Saturday, June 2, 2012

Kenapa Kita Mesti Sentiasa Mengingati Kematian?

Ada seorang Guru Vipassana mempunyai 3 orang murid. Suatu hari guru itu bertanya kepada murid-muridnya tentang kematian: "Siapakah antara kalian yang selalu menggunakan Sati mengingati kematian? Sehari berapa kali ingat?"

Murid 1: Oh, Guru! Saya ingat kepada kematian tidak berhenti-henti. Sepanjang masa pergi bindabart (mengambil makanan) saya berfikir bahawa adakah saya sempat pulang ke wat atau tidak. Atau akan mati di tengah jalan hingga tak sempat hendak makan hasil bindabart!

Murid 2: Oh, Guru! Saya ingat kepada kematian lebih daripada itu. Masa duduk makan hasil bindabart, saya selalu berfikir adakah saya sempat menghabiskan makanan, atau akan mati terlebih dahulu!

Murid 3: Oh, Guru! Saya ingat lebih daripada itu lagi. Saya ingat kepada kematian setiap detik pernafasan. Saya takut masa saya tarik nafas masuk, nafas itu tak sempat keluar, saya mati terlebih dahulu. Atau masa saya hembus nafas keluar, saya tak sempat tarik nafas masuk, saya mati terlebih dahulu. Beginilah fikiran saya tentang kematian!

(Sumber: Buku Phra Dhamma Desana - Acharn Cha Supattho)

Kenapa Buddha berpesan kepada kita supaya selalu menggunakan Sati mengingati kematian? Buddha tidak mahu kita lalai. Orang yang lalai umpama orang yang sudah mati. Kita mesti sentiasa beringat bahawa kita akan mati bila-bila masa sahaja, oleh itu kita mesti segera berbuat baik agar tidak terlewat. Hidup sebagai manusia merupakan peluang terbaik bagi kita melakukan kebaikan. Jika kita mati, peluang membuat kebaikan menjadi sukar atau mungkin tiada langsung. Apa yang mampu kita lakukan hanya menerima balasan Karma.

Contohnya, orang yang berbuat jahat, apabila mati dilahirkan di neraka. Dia tidak mampu berbuat baik lagi kerana peluang membuat kebaikan langsung tiada - jika ada pun terlalu sedikit - melainkan duduk menerima balasan Karma.

Jika dia dilahirkan di syurga, bersahabat dengan Devata, peluang membuat kebaikan juga hampir tiada kerana terlalu asyik dengan keseronokan indera. Kehidupan Devata umpama orang yang baru menang loteri.  Mana dia mahu ingat akan kerja, melainkan berhibur dan berseronok sehingga kehabisan duit. Selepas kehabisan duit, baru tersedar tetapi sudah terlambat. Devata pun begitu. Setelah habis hasil Karma baik, baru tersedar, tetapi sudah terlambat kerana dia telah dilahirkan di alam lain yang lebih rendah. Mungkin dilahirkan semula ke dunia, atau mungkin juga ke neraka.

Jadi, selagi ada kesempatan, berbuatlah kebaikan untuk diri sendiri dan orang lain. Walaupun sedikit - mengikut kemampuan kita - lebih baik daripada langsung tiada. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi sehelai kain.

Namun, satu perkara yang harus diingat, untuk paling berkesan berbuat baik, kita mesti terlebih dahulu meninggalkan kejahatan. Jika kita berbuat baik, dan pada masa yang sama kita juga berbuat jahat, hasilnya tidak lumayan. Umpama orang yang menghidap penyakit darah tinggi, hari-hari makan ubat dan pada masa yang sama selalu melahap durian, boleh berkesan? Atau orang yang kandungan darahnya mempunyai kolesterol yang tinggi, dia makan ubat, tetapi makanan berminyak tidak pernah dikurangkan. Boleh baik?

Berbuat baik tidak perlu memilih masa dan ketika. Jangan menunda kebaikan. Tidak perlu menunggu tua baru hendak berbuat baik. Kita tidak tahu akan mati esok atau lusa. Gegeralah berbuat baik untuk diri sendiri dan orang lain.




No comments: