Monday, June 4, 2012

Sila, Samadhi, Panna

Sempena Hari Visakha yang disambut di Thailand dan wat-wat di kampung kita, saya ingin menulis sedikit tentang Panna. Setiap kali ada bulan 8 dua kali, Hari Visakha akan disambut lambat sebulan berbanding negara lain.  Biasanya Visakha disambut pada bulan 6 (Kalendar Thai) tetapi apabila bulan 8 dua kali, Visakha disambut pada bulan 7.

Panna (baca Panya) diberikan makna kebijaksanaan (wisdom). Mungkin kita mendengar orang sebut Panna sejak kita kecil lagi, tetapi sejauh mana kita memahami maksudnya yang sebenar?

Dalam agama Buddha, Panna walaupun diberikan makna kebijaksanaan tetapi tiada kaitan dengan PhD, ijazah atau diploma.  Panna dalam agama Buddha tidak ada kaitan dengan sekolah atau universiti. Orang buta huruf pun ramai yang mempunyai Panna yang tinggi. Sebaliknya, orang yang bergelar doktor, jurutera, peguam, guru dan sebagainya ramai yang tiada Panna. Malahan Raja dan Menteri pun ada yang sama sekali tiada Panna.

Maksud Panna dalam agama Buddha berbeza dengan kebijaksanaan yang kita fahami. Orang yang belajar tinggi-tinggi, kita kata orang bijak. Orang bijak tidak semestinya ada Panna. Panna diberikan makna kebijaksanaan agar kita mudah faham. Makna Panna sebenar lebih daripada kebijaksanaan. Orang yang belajar tinggi-tinggi kaya ilmu. Orang kaya ilmu tidak semestinya ada Panna. Apatah lagi ilmu dunia yang sama sekali tidak ada kaitan dengan Panna.

Dalam agama Buddha, orang ada Panna ialah orang yang mampu mengenali Ariya Sacca 4 iaitu Empat Kebenaran Agung yang terdiri daripada Dukkha, Samudaya, Nirodha dan Magga. Oleh itu, Panna ialah keupayaan mengenali Kebenaran. Sama ada orang itu memiliki PhD atau butu huruf, jika dia berupaya mengenali Kebenaran, maka dia mempunyai Panna. Jika dia tidak berupaya mengenali Kebenaran, dia tidak ada Panna.

Panna dalam agama Buddha tidak wujud secara semula jadi, tetapi mesti diusahakan. Panna lahir daripada Samadhi. Minda yang tiada Samadhi tidak akan melahirkan Panna. Jika kita mahu Panna, kita mesti mengamalkan Samadhi supaya minda mendapat ketenangan. Minda yang tenang melahirkan minda yang fokus. Minda yang fokus inilah yang melahirkan Panna. Kaedah Samadhi ada pelbagai, terpulang kepada kita kaedah mana yang sesuai dengan carita kita.

Dasar kepada Samadhi ialah Sila. Orang yang tidak ada Sila, tidak mungkin akan mencapai ketenangan minda. Sila sangat penting kepada Samadhi. Samadhi pula melahirkan Panna. Oleh itu, orang yang tidak ada Sila, tidak usah bermimpi akan mendapat Panna. Dalam kata lain, Panna tidak lahir pada orang yang tidak ada Sila. Kunci kepada Panna ialah Samadhi. Kunci kepada Samadhi ialah Sila.

Sila, Samadhi, Panna ialah pati agama Buddha. Semua ajaran Buddha yang terkandung dalam 45 buah Kitab Tipitaka apabila dirumuskan hanya tinggal Sila, Samadhi dan Panna.

Berapa orang yang pernah bertanya kepada diri sendiri: "Bilakah aku mahu berpegang pada Sila 5 seumur hidup?" Jika bertaya pun tidak pernah, maka mahu mengamalkannya jauh sekali.

Jika tidak dapat seumur hidup, seminggu sekali pun baik. Atau sebulan sekali pun boleh.

Mungkin ada orang berkata: "Woi, pegang Sila mahu makan apa? Gerak sikit pun sudah langgar Sila!" Jikalau ada pertanyaan begini, biarlah masa berlalu kerana anda belum bersedia untuk itu. Anda sebenarnya belum memahami Sila. Anda menganggap Sila penghalang anda cari makan.

Walaupun kita ada ijazah berbakul-bakul, namun kita tiada Sila, kita tidak usah sombong dengan Luang Ta tua yang buta huruf kerana mungkin Luang Ta itu lebih bijak daripada kita. Panna dalam agama Buddha tiada kaitan dengan pendidikan duniawi. Panna lahir daripada Samadhi Vipassana. Sila pula dasar kepada Samadhi.

Kesimpulannya, Panna dalam agama Buddha berbeza dengan maksud bijak sebagaimana yang kita fahami. Bijak lebih kepada duniawi, manakala Panna berkaitan dengan Kebenaran. Orang yang ada Panna ialah orang yang berupaya mengenali Ariya Sacca 4 dalam maksudnya yang sebenar.

1 comment:

Ariya said...

this article contains some account of real and good facts but there are many mistakes in writing names of the person like name of the kings and places and so on. Some of them must be corrected as Devanam piyatissa, Anuradhapura and so on. may be this happen because writer used to Siamese dialect.
pasadika sutta can not be accepted as Sangayana itself, but in this sutta the Lord Buddha gave permission for holding Sangayana. any way good article although the article causes headache even for Buddhists.