nepal, Bhutan dan sebahagian Afghanistan. Benua India ketika itu terbahagi kepada 16 negeri (wujud 4 negeri lagi dalam kitab Buddha) yang diperintah oleh Raja. Masyarakatnya mengamalkan sistem kasta. Mempunyai banyak aliran kepercayaan, samana, intelektual agama dan para pemikir. Masyarakatnya mempunyai kesedaran agama (Brahmana)  yang tinggi. Keadaan ini amat sesuai untuk penyebaran Dhamma.

3. Tempat atau Daerah

Benua India ketika itu terbahagi kepada 2 bahagian iaitu bandar dan pedalaman. Bandar mempunyai kemajuan yang tinggi, pusat pendidikan, pusat perdagangan, ramai cerdik pandai, mempunyai tamadun dan budaya yang sudah maju.  Masyarakat Aryan yang merupakan masyarakat yang maju dan bertamadun tinggal di sini.

4. Keturunan

Bodhisatva memilih dilahirkan sebagai keturunan raja kerana keturunan raja sangat dihormati pada zaman tersebut berbanding keturunan lain. Keturunan Sakyaputera merupakan keturunan yang suci sejak tujuh keturunan yang lalu. Jika dilahirkan di dalam keturunan yang tidak suci, maka sukar untuk memperolehi penghormatan dan kepercayaan orang dalam masyarakat yang mengamalkan sistem kasta. 

5. Bonda

Bodhisatva memilih wanita yang baik, berpegang teguh kepada Sila 5 dan menjaga sifat-sifat kewanitaan dengan sempurna sebagai bonda. Jika bonda bukan seorang yang baik, maka sukar bagi Buddha menyebarkan Dhamma. Masyarakat akan mencemuh dan sebagainya. Selepas melahirkan Buddha (Siddharta) selama 7 hari, Bonda Baginda (Mayadevi) mangkat dan dilahirkan di syurga Dusit. Bonda Buddha cepat mangkat kerana niatnya hanya mahu mengandung Buddha seorang sahaja; tidak mahu menjadi bonda kepada orang lain lagi. 

Bonda Buddha dilahirkan di syurga Dusit sebagai Putera Devata mengikut tradisi kerana dari dulu beliau sebenarnya seorang lelaki. Beliau dilahirkan sebagai wanita kerana kuasa atitthan yang mahu jadi bonda kepada Buddha.

Selepas menjadi Buddha, Baginda pernah berangkat ke Dusit untuk mengajar Dhamma kepada bonda. Abidhamma dikatakan Dhamma yang diajarkan kepada bonda Baginda hingga mencapai Sodaban (Ariya).







No comments: