Tuesday, July 17, 2012

Buktikan Kebenaran Buddha Dengan Minda Sendiri

 Dalam soal agama kita semua bermula sebagai burung Tiong. Kita hanya percaya dan cakap ikut orang tanpa mengerti maknanya. Orang kata agama Buddha baik, kita pun kata baik. Baik itu apa benda kita tidak tahu. Kita tidak tumpah seperti burung Tiong. Untuk tidak terus jadi burung Tiong, sedikit demi sedikit kita belajar, maka kita pun tahu. Kita mengamalkan apa yang patut. Maka pengetahuan kita pun bertambah mengikut amalan kita. Namun, bagi mereka yang malas belajar, mereka tetap jadi burung Tiong.

Kebanyakan kita sebenarnya menjadi penganut agama Buddha kerana ibu bapa kita beragama Buddha. Kita dilahirkan di dalam keluarga dan keturunan agama Buddha, maka kita pun beragama Buddha secara automatik. Sekiranya kita dilahirkan di dalam keluarga beragama lain, kita pun menganut agama lain ikut ibu bapa kita. Sekiranya kita dilharikan di dalam keluara atheis, kita pun mungkin athies.

Kelahiran kita adalah ketentuan Karma. Karma yang membawa kita dilahirkan di dalam keluarga beragama Buddha. Karma adalah perbuatan kita. Perbuatan kita pada kehidupan dahulu yang membawa kita kepada keluarga beragama Buddha pada kehidupan hari ini. Kita menjadi takdir kepada kelahiran kita hari ini. Maksudnya pada kehidupan dahulu kita memang beragama Buddha dan telah membuat Karma baik berkaitan agama Buddha menyebabkan kita dilahirkan sebagai penganut agama Buddha dalam kehidupan sekarang.

Kita dilahirkan sebagai penganut agama Buddha, tidak bermakna bahawa kita secara automatik mengetahui ajaran atau Dhamma Buddha.  Sebalik, ramai yang tidak dilahirkan di dalam keluarga beragama Buddha, tetapi pengetahuan agama Buddha mereka lebih hebat daripada kita. Kelahiran dengan pengetahuan merupakan 2 perkara yang berbeza. Kelahiran ditentukan oleh Karma dahulu. Manakala pengetahuan pula ditentukan oleh Karma hari ini. Karma yang dimaksudkan ialah belajar. Kita mesti belajar barulah kita akan tahu. Jika kita mahu tahu Dhamma, kita mesti belajar Dhamma.

Kita mengakui bahawa Buddha pengasas agama kita. Baginda manusia agung yang tiada tandingannya. Baginda guru kepada manusia dan deva. Baginda mencapai Pencerahan Sempurna dengan usaha sendiri. Ajaran Baginda semuanya benar. Hakikatnya, kita mengakui kebesaran Buddha dan ajarannya semata-mata mengikut kepercayaan ibu bapa dan para guru agama. Ini tentulah tidak cukup. Agama Buddha bukan agama yang berasaskan kepercayaan semata-mata. Agama Buddha berasaskan kebijaksanaan. Oleh itu, kita mesti membuktikan kebenaran agama Buddha dengan diri kita sendiri.

Bagaimanakah kita mahu membuktikannya?

Buddha memberitahu kepada Kassapa bahawa cara membuktikan kebenaran Dhamma Baginda sudah ada. Apabila seseorang mengamalkan cara tersebut barulah dia akan tahu bahawa Dhamma-vinaya yang diperkatakan oleh Buddha adalah benar. Jika tidak mengamalkan cara ini, maka tidak mungkin seseorang itu dapat membuktikan kebenaran Buddha dan ajarannya.

Apakah cara tersebut?

Cara tersebut ialah Magga 8 atau Lapan Jalan Yang Benar. Jika kita mahu mengetahui bahawa Dhamma Buddha itu benar, kita mesti mengamalkan Magga 8 dengan sempurna. Orang yang tidak mengamalkan Magga 8 tidak akan tahu sejauh mana kebenaran Dhamma Buddha. Selepas mengamalkan Magga 8 barulah kita tahu. Hasil amalan kita merupakan bukti yang tidak boleh disanggah oleh sesiapa lagi.

Sebaliknya, seiapa yang tidak mengamalkan Magga 8 tetapi mengakui Dhamma Buddha adalah benar, pengakuan tersebut hanya benar pada prinsipnya sahaja. Manakala mereka yang menafikan kebenaran Buddha dan ajarannya adalah pembohong besar. Bagaimana mereka boleh berkata begitu kerana mereka tidak pernah mengamalkan Magga 8. Hanya Magga 8 satu-satunya cara untuk mengetahui kebenaran ajaran Buddha. Tiada cara lain. Tuhan pun tidak mampu membuktikan kepada kita. Hanya kita yang boleh mencari buktinya melalui Magga 8.

Magga 8 hanya ada dalam agama Buddha. Dalam agama lain tiada. Penganut agama lain, biarpun dia pakar atau guru agama, yang mendakwa ajaran Buddha tidak baik adalah pendusta besar. Dia tidak akan tahu selagi dia tidak mengamalkan Magga 8.  Jadi, kita tidak seharusnya berasa tersinggung dengan dakwaannya. Malahan kita patut berasa simpati kerana dia sedang dalam kejahilan.

Kita dilahirkan dalam keluarga penganut agama Buddha, maka kita pun beragama Buddha. Kita percaya agama Buddha secara ikut-ikutan. Kita jadi seperti burung Tiong. Itu tidak mencukupi. Kita belajar dan kita mengamalkan Dhamma, maka kita tahu kebenaran agama Buddha. Dhamma yang merupakan cara untuk kita mengetahu kebenaran Dhamma Buddha ialah Magga 8.

(Sumber: Tipitaka Thai)

1 comment:

Anonymous said...

Betoi. Orang luar mana tau agama Buddha sebab depa tak praktis dhamma.