Monday, July 23, 2012

Lilin Phansa: Sekadar Tuntutan Tradisi!

Phansa sudah dekat. Kaum Buddhis mula membeli lilin untuk disedekah kepada wat sebagai lilin Phansa. Orang tua-tua percaya memberi sedekah lilin Phansa akan mendapat Karma yang sangat baik. Orang yang menyedekah lilin Phansa akan mendapat kebijaksanaan dan ketajaman akal. Pemberian lilin Phansa ini dikatakan dilakukan sejak zaman Buddha lagi (saya belum jumpa Sutta yang berkaitan dalam Tipitaka) dengan tujuan akan mendapat pencerahan hati seperti lilin.

Pada zaman dahulu, biasanya pelita minyak digunakan penduduk. Lampu elektrik seperti hari ini belum ada. Hanya pelita minyak atau karak atau obor yang digunakan. Maka pelita minyak ini merupakan keperluan yang sangat penting. Oleh itu, memberi pelita kepada bhikkhu mempunyai manfaat yang sangat besar.

Dalam agama Buddha, memberi sedekah lampu kepada bhikkhu lazimnya dikaitkan dengan Phra Anurutha. Beliau mencapai Arahant tahap Vijja 3. Lazimnya, Vijja 3 lemah sedikit daripada Abinna 6, akan tetapi Phra Anurutha mempunyai Dibba-cakkhu yang tinggi sehingga dipuji oleh Buddha sebagai bhikkhu yang mempunyai Dibba-cakkhu paling hebat. Tiada bhikkhu lain yang mampu menandinginya dalam hal Dibba-cakkhu ini. Dibba-cakkhu ialah penglihatan melalui minda atau mata hati, bukan melalui mata kasar. Dibba-cakkhu boleh melihat kelahiran dan kematian segala makhluk. Dalam maksud lain, individu yang mempunyai Dibba-cakkhu ialah individu yang mempunyai minda yang terang.

Menurut Buddha, pada kehidupan terdahulu, Phra Anuruttha Thera selalu memberi sedekah "cahaya api" iaitu lampu atau pelita. Oleh itu, apabila mencapai Arahant, beliau hebat dengan Dibba-cakkhu.

Sewaktu Buddha hendak parinibbana, bhikkhu lain tidak tahu minda Buddha sedang bergerak di tahap mana. Akan tetapi Phra Anuruttha mampu mengikut minda Buddha dengan minda Dibba-cakkhu beliau.
Beliau tahu minda Buddha berada di jhana 1, jhana 2, jhana 3, jhana 4, arupa-jhana dan bergerak semula ke rupa-jhana, masuk jhana 4 dan parinibbana di situ. 


(Selain kisah Phra Anuruttha, terdapat kisah lain berkaitan dengan pemberian pelita kepada bhikkhu atau Buddha.)


Maka kita hari ini memberi lilin Phansa (cahaya api) kepada bhikkhu kerana mahu jadi seperti Phra Anuruttha yang mempunyai minda yang terang? Phra Anuruttha memberi pelita atau lilin kerana pada zaman tersebut hanya pelita atau lilin yang mampu mencerahkan tempat yang gelap. Maka benarlah Phra Anuruttha mendapat kebaikan yang tinggi. 


Sedangkan, pada zaman sekarang orang sudah ada lampu elektrik yang berpuluh kali lebih cerah daripada pelita atau lilin. Cahaya pelita atau lilin terlalu malap berbanding cahaya lampu elektrik. Bahkan kelipan lilin tidak memberi sebarang makna kerana cahaya malapnya ditenggelami oleh cahaya benderang lampu elektrik, kecuali sebagai memenuhi kepercayaan tradisi. 

Sekiranya Phra Anuruttha hidup zaman sekarang, rasanya beliau akan memberi lampu elektrik kepada wat atau bhikkhu bukannya lilin. 

Orang yang bakal mendapat anisong yang besar ialah orang yang tolong bayar bil elektrik kepada wat, atau orang yang membekalkan lampu-lampu kepada wat.  Orang yang mengusung dan mengarak lilin Phansa pergi wat hanya dapat kepuasan. 

Orang dahulu membuat lilin Phansa sendiri secara berkumpulan. Konsep berkerjasama amat menyerlah. Sekarang lilin Phansa dibeli di kedai. 


Orang yang mendapat "anisong" tinggi  ialah tauke kedai yang jual lilin. Dalam setahun berapa banyak lilin Phansa dijual. Jika kita pergi Hatyai, Sungai Golok mahu pun Bangkok, tauke kedai yang menjual lilin Phansa pasti tersenyum lebar pada musim masuk Phansa begini. Selepas Phansa, Kathina pula. Barang-barang dana, jivorn dan sebagainya sangat laris. Kedai pula besar-besar. Barang-barang berkaitan agama Buddha penuh kedai. Siapakah yang bijak? Tauke kedai atau kita penganut agama Buddha? Tauke kedai itu belum tentu dia sembahyang Buddha. Belum pasti dia pernah masuk wat. Namun dia kaya kerana menjual barang-barang keperluan kilesa penganut bagi memenuhi tuntutan tradisi agama. Akan tetapi keuntungannya setiap tahun bukan sedikit hasil "sattha kilesa"  kaum Buddhis seperti kita.


Individu yang berotak geliga turut terlibat dengan perniagaan ini. Mereka membeli lilin Phansa dari Thailand dan dijual kepada kaum Buddhis dengan harga berlipat ganda. Malahan pihak wat pun ada yang melibatkan diri.


Ungkapan penyedap hati yang sering digunakan ialah: "Siapa yang derma lilin Phansa akan dapat anisong tinggi, dilahirkan bijak dan kaya!" Dalam hati dia berkata: "Semakin banyak kau beli, semakin banyak aku untung!" 

Inilah golongan yang mendapat "pencerahan hati"!


Kita berhati terang, menjadi orang bijak dan pintar bukan terletak pada lilin. Untuk menjadi orang bijak dan berhati terang, kita mesti berfikir secara bijak. Untuk dilahirkan bijak pada kehidupan akan datang, kita mesti membuat perkara yang bijak pada kehidupan sekarang!




7 comments:

Anonymous said...

Kikkikkik kawan aku baru tawai tian phansa ke wat. Bila baca tilisan ini frust menonggeng. Apapun aku sependapat dengan Tuan yang untung penjual. Pembeli bongok hingga mati.

Anonymous said...

Saya setuju dengan tuan pena. Lihatlah kerlipan api berpuluh-puluh (adapun ratusan) thian phansa dalam wat. Tapi api letrik wat lebih terang lagi. Lagipun lihatlah jivorn kathin dalam stor wat yang penuh dengan kain oren.

Anonymous said...

Siam tipu Siam.

Anonymous said...

Dulu golongan Brahmana buat lilin dari lemak lembu untuk puja Phra Isuan. Golongan Buddha ikut buat lilin daripada tahi lebah untuk puja Buddha. Itu saja. Mitos belaka tu. Pencerahan hati tak mungkin didapati dengan lilin Phansa. Buddha suruh kita praktis Dhamma tapi kita yang kurang cerdik pergi mengamalkan ritual. Oran tua-tua dahulu mereka tak sekolah. Pelik bin ajaib budak-budak sekarang yang belajar hingga U tapi otak masih kurang cerdik.

Anonymous said...

Setuju dengan pandangan/tulisan Khun Pena...

pena reformasi said...

Ajaran Buddha sangat murni tapi kita telah mencemarkannya dengan ajaran tokok tambah.

Anonymous said...

sawadee tuan pena

Ya, kadang-kadang amat mengelirukan entah yg mana patut diikut dan entah yg mana perlu ditinggalkan. Byk yg melencong dr ajaran Buddha yg sebenar. Mohon sekiranya ada yg arif sila listkan perayaan/festival yg perlu dteruskan dan yg perlu ditinggalkan. Saya rasa byk lagi aspek-aspek amalan kaum kito yg perlu diteliti semula agar bertetapan dgn ajaran Buddha yg sebenarnya
sadhu