Sunday, July 22, 2012

Parami 10: Jalan Menuju Kesempurnaan

Semua makhluk - manusia, dewa dan haiwan - mengimpikan kebahagiaan. Manusia mempunyai kebahagiaan cara manusia. Dewa mempunyai kebahagiaan cara dewa. Haiwan juga mempunyai kebahagiaan cara haiwan. Tiada mana-mana makhluk yang mahu akan kesengsaraan. Kesusahan, kesedihan, kesakitan, kesempitan hidup dan segala yang tidak baik tergolong dalam maksud kesengsaraan.

Manusia berkongsi kesengsaraan yang sama yang berpunca daripada lahir, tua, sakit dan mati. Ini kesengsaraan sejagat yang dihadapi setiap manusia di duniawi. Kesengsaraan ini umpama putaran roda. Oleh itu, menjadi cita-cita golongan bijaksana untuk membebaskan diri daripada kesengsaraan tersebut. 

Setelah berjumpa kaedah mencapai kebahagiaan sejati yang tiada unsur-unsur kesengsaraan, maka menjadi lumrah golongan bijaksana melepaskan kebahagiaan yang kecil demi mencapai kebahagiaan yang sejati. Kebahagiaan yang kecil selalu menjadi penghalang kepada kebahagiaan yang besar. Oleh itu, manusia harus bersedia untuk berkorban. Pengorbanan merupakan perkara pertama yang bakal membawa kita mengenali kebahagiaan sejati.

Salah satu cara bagi manusia mengecapi kebahagiaan yang sejati ialah dengan mengumpul Parami atau Paramita (Thai: Barami).  Parami bermaksud kebaikan yang diamalkan dengan penuh tekun; atau kesempurnaan dalam amalan demi mencapai matlamat kehidupan yang tertinggi, misalnya menjadi Buddha atau para pengikut Buddha. (English: Perfections). Parami mempunyai 10.

1. Dana = (giving, liberality) memberi; bermurah hati; berkorban.

2. Sila = (morality) mengawal pertuturan dan perbuatan. 

3. Nekkhamma = (reunciation) menjauhi diri dan fikiran daripada nafsu berahi (kamma).

4. Panna (Panya) = (wisdom) kebijaksanaan

5. Viriya = (energy) ketekunan; keberanian berusaha tanpa takut akan cabaran, dugaan atau halangan;  berusaha berterusan; dan tidak mengabaikan tugasan.

6. Khanti = (patience) kesabaran; berupaya mengawal diri dan fikiran agar berada dalam kawalan.

7. Sacca = (truthfulness) kebenaran; ketulusan dalam pertuturan, ketulusan dalam perbuatan dan ketelusan hati.

8. Adhitthana = (resolution) ketetapan hati; keazaman yang kuat; meletakkan matlamat dan berusaha mengikut matlamat tersebut sehingga berjaya.

9. Metta = (loving-kindnes) kasih sayang; belas kasihan; berniat baik agar semua manusia mengecapi kebahagiaan dan kemakmuran fizikal dan mental. 

10. Upekkha = (eguanimity) keseimbangan hati; berkecuali; tidak memihak kerana sayang atau benci.



Parami yang betul-betul sempurna mesti merangkumi 3 tahap iaitu:



1. Parami =Parami tahap biasa. Contoh, Dana Parami memberi material atau kebendaan.

2. Upa-Parami = Parami tahap sederhana. Contoh, Dana Upaparami memberi anggota tubuh badan seperti menderma jantung, buah pinggang, mata dan sebagainya bagi menyelamatkan orang lain.

3. Paramattha Parami = Parami tahap tinggi. Contoh, Dana Paramatha-Parami berkorban nyawa untuk orang lain.

Dalam kisah Jataka (Thai: Chadok), diriwayatkan bahawa Bodhisatta (sebelum jadi Buddha) berkorban anggota tubuh, darah dan nyawa sebagai dana kepada makhluk lain.

Contoh 1. Asura (gergasi) mengejar rusa emas di hadapan Bodhisatta. Bodhisatta menghalang. Asura takut Bodhisatta lalu tidak berani mengejar rusa emas. Asura berkata: "Tuan hanya sayang kepada rusa emas, tapi tak sayang kepada saya yang kelaparan!" Bodhisatta terpaksa berkorban darah untuk diminum oleh Asura. Asura minum hingga Bodhisatta meninggal dunia kerana kehabisan darah.

Contoh 2. Seekor helang mengejar burung merpati. Bodhisatta menyelamatkan burung merpati. Helang bising kerana tidak berpuas hati dengan Bodhisatta yang hanya kasihan kepada burung merpati tetapi tidak kasihan kepadanya yang kelaparan dan anak isterinya juga kelaparan. Bodhisatta terpaksa memotong daging sendiri untuk diberi makan kepada helang. Beliau memotong daging sebesar tubuh merpati, namun sebelum habis dipotong, beliau telah meninggal dunia.

Ini merupakan 2 contoh bagaimana Bodhisatta berkorban nyawa demi makhluk lain. Pengorbanan Bodhisatta bukan setakat kepada manusia, bahkan Asura dan haiwan pun ditolongnya. 


Dalam kisah Phra Vessandon (Vessantara Jataka), Bodhisatta berkorban 2 orang anak kepada orang lain. