Sunday, June 3, 2012

Sangayana: Proses Menyucikan Tipitaka

Sangayana atau Sankiti ialah proses menyusun dan mengemas kini ajaran Buddha agar mudah untuk dihafal dan diingat (dibaca). Sangayana juga dilakukan bagi "menyucikan" ajaran Buddha (Dhamma-vinaya) daripada pengaruh-pengaruh atau anasir-anasir luar. Proses ini dilakukan bagi menjaga ketulenan ajaran Buddha. Setelah Sangayana, Dhama-vinaya Buddha menjadi lebih bersih (tulen), kemas, teratur dan bersistem. Sangayana dilakukan secara beramai-ramai oleh Sangha yang berwibawa dalam Dhamma dan Vinaya.

Sangayana sebenarnya dilakukan sejak zaman Buddha masih hidup lagi. Perkara ini tercatat dalam Pasa Dikka Sutta, Sankiti Sutta, Diganikaya yang menyatakan bahawa sewaktu Baginda Buddha tinggal di Negeri Pava bersama 500 orang Bhikkhu, Nikron Nattabut atau yang dikenali sebagai Mahavira iaitu Ketua Aliran Jainism telah meninggal dunia di Negeri Pava. Pengikut beliau telah berpecah belah, berpuak-puak dan berkelahi hingga kepada pukul memukul kerana berselisih faham tentang ajaran Mahavira akibat daripada tafsiran yang berbeza-beza. Sedangkan Mahavira baru sahaja meninggal dunia. Maka Bhikkhu Cuntha berbincang dengan Bhikkhu Ananda (Phra Anon) untuk mengadap Buddha bagi mempersembahkan masalah ini. Buddha mengizinkan agar Dhamma Vinai dikumpulkan supaya usia agama Buddha boleh berpanjangan.

Dalam Sankiti Sutta, ada dinyatakan bahawa Phra Saribut juga turut simpati dengan apa yang berlaku ke atas pengikut Mahavira. Beliau menasihati Sangha supaya menjadikan peristiwa hitam yang menimpa pengikut Mahavira itu sebagai pengajaran dan oleh itu wajar sekali diadakan Sangayana bagi menyusun Dhamma Vinaya agar lebih kemas dan bersistem. Sekiranya Buddha telah parinibbana, Dhamma Vinaya tetap kukuh dan mantap.

Namun Sangayana pada zaman Buddha masih hidup dilakukan tidak menyeluruh, kecuali bahagian-bahagian tertentu. Oleh sebab itu, Sangayana menyeluruh hanya bermula selepas kemangkatan Buddha.

Sangayana kali 1, 2 dan 3 diadakan di India. Sangayana kali ke 4,5,6 dan 7 diadakan di Sri Lanka. Sangayana kali ke 8 dan 9 diadakan di Thailand.

Sangayana Kali 1

Sangayana kali pertama diadakan di Rajagaha, 3 bulan selepas Buddha parinibbana. Raja Ajasatthu menjadi Penaung Sangayana. Sangayana ini mengambil masa 7 bulan baru selesai.

Sangayana ini sebenarnya bermula sejak hari "pembakaran mayat Buddha" di mana Phra Maha Kassapa telah memberitahu kepada Bhikkhu seramai 700,000 orang yang menghadiri upacara suci itu tentang masalah yang ditimbulkan oleh Bhikkhu Supattha.

Bhikkhu Supatta menjadi bhikkhu masa usia tua. Maka tidak hairanlah apabila beliau kurang memahami Dhamma. Beliau mengambil kesempatan ke atas Dhamma Vinaya untuk berbuat sesuka hati. Apabila Buddha parinibbana, para Bhikkhu bersedih hati kerana kehilangan Maha Guru Agung. Sebaliknya, Bhikkhu Supattha begitu bersukacita kerana bagi beliau, selepas ini tiada lagi orang yang akan memerhati, menegur, mengkritik atau melarang perbuatan para bhikkhu. Beliau menasihati para Bhikkhu supaya tidak bersedih hati kerana selepas ini mereka boleh melakukan sesuka hati. Kedangkalan Bhikkhu Supattha ini menimbulkan kekeliruan di kalangan Sangha dan sedikit sebanyak mempengaruhi kesucian Dhamma Vinaya.

Untuk memelihara kesucian Dhamma Vinaya, 500 Bhikkhu Arahant membuat keputusan untuk melakukan Sangayana. Phra Maha Kassapa dipilih sebagai Pengerusi, Phra Ubali menghuraikan Vinaya dan Phra Anon menghuraikan Dhamma. Phra Maha Kassapa akan bertanya tentang Vinaya dan dijawab oleh Phra Ubali. Sekiranya berlaku kesilapan, para Bhikkhu yang lain akan memperbetulkan. Selepas selesai Vinaya, Phra Maha Kassapa bertanya tentang Dhamma pula dan diterangkan oleh Phra Anon. Setelah kesemua 500 Bhikkhu Arahant yang mengambil bahagian bersetuju barulah proses Sangayana dimuktamadkan. Persidangan ini mengambil masa 7 bulan baru selesai.

Sangayana Kali Ke-2

Sangayana kali ke-2 diadakan di Vesali 100 tahun selepas Buddha parinibbana. Raja Kalashoka menjadi Penaung. Persidangan ini dipengerusikan oleh Bhikkhu Revatha dan dihuraikan oleh Bhikkhu Sapphaka. Seramai 700 Bhikkhu Arahant menyertai persidangan yang mengambil masa 8 bulan baru selesai.

Sangayana kali ini bagi membanteras kumpulan Bhikkhu Vajji yang memperkenalkan 10 perkara yang antara lain boleh minum arak yang lembut, boleh terima emas dan perak (duit) yang merupakan bercanggah dengan Dhamma Vinaya. Kumpulan Bhikkhu Vajji ini menganggap 10 perkara tersebut merupakan perkara baik, patut dan berfaedah untuk diamalkan. Sedangkan perkara tersebut bertentangan sama sekali dengan Dhamma Vinaya.

Sangayana Kali Ke-3

Sangayana kali ini diadakan di Asokarama, Pataliputra, kira-kira tahun BE 234 (Buddhist Era). Raja Asoka. menjadi Penaung Sangayana. Bhikkhu Mogaliputtha menjadi Pengerusi. Persidangan ini disertai 1000 Bhikkhu Arahant dan mengambil masa 9 bulan baru selesai.

Sangayana kali ini bagi membanteras golongan Dhiarathi (orang dari agama lain) yang menyamar menjadi Bhikkhu Buddha. Pada zaman pemerintahan Raja Asoka, agama Buddha mencapai zaman kegemilangannya. Masyarakat begitu menyanjungi agama Buddha. Maka, samana daripada agama lain mengambil kesempatan menyamar sebagai Bhikkhu Buddha bagi mencari "keselesaan hidup" daripada kepercayaan masyarakat.

Akibatnya para Bhikkhu berpecah-belah. Mereka tidak mahu turun suat Ubosot (Ubosatha) bersama. Raja Asoka menghantar wakil minta semua Bhikkhu turun Ubosot bersama tetapi Bhikkhu yang tulen tetap tidak mahu turun Ubosot bersama dengan Bhikkhu palsu. Raja Asoka marah lalu menghukum bunuh 2 orang Bhikkhu tulen kerana tidak mendengar arahan Baginda. Akhirnya Baginda sedar bahawa Baginda telah melakukan kesilapan lalu minta diadakan Sangayana bagi membersihkan Sangha dan menyatupadukan semula Bhikkhu. Selepas Sangayana selesai, sejumlah 60,000 orang Bhikkhu palsu telah dipecat (sikkha)oleh Raja Asoka.

Sangayana Kali Ke-4

Sangayana kali ke-4 bertujuan agar agama Buddha bertapak lebih mantap di Sri Lanka sebagaimana yang dihasratkan oleh Bhikkhu seramai 68,000 orang. Bhikkhu Mahendra Thera sebagai Pengerusi, Bhikkhu Athitha menjadi penghurai dan diadakan di Anutharapuri pada tahun BE 236. Raja Devanamtissa sebagai Penaung Sangayana dan mengambil masa kira-kira 10 bulan baru selesai.

Sangayana Kali Ke-5


Sangayana kali ini diadakan di Sri Lanka bertujuan mengatasi masalah dalaman Sangha yang berpecah kepada 2 kumpulan, iaitu kumpulan Maha Vihara dengan kumpulan Apayakiri Vihara. Selain itu Sangayana juga diadakan bagi menulis Dhamma Vinaya ke dalam daun lontar. Kaedah hafalan yang diterima pakai selama ini mungkin akan menyebabkan Dhamma Vinaya tercicir. Oleh itu, sudah tiba masanya Dhamma Vinaya dicatatkan. Bhikkhu Arahant seramai 500 orang yang menghafal Dhamma Vinaya membaca (chanting) kembali hafalan tersebut untuk dicatatkan ke dalam daun lontar. Sangayana ini diadakan pada tahun BE 450 (sesetengah sumber berkata tahun BE 436). Raja Vattakamani Apaya menjadi Penaung.

(Sangayana kali ke-4 mendapat pengiktifafan kurang sedikit daripada kali ke-5)

Sangayana Kali Ke-6

Sangayana kali ini diadakan di Sri Lanka pada tahun BE 956. Phra Buddhagosa, warga India telah menterjemah dan menyusun Atta Katha daripada bahasa Singhalis kepada bahasa Pali. Attha Katha ialah huraian kepada Tipitaka. Kerja penterjemahan ini dilakukan pada masa pemerintahan Raja Mahanama. Sangayana kali ini bukan menyucikan Tipitaka, tetapi membersihkan Attha Katha. Kerajaan Sri Lanka tidak iktiraf Sangayana kali ini. Namun, Thailand mengiktirafnya.

Sangayana Kali Ke-7

Sangayana kali ini diadakan di Sri Lanka pada tahun BE 1587. Bhikkhu Kassapa Thera menjadi Pengerusi telah menyusun dan menulis Kitab Dika bersama-sama Bhikkhu lain seramai 1,000 orang yang mahir dalam Buddha Dhamma. Kitab Tika ialah kitab yang menghuraikan  Attha Katha yang diterjemahkan oleh Buddhagosa dalam Sangayana kali ke-6. Dalam pengajian agama Buddha, lazimnya Kitab Tipitaka dipanggil Pali. Kitab yang membuat huraian kepada Tipitaka dipanggil Attha Katha. Kitab yang menghuraikan Attha Katha dipanggil Dika.  (Tipitaka - Attha Katha - Dika).

Oleh sebab bukan menyucikan Tipitaka, maka Sri Lanka tidak iktiraf sebagai Sangayana. Namun, Thailand iktiraf.

Sangayana Kali Ke-8

Sangayana kali ini diadakan di Thailand kira-kira pada tahun BE 2020. Phra Chao Tilokaraja dari Chieng Mai telah memohon kepada sekumpulan Bhikkhu yang mahir Kitab Tipitaka bagi memperbetul tulisan dalam Kitab Tipitaka. Sangayana diadakan di Wat Photaram selama 1 tahun baru selesai. Ini merupakan Sangayana kali pertama di Thailand.

Sangayana Kali Ke-9

Sangayana diadakan di Thailand pada tahun BE 2331. Raja Cakri yang pertama, Phra Buddhayotfa Chulalok, telah memohon Sangha menyucikan Kitab Tipitaka. Seramai 218 orang Bhikkhu dan 32 orang Ubasok terlibat dalam Sangayana ini. Setelah disucikan, Kitab Tipitaka ditulis semula ke dalam daun lontar. Kerja-kerja ini mengambil masa 5 bulan bari siap. 



   
       

      
       
        
        


2 comments:

Anonymous said...

Terima kasih kerana beri info berguna.

Anonymous said...

Sadhu! Sadhu! Sadhu!