Wednesday, June 27, 2012

Karma Tidak Pernah Berbohong

"Buat baik dapat baik, buat jahat dapat jahat."

Ini merupakan "slogan" agama yang ada di muka bumi yang sering diucapkan oleh sesiapa sahaja. Slogan inilah yang mendorong manusia membuat baik dan meninggalkan kejahatan. Semua orang mahu kebaikan dan minta dijauhi kejahatan.

Agama Buddha mempercayai Karma. Karma baik akan menerima balasan yang baik, manakala Karma jahat akan mendapat balasan yang buruk. Ini hukum Karma. Namun, hakikatnya kita juga selalu dengar kaum Buddhis merungut: "Aku buat baik, tapi kenapa tak dapat baik?"


Memang kita ada nampak ramai orang yang buat baik tidak menerima hasil yang baik. Sebaliknya orang yang duduk goyang kaki yang menerima hasilnya. Bahkan tidak kurang yang buat jahat tetapi disanjungi masyarakat sebagai orang baik. Sepintas lalu, perkara ini seperti bercangah dengan ajaran Buddha bahawa buat baik dapat baik, buat jahat dapat jahat!


Buddha tidak membohongi kita. Karma baik akan menerima hasil yang baik. Karma jahat akan menerima hasil yang buruk. Ini hukum Karma yang tidak mampu diubah oleh sesiapa. Ini hukum alam yang sama ada kita percaya atau tidak, kita tetap berada di bawah kekuasaannya. 


Kita boleh sahaja tidak percaya kepada hukum Karma kerana kita diajarkan untuk percaya kepada kuasa lain. Kita berhak untuk itu. Akan tetapi apabila kita buat jahat, Karma jahat akan menimpa kita tanpa mengita kita percaya atau tidak. Karma berjalan tanpa bergantung pada kepercayaan kita. Kepercayaan ialah persepsi kita, sedangkan Karma ialah kebenaran yang tidak mampu diubah oleh sesiapa di dunia mahupun di langit. 


Jika anda tanam pokok kelapa, hasilnya tidak mungkin buah durian? Hasilnya mesti buah kepala. Jika anda membuat keputusan menamatkan nyawa dengan melompat dari bangunan tinggi, anda tidak akan melayang ke langit, tetapi jatuh ke bumi. Anda pasti cedera atau mati. 


Berbalik kepada rungutan, kenapa buat baik, tapi tidak dapat balasan yang baik. Perkara ini ada sebabnya.


1. Setiap Karma mengambil masa yang tidak sama untuk memberikan hasil. Ada yang cepat, ada yang lambat. Ada balasan segera dan ada balasan yang melangkaui kehidupan yang lain. Umpama buah-buahan yang mengambil masa yang tidak sama untuk matang dan masak. 


2. Orang yang mempunyai deposit Karma jahat yang banyak, apabila buat baik balasan baiknya lambat, mungkin kena tunggu hingga kehidupan akan datang. Ini kerana hasil Karma jahat sedang berfungsi dan belum habis. Umpama orang sakit yang diberikan makanan berkhasiat tinggi. Dia tidak mungkin terus subur dan segar kerana dia sedang sakit. Dia akan mengambil masa. 


3. Manakala orang yang buat jahat tetapi tidak ditimpa kecelakaan, sebaliknya kekayaan dan kesihatan yang diperolehinya. Ini kerana deposit Karma baiknya daripada masa lampau atau kehidupan lampau masih banyak dan dia sedang menikmati hasil kebaikan itu. Jikalau hasil kebaikan habis, dia akan merasa sengsaranya. Umpama orang yang mempunyai kesihatan yang baik, sistem ketahanan badan yang kuat, minum manis-manis pun dia tidak dijangkiti penyakit kencing manis. Cuba apabila kesihatannya berkurangan, sistem ketahanan badan yang lemah, semua pasti menghurung kencingnya.


4. Betulkah "baik" yang kita buat itu betul-betul baik? Ada orang terkeliru "buat benda tidak baik" tetapi disangkanya baik lalu tunggu menerima hasilnya. Ini tentulah mustahil. "Baik" ada pelbagai. Kita selaku penganut agama Buddha mesti menerima pakai "baik" yang diajarkan oleh Buddha. "Baik" daripada agama lain tidak boleh diterima sekiranya bercanggah dengan "baik" dalam ajaran Buddha. "Baik" yang dipercayai nenek moyang juga tidak boleh diterima jikalau tiada dalam ajaran Buddha. Sembelih haiwan dengan tujuan tertentu baik bagi sesetengah agama tetapi tidak baik dalam agama Buddha. Namun, kita selalu menggunakan "alasan sendiri" untuk mewajarkan perbuatan kita. Misalnya, kita akan berkata, untuk makan tidak mengapa. Kita boleh berkata apa sahaja, tetapi kita harus ingat bahawa Karma tidak berjalan ikut alasan kita. 


