Wednesday, June 6, 2012

Daripada Siam Kepada Thai

Hari ini Komuniti Siam Baru diberi "penjenamaan" baru iaitu Komuniti Thai Baru. Pertukaran nama ini sepintas lalu kelihatan menongkah arus majoriti kaum Siam Malaysia yang menolak panggilan "Thai" kerana lebih selesa dengan panggilan "Siam".

Secara peribadi saya pun cukup senang dengan panggilan "Siam" tetapi kerana "Thai" ialah nama kaum saya sejak asal, maka juga tidak menjadi masalah jika orang panggil saya orang Thai. Jikalau orang keliru antara "Thai" saya dengan "Thai" Thailand, saya akan memahamkan mereka. Saya sedar menjadi tanggungjawab saya memahamkan asal-usul kaum saya kepada orang yang tidak memahaminya. 

Saya menggunakan istilah "Thai" kerana sayang kepada kaum saya iaitu kaum Thai atau orang Thai. Saya tidak mahu istilah ini hilang daripada pandangan masyarakat. Saya takut apabila dalam My Kad ditulis Siam, dalam persatuan menggunakan Siam, dalam akhbar pun Siam, dalam blog, facebook, twitter juga semuanya Siam, maka istilah Thai dilupakan orang. Saya mahu orang tahu bahawa di bumi Malaysia yang bertuah ini terdapat warganegaranya yang berketurunan "Thai" yang bermaksud besar dan bebas yang merupakan penduduk asal di sini. (Kerajaan Srivijaya dikatakan kerajaan Melayu purba. Srivijaya juga kerajaan Hindu/Buddha yang menjadi kebangsaan penduduk Selatan Thailand.)

Tiga perkara pokok yang menyebabkan saya mahu blog saya menggunakan nama Thai.

1. Thai ialah nama kumpulan manusia yang dikatakan berasal dari Daratan Asia yang mempunyai tamadun, budaya dan cara hidup tersendiri. Kumpulan manusia ini berhijrah ke merata tempat bersama dengan kumpulan manusia lain secara berperingkat-peringkat sejak ribuan tahun dahulu. Oleh sebab itulah orang Thai wujud secara bertaburan dari Persia, China, India, Myanmar, Vietnam, Kemboja, Laos, Thiland dan Malaysia. Dan oleh sebab pengaruh setempat, budaya orang Thai berbeza-beza mengikut tempat atau negara. 

Sedangkan "Siam" bukan nama bangsa tetapi nama negara iaitu Negara Siam. Pelbagai teori dikemukakan berkenaan nama Siam yang kesemuanya tidak penting bagi saya. Kerajaan Siam yang berpusat di Ayuthia telah dihancurkan oleh Burma.

2. Bahasa Thai merupakan bahasa yang digunakan secara meluas. Bahasa tulisan yang digunakan oleh orang Thai di Malaysia diasaskan oleh Raja Ramkhamheng, Sukhothai (tahun 1283) daripada gabungan bahasa Khom dan Mon. Percakapan bahasa Thai pula berbeza-beza mengikut negara dan tempat. Bahasa Thai yang dituturkan oleh masyarakat Thai di Khunming, China, Thai Yai, Myanmar, Thai Thailand dan Thai Malaysia tidak sama. Slanga bahasa Thai di Malaysia pun berbeza. Orang Thai Kedah bercakap tidak sama dengan orang Thai Kelantan. Orang Thai Kelantan pun mempunyai pelat yang berbeza antara ampung-kampung. Namun ini bukan masalah untuk masyarakat Thai berkomunikasi dan bersatu padu.

Bahasa Thai digunakan di kawasan yang luas hampir seluruh semenanjung Asia Tenggara, dari bahagian di selatan China dan Assam di India, hinggalah ke utara semenanjung Malaysia. Bahasa ini telah digunakan sebagai bahasa kebangsaan negara Thai, semenjak sebelum Kerajaan Sukhothai (dibentuk pada tahun 1256). Raja Ramkhamhaeng, Raja Sukhothai yang ke-II telah mewujudkan abjad Thai dalam tahun 1283. Pada masa ini, bahasa Thai berfungsi seperti bahasa moden lain di dunia ini. (Buku: Sistem Panggilan Dalam Bahasa Melayu Dan Bahasa Thai: Suatu Analisis Sosiolinguistik (DBP).

Bahasa "Siam" bagaimana ya? Saya cukup kekok apabila kita mengatakan "kita mengajar bahasa Siam" di wat-wat Thai kerana hakikatnya itu ialah bahasa Thai.

3. Majoriti orang Thai di Thailand, Kemboja, Laos dan Malaysia beragama Buddha Theravada. Buddha Theravada di Thailand mempunyai aliran tersendiri iaitu "aliran Thai". Saya menamakannya "aliran Thai" kerana ia mendapat pengaruh budaya Thai dengan meluas. Agama Buddha orang Thai di Malaysia sama dengan agama Buddha di Thailand. Oleh itu, pengaruh budaya Thai menjadi dominan dalam amalan harian agama kaum Thai di Malaysia. Maka tidak hairanlah apabila Theravada di Maha Vihara, Brickfield (pengaruh Sri Lanka) berbeza dengan Theravada di wat-wat Thai di Kedah dan Kelantan (pengaruh Thailand).

Apabila agama Buddha yang kita amalkan mendapat pengaruh Thai, sekali lagi saya kekok apabila terpaksa menyebut "Wat Siam" bagi merujuk kepada Wat Thai. Ketua Bhikkhu Kedah dan Kelantan dilantik oleh Sangha Thai (Khanak Song Thai), anugerah Chau Khun dan Phra Kru juga diberikan oleh Khanak Song Thai, dan wat-wat di Malaysia bercirikan Thai. Bagaimana kita boleh panggil "Wat Siam"?

Kerana bangsa, bahasa dan agama, maka saya menolak pendapat yang menyarankan supaya kita "memisahkan diri" daripada orang Thai di Thailand. Kita boleh dipisahkan, tetapi hanya melalui politik, tetapi tidak melalui budaya, bahasa dan agama. Bagi mereka yang tidak mahu "mengaitkan diri" dengan orang Thai di Thailand, itu terpulang kepada kehendak masing-masing. Bagi saya, Thai di Malaysia dengan Thai di Thailand mustahil dapat "dipisahkan" secara berpatah arang, berkerat rotan kerana kita masih berkongsi agama, bahasa dan budaya yang sama. Lagipun masih ramai orang Thai di Malaysia, khususnya Kelantan yang mempunyai saudara mara di Selantan Thailand. Bahkan diceritakan oleh orang tua-tua bahawa sebahagian orang Thai di Kelantan berasal dari Selantan Thailand, terutamanya Pattani (belum ada Yala dan Narathiwat) yang ketika itu sebuah negara merdeka yang mempunyai raja berdaulat. Pattani dan Kelantan ketika itu umpama tanah bonda yang sama. Oleh itu, penghijrahan dari Pattani ke Kelantan tidak wajar dipanggil pendatang. Sebahagian lagi masyarakat Thai adalah penduduk asal Kelantan.

Walau bagaimanapun, saya tidak menolak penggunaan istilah Siam secara tuntas. Saya akan menggunakan kedua-dua istilah Siam dan Thai mengikut keselesaan. Saya suka Siam, tetapi saya juga sayang Thai. 



1 comment:

azzmy Adam said...

bagi saya wajar dikekalkan siam, sebab itu asal usul orang siam. Thai adalah nama baru seperti Malaysia dan Indonesia.

Dahulu kerajaan Melaka pun sampai ke sumatera, tapi sudah tidak relevan, tapi orang melayu tetaplah orang melayu

Sekarang walaupun ada suku melayu khususnya jawa dan bugis berasal dari kepulauan Indonesia, mereka tetap berbangga jadi rakyat malaysia dan dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung.