Wednesday, July 11, 2012

Mon atau Mantra: Kuasa Sakti di Hujung Lidah?

Masa muda dahulu saya suka benar belajar mon. Pantang mendapat tahu ada orang tua yang ada mon baik, saya akan pergi mencarinya untuk minta mon. Duduk tunggu hingga setengah hari pun rela. Orang Thai memang kaya dengan mon, tetapi sesetengah orang sangat kedekut untuk diturunkan kepada orang lain. Mungkin ada kaitan dengan pantang larang bahawa orang yang belum wai kru tidak boleh beri mon  kepada orang lain nanti mon dia akan jadi tawar dan hilang mujarabnya. Mungkin juga dia takut mon disalah guna ke jalan yang tidak baik. 


Namun, bukan semua orang Thai percaya tentang mon. Ada yang menganggapnya sesuatu yang tidak masuk akal. Terpulang kepada kepercayaan masing-masing. 


Perkataan mon atau mantra ialah perkataan yang diyakini ada "kuasa istimewa" atau "kuasa sakti" yang mampu memberi manfaat tertentu kepada orang yang membaca atau orang yang ditujukan matra tersebut. 

Mantra berasal daripada kata man dan tra (bahasa Sanskrit) yang bererti "pembebasan fikiran" - tentulah pembebasan daripada fikiran negatif yang merosakkan.

Manakala dalam agama Buddha yang menekankan kebijaksanaan dan membicarakan sebab akibat, perkataan mon merujuk kepada Dhamma yang mengajar diri berbanding dengan "kuasa istimewa" atau "kuasa sakti" sebagaimana diyakini masyarakat umum. Sekiranya mahu dikaitkan dengan "kuasa istimewa" atau "kuasa sakti" maka mon tersebut harus dijadikan amalan barulah jadi "kuasa istimewa" atau "kuasa sakti". Maksudnya, mon dalam agama Buddha mesti diamalkan barulah memberi manfaat seperti yang dikehendaki. Selain itu, menenangkan minda masa membaca mon juga memberi faedah.

Di sini diberikan satu contoh sebuah mon yang berbunyi Uk Ar Ka Sa yang dipanggil "hati jutawan".  Biarpun dihafal dan dibaca seribu kali pun rasanya sukar untuk menjadi jutawan. Namun, jika difahami maknanya dan diamalkan dalam kehidupan harian, ada kemungkinan menjadi jutawan.


อุ - ย่อมาจาก อุฏฐานสัมปทา

อา - ย่อมาจาก อารักขสัมปทา

กะ - ย่อมาจากคำว่า กัลยาณมิตตตา

สะ - ย่อมาจากคำว่า สมชีวิตา


Uk - ringkas daripada Ukthan Sampatha iaitu sempurna dengan kerajinan.

Ar - ringkas daripada Arakhak Sampatha iaitu sempurna dengan cara mencari dan menjaga ilmu pengetahuan atau kekayan yang telah dicari.

Ka - ringkas daripada Kalyanmittata iaitu berkawan dengan kawan yang baik; kawan yang tidak mengajak ke jalan jahat.

Sa - ringkas daripada Samjivita iaitu menjalani kehidupan dengan sesuai; tidak terlalu boros atau terlalu kedekut.

Siapa yang berjaya mengamalkan mon di atas, pasti akan mendapat manfaat yang banyak. Jika diperhatikan, para usahawan yang berjaya mesti mempunyai ciri-ciri ini.

Satu lagi mon berbunyi Ta Pi At Sa iaitu mon menjalin persahabatan. Jika tidak memahami maknanya dengan betul; tidak diamalkan dengan baik, rasanya persahabatan tidak terjalin.

Ta = Than (Dana) iaitu pemberian.
Pi =  Piyavaca iaitu bercakap lembut dan manis.
At = Atthacariya iaitu membuat faedah untuk satu sama lain.
Sa = Samanattata iaitu pandai menyesuaikan diri dengan individu atau kumpulan yang ada kaitan dengan tidak mengangkat diri, menekan orang lain; bakal menjalin persahabatan yang baik.
ทา ย่อมาจากคำว่า ทาน 
ปิ ย่อมาจากคำว่า ปิยวาจา 
อัต  ย่อมาจากคำว่า อัตถจริยา 
สะ ย่อมาจากคำว่า สมานัตตตา 
Dalam situasi tertentu dipanggil "Buddha-mon" yang bermaksud mon milik Buddha - kedengarannya seolah-olah perkara yang mempunyai kuasa istimewa atau kuasa sakti. Jika mahu mon yang dibaca mempunyai kesaktian - sesuatu yang boleh terjadi, tetapi mesti disertai dengan sebab-sebab yang masuk akal. Orang yang membaca mon (suad mon) mesti mempunyai Samadhi atau minda yang tenang. Kuasa Samadhi atau ketenangan minda mampu melahirkan sesuatu yang di luar dugaan.

Kuasa minda merupakan kuasa yang tidak dapat dilihat. Jika dilakukan denan betul, bukan setakat kaum Buddhis yang boleh mengunakan kuasa minda. Namun, agama Buddha mengehadkan penggunaan kuasa minda terhadap perkara-perkara yang baik sahaja; perkara yang memberi faedah kepada diri dan orang lain. Tidak boleh menggunakan kuasa minda bagi mengancam orang lain.

Jika kita berkeupayaan menggunakan kuasa minda, kita mesti mengawal supaya tidak digunakan di jalan yang salah.






6 comments:

Anonymous said...

Benar bila tuan pena mengatakan bahawa warga Thai gemar belajar "katha" baru kerana nak cepat kaya, cantik, dan dapat bini banyak banyak.
Kebanyakan katha mempunyai maksuk seperti contoh katha yg tuan pena berikan. Ada juga yant seperti sak yant gao yord yang mesti diaktifkan dengan katha itipiso (ar sang wit su lo pu sa put pak) yg dipopularkan/asal dari Wat Bowon Bangkok. Maknanya ialah kearifan Buddha, tapi kebanyakannya digunakan untuk menyamun, merompak, menjudi dll.

Sebenarnya, perkataan "mon" yg juga bermakna sutta-winai dalam bahasa Thai berasal dari zaman Angkor yang beragama Mahayana dan Hindu. Bila dicampur adukkan dengan"katha" Hindu Kemboja dari tawanan perang Brahmana bila Angkor ditewaskan oleh Ayuthaya - bahasa and sasana pun semakin rojak dari influansi Mahayana Saivite dan Hindu.

Aktiviti aktiviti kesukaan warga Thai di wat seperti Kruat Nam sebenarnya dipinjam dari Hindu-Brahmana. Perkataan "mon" pun dari Brahmana kerana Theravada tidak mengamalkan Mantra.

Anonymous said...

Bunyinya lebih kurang sama dengan perkataan yang sering diberi ingatan oleh orang-orang tua iaitu "U SA HAK" atau "USAHA". Dengan usaha yang jitu, maka hasilnya akan mendatang.

pena reformasi said...

Sukar memisahkan orang Thai daripada mon dan katha. Katha bagi orang Thai ialah kata-kata yang sakti/saksit. Ada juga dipanggil katha akhom. Kebanyakan katha warisan orang Thai dalam bahasa Thai. Katha pengasih, katha kebal, katha pendinding dll. semua ada. Jadi orang Thai jika tak ada katha rasa seperti tak lengkap.

Dalam agama Buddha, katha/gatha ialah sejenis puisi/syair dalam bahasa Pali. Dalam kitab 7 Tamnan misalnya ada banyak gatha.

Anonymous said...

Tuan Pena ada katha baik ko share cikit laa.

Anonymous said...

Haha, tuan pena mesti ada katha2 yang power.

Meskipun katha ada "power" dan saksit, Baginda Buddha pun ada mengajar katha-katha power yang boleh digunakan untuk kekebalan diri semasa tudong, bersalin, dll.

Tapi org kita lebih suka katha dari bhikkhu thai and pha khao kampung sendiri :)

pena reformasi said...

Dulu saya suka belajar katha/mon. Secara pribadi memang saya jenis orang yang percaya kepada katha/mon. Jika dipakai dengan betul memang mujarab.

Katha/mon dalam bahasa Pali boleh didapati daripada buku yang dijual di kedai. Katha Pali ini ada yang lama dan ada yang baru yang dicipta oleh Phra Maha. Ini katha umum yang sesiapa pun boleh belajar.

Katha/mon dalam bahasa Thai meruapakan warisan kaum Thai yang ada dalam kitab-kitab/tamra lama. Yang in sukar didapati. Jika orang percaya kita baru dia akan beri. oleh itu penyebarannya terhad. Kegunaannya pula ada pantang larang tertentu.