Sunday, June 17, 2012

Thusi Mara: Kehidupan Lampau Phra Moggalan

Phra Maha Moggalan sedang mengamalkan Dhamma secara "berjalan" di tempat yang terang. Mara (syaitan/iblis) menyelinap masuk ke dalam perut Phra Moggalan sehingga beliau berasa seperti seketul batu berada di dalam perut. Beliau lalu beredar ke kediaman dan duduk di suatu sudut. Beliau merenung ke dalam perut dengan mata hati lalu mengetahui bahawa Mara memasuki perutnya. Beliau memanggil Mara keluar. Beliau berkata kepada Mara supaya tidak menyusahkan Buddha dan pengikut Baginda kerana Karma yang bakal diterima bukan Karma yang baik. 

Pada mulanya Mara tidak mahu keluar kerana menyangka bahawa Phra Moggalan tidak nampaknya. Phra Moggalan beritahu bahawa beliau nampak dan kenal Mara dengan baik. Selepas itu barulah Mara keluar melalui mulut Phra Moggalan lalu pergi berdiri di tepi pintu. 

Phra Moggalan memberitahu bahawa beliau ada ternampak Mara yang berdiri di tepi pintu. Beliau mengingatkan Mara supaya tidak tersalah faham bahawa beliau tidak kenal Mara. 

Phra Moggalan bercerita kepada Mara bahawa pada kehidupan yang terdahulu, beliau pernah jadi Mara yang bernama Thusi dan mempunyai seorang adik perempuan bernama Kali. Mara (yang sedang berinteraksi dengan beliau sekarang) ialah anak lelaki kepada Kali dan anak saudara kepada beliau. Pada zaman itu, Buddha yang bernama Kakusantha telah dilahirkan ke dunia menjadi Phra Arahant Samma Sambuddha. Baginda mempunyai dua Maha Savaka (pengikut) yang hebat bernama Vidura dan Sanjiva

Dalam banyak-banyak pengikut Buddha Kakusantha, tiada seorang pun yang boleh menandingi Phra Vidura dalam penyampaian Dhamma. 

Manakala Phra Sanjiva, sama ada di hutan, di perdu pokok atau di rumah buruk, beliau akan duduk Samadhi, masuk samabat tahap Sanna-Vedayita-Nirodha dengan sedikit kesukaran. Pada suatu hari, Phra Sanjiva duduk Samadhi tahap Sanna-Vedayita-Nirodha di bawah sebatang pokok. Pengembala lembu, penternak haiwan, pesawah dan pengembara ternampak Phra Sanjiva sedang berada dalam Samadhi lalu berfikir bahawa sungguh ajaib, sungguh luar biasa kerana samana ini telah meninggal dunia sambil duduk. Mereka pun mencari kayu dan rumput kering lantas membakar Phra Sanjiva sebelum beredar pergi dari situ.

Pada keesokan pagi, Phra Sanjiva keluar daripada Samadhi (samabat), mengenakan jubah dan mengambil batil pergi bindabart di perkampungan. Pengembala lembu, penternak haiwan, pesawah dan pengembara terlihat Phra Sanjiva lalu berkata, sungguh ajaib, sungguh luar biasa, samana yang sudah meninggal dunia kini hidup kembali. 

Phra Moggalan bercerita lagi bahawa Thusi Mara tidak tahu hujung pangkal para Bhikkhu yang bermoral dan bersifat mulia. Oleh itu, dia telah mempengaruhi Brahmana dan orang ramai agar mengutuk, menyindir dan menganiaya para Bhikkhu. Sekiranya Bhikkhu tersebut apabila dikutuk, disindir dan dianiaya, hati mereka berubah, maka ini merupakan peluang kepada Thusi Mara (Bhikkhu kalah kepada Mara). 

Brahmana dan orang ramai setelah dipengaruhi oleh Thusi Mara, maka mereka pun mengutuk, menyindir, menganiaya, menghina, memanggil Bhikkhu sebagai samana kepala botak, seekor lotong dan lahir daripada belakang kaki Phra Phrom (Brahma). Para Bhikkhu apabila diperlakukan begitu, terus patah semangat, leher terkulai, lemah longlai, sedih dan pilu. Maka pada zaman itu, ramai manusia apabila mati dilahirkan di neraka (kerana berbuat jahat kepada Bhikkhu).

Buddha Kakusantha memanggil para Bhikkhu berkumpul dan menerangkan kepada mereka bahawa Brahmana dan orang ramai berbuat begitu kerana hati mereka dipengaruhi Thusi Mara. Buddha Kakusantha menasihati para Bhikkhu agar mereka sentiasa menyuburkan Metta, Karuna, Mudita dan Upekkha dan menghantarnya ke segenap penjuru, ke semua alam kehidupan sama ada sewaktu berada di hutan, di perkampungan atau di mana-mana sahaja. Bhikkhu tidak boleh marah dan berdendam. Metta, Karuna, Mudita dan Upekkha merupakan Dhamma melawan dengan Mara. 

Thusi Mara berfikir, dia telah melakukan kejahatan sebegini tetapi belum tahu hujung pangkal Bhikkhu yang bermoral dan bersifat mulia. Oleh itu, dia pun berfikir akan mengajak Brahmana dan orang ramai supaya menyembah, menghormati dan memuja para Bhikkhu yang bermoral dan bersifat mulia tersebut. Jikalau Bhikkhu berubah hati, maka ini merupakan peluang kepada Thusi Mara. Brahmana dan orang ramai setelah hati dipengaruhi Thusi Mara, maka mereka pun menyembah, menghormati dan memuja para Bhikkhu tersebut. Maka pada zaman itu, ramai manusia yang mati telah dilahirkan di syurga (kerana berbuat baik kepada Bhikkhu).

Buddha Kakusantha memanggil para Bhikkhu berkumpul. Baginda menerangkan bahawa perlakuan Brahmana dan orang ramai terhadap Bhikkhu kerana hati mereka telah dipengaruhi oleh Thusi Mara. Apabila hati Bhikkhu berubah, itulah peluang kepada Thusi Mara.

Buddha Kakusantha menasihati para Bhikkhu supaya tidak terpengaruh dengan pujian dan pujaan. Bhikkhu mesti sentiasa sedar bahawa tubuh badan sebagai benda yang tidak cantik; makanan sebagai benda yang kotor; dunia sebagai tempat yang tidak patut disukai; Sankhara sebagai benda yang tidak kekal. Begitulah Buddha Kakusantha mengajar para Bhikkhu semua supaya tidak terpengaruh dengan pujian dan pujaan orang ramai. 

Pada suatu hari Buddha Kakusantha bersama Phra Vidura berangkat bindabart ke sebuah perkampungan. Thusi Mara merasuk seorang kanak-kanak lalu mengambil batu dan membaling kepala Phra Vidura hingga berdarah. Phra Vidura berjalan mengekori Buddha Kakusantha dengan kepala bermandi darah. Buddha Kakusantha berkata Thusi Mara langsung tidak tahu batasan. Oleh sebab itulah Thusi Mara apabila beredar dari kehidupan Mara, terus masuk ke Maha Neraka. Thusi Mara hidup menanggung azab sengsara beribu-ribu tahun di neraka tersebut dan terbakar di dalam Ussatha-neraka (sebahagian daripada Maha Neraka); menanggung azab yang lebih teruk, berpuluh-puluh ribu tahun lamanya.

Phra Moggalan menerangkan segala azab sengsara yang diterima oleh semua Mara yang berbuat jahat kepada Buddha dan pengikut Baginda.



(Rujukan: Tipitaka Thai)

2 comments:

Anonymous said...

Ingat KSB telah removed sebab tak jumpa cari.

pena reformasi said...

Mohon maaf kerana membuat pembaca kesulitan mencari. KSB telah tukar Komuniti Thai Baru, maka address juga ditukar kepada www.komunitithaibaru.blogspot.com. Tapi pembaca pula masalah tak dapat cari.