Kita mengharapkan hasil "baik" sebagaimana yang diberikan definisi oleh Buddha, tetapi kita buat "baik" ikut definisi sendiri. Masakan boleh begitu.


"Baik" yang diberikan definisi oleh Buddha mesti keluar daripada mulut Buddha. Jika dicipta oleh orang lain tidak boleh. Baik daripada pandangan bhikkhu pun tidak boleh jika tidak betul dengan yang diucapkan oleh Buddha. Bhikkhu dahulu sangat takut dosa. Mereka tidak akan mengatakan baik perkara yang tidak pernah dikatakan baik oleh Buddha. Mereka sangat menjaga sacca vaca, moraliti atau Vinaya. 


Akan tetapi bhikkhu sekarang lebih mengutamakan kepentingan diri. Bermacam-macam propaganda dan pembohongan dilakukan untuk menarik orang ramai. Ada yang mendakwa telah mendapat "kuasa istimewa" hingga mampu mengetahui kehidupan lampau seseorang. Orang itu jadi apa, orang ini jadi apa pada kehidupan lalu semua diketahuinya. Orang kaya selalu dikatakan pernah bersaudara dengan dia pada kehidupan lalu. Ramai juga wanita muda yang cantik didakwa pernah jadi anak-anaknya. Wanita tua yang kaya pula pernah jadi ibunya. Dia pula bekas askar kanan kepada seorang raja. Bolehkah dibuktikan kebenaran dakwaannya? Jikalau betul dia ada kuasa istimewa (Abinna) kenapa tidak teka masa depan seseorang? Siapa bakal PM, bakal Menteri? 


Tidak kurang bhikkhu yang mengambil kesempatan ke atas individu yang ditimpa malang, kononnya Karma jahat sedang memberi hasil dan harus dicucikan. Maka upacara tertentu dibuat untuk memutihkan Karma hitam. Sewaktu kes penggguran anak menjadi tumpuan masyarakat Thailand, segelintir bhikkhu yang menganjurkan upacara "mencuci Karma" si ibu dan tambun uthit kepada si anak. Jika Karma boleh dicuci, Buddha tidak perlu menyuruhkan kita mengamalkan Dhamma. 


Baik yang datang bersama adat tradisi juga harus dijaga-jaga kerana bimbang bukan baik sebagaimana dianjurkan Buddha. Banyak adat tradisi dan upacara tertentu yang tiada kaitan dengan agama Buddha. Maka kebaikannya tentulah diragui. Kita melakukan upacara tradisi tertentu dengan mengharapkan balasan baik, sedangkan kita tidak sedar bahawa perkara itu bercanggah dengan ajaran Buddha. Tentulah mustahil kita akan menerima balasan baik.

Buddha menyuruh kita berpegang pada Sila jika mahu mendapat hasil yang baik. Sedangkan kita hanya berpuas hati sekadar menyertai ritual menerima Sila sahaja. Masakan boleh terima hasil baik.

Silabbata paramasa (Silapotpramas) iaitu penganut agama Buddha mengamalkan peraturan atau ritual tertentu yang di luar ajaran Buddha untuk membebaskan diri daripada kesengsaraan tidak akan memberikan hasil yang baik.


Kesimpulannya, buat baik pasti akan menerima hasil yang baik. Namun, tempoh atau waktu Karma memberikan hasil berbeza-beza mengikut jenis Karma dan jenis individu. Perbuatan baik yang kita buat juga mesti betul-betul baik dan diperakukan oleh Buddha. Baik ciptaan sendiri atau warisan nenek moyang yang bercanggah dengan ajaran Buddha tidak diterima sebagai baik. Percayalah Karma tidak pernah berbohong. Sampai masa akan memberikan hasilnya, lambat atau cepat.















2 comments:

Anonymous said...

Setuju dengan tulisan Tuan. orng Siam buat baik yang tak ada dalam ajaran Buddha melainkan pengaruh tradisi.

Anonymous said...

Masa kecil saya suka tendang kucing sekarang saya sering sakit kaki. Apa ini karma?