Thursday, July 26, 2012

Abhidhamma: Balas Jasa Bonda

Kitab Tipitaka (Thai: Phra Traipidok) terdiri daripada (1) Vinaya Pitaka, (2) Sutta Pitaka dan (3) Abhidhamma Pitaka.  Abhidhamma Pitaka merupakan bahagian yang masih menjadi misteri bagi sesetengah pengkaji agama Buddha. Bahasa Pali yang digunakan berbeza daripada bahasa Pali dalam Vinaya Pitaka dan Sutta Pitaka. Bahasa Pali yang digunakan dalam Abhidhamma Pitaka dikatakan lebih kemudian dan tidak cocok dengan bahasa Pali zaman Buddha. Mungkin atas sebab inilah sesetengah pakar agama Buddha tidak berapa mempedulikan Abhidhamma Pitaka.

Abhidhamma dipercayai dhamma yang digunakan Buddha untuk mengajar bonda Baginda (Mahamaya Devi) di syurga. Sutta yang pernah digunakan untuk mengajar orang lain dikatakan tidak sesuai untuk mengajar bonda Baginda, lantas digunakan Abhidhamma. Mungkin kerana masa itu bonda sudah dilahirkan sebagai Putera Dewa di syurga yang bernama Tusita (Thai:Dusit), maka Abhidhamma sahaja yang sesuai. Ini kisah yang dipenuhi dengan patihara atau keajaiban.

Buddha naik ke alam syurga Tavatimsa/Tavatingsa (Thai: Daodeung). Sedangkan bonda Baginda berada di syurga Tusita, dua tingkat di atas syurga Tavatimsa. Adakah Buddha tersilap syurga? Tidak. Buddha sengaja naik ke syurga Tavatimsa kerana syurga ini tempat pertemuan para dewa dari pelbagai tingkat. Di syurga Tavatimsa terdapat balai raya yang dipanggil Saddhamma Sala yang digunakan untuk mendengar dan membincangkan dhamma. Rupa-rupanya di syurga pun ada balai raya tempat berbincang dhamma.

Buddha berjumpa dengan Raja Dewa Indra (Phra Indra) dan meminta beliau pergi menjemput bonda datang ke syurga Tavatimsa. Buddha merasakan Vinaya dan Sutta tidak sesuai dengan bonda yang begitu berjasa lalu memutuskan untuk memperdengarkan Abhidhamma. Bonda mendengar Abhidhamma bersama para dewa yang sangat ramai iaitu daripada 10,000 cakrawala. Selama satu Vassa (Thai: Phansa) atau 3 bulan Buddha memperdengarkan Abhidhamma tersebut siang dan malam berterusan tanpa henti-henti. Apabila keletihan, dengan kuasa yang ada, Buddha mencipta "Buddha ciptaan" untuk menggantikan Baginda menyampaikan Abhidhamma. Penyampaian Abhidhamma oleh "Buddha ciptaan" ini tidak berbeza sedikit pun dengan Buddha yang sebenar. Betapa luar biasanya kisah ini.

Namun, bukan kisah luar biasa ini yang perlu ditumpukan. Sebaliknya, kisah "membalas jasa" oleh Buddha kepada bonda sehingga ke syurga. Kita tidak perlu memberatkan fikiran sama ada kisah ini benar atau tidak. Sebaliknya, perkara yang perlu kita buat ialah membalas jasa ibu sebagaimana yang dilakukan Buddha.

Istilah "bonda" atau "ibu" atau  "ibunda" atau "emak" merupakan istilah yang tinggi dan wajar disanjungi. Istilah "bonda" ini amat ternilai - tiada tandingannya - tatkala kita sebagai anak terbaring kesakitan. Walaupun tiada seorang pun yang sudi menziarahi, akan tetapi bonda tetap tidak akan meninggalkan anaknya yang kesakitan. (Saya pernah melihat bagaimana seorang ibu menjaga anak lelakinya yang berbaring di hospital beberapa bulan kerana menghidap HIV. Selepas anaknya mati, ibu pula didapati dijangkiti HIV dan mati setahun kemudian.)

Buddha sedar betapa besar jasa seorang bonda. Walaupun terpisah oleh alam yang berbeza - bonda di syurga, Buddha di bumi - namun Buddha tetap mahu membalas jasa Bonda. Baginda seorang Buddha tetapi tetap mahu membalas jasa bonda. Ini menunjukkan bahawa betapa besar jasanya ibu dan betapa mulianya seorang wanita yang melahirkan kita.

Bagaimana dengan kita? Ada orang suka membuat pahala tetapi pada masa yang sama mengabaikan ibunya. Jangan jadi anak derhaka.

Kita sepatutnya mengikut jejak Buddha. Kita mesti berusaha membalas jasa ibunda kita dengan menjaga, memberi makan minum dan memberi kasih sayang sepenuh hati. Apakah gunanya kita membuat baik di merata dunia, jikalau ibunda di rumah diabaikan?








2 comments:

Anonymous said...

Betul sekali ibu sumber pahala yang selalu dilupakan.

Anonymous said...

lupa ibubapa neraka setia menunggu kita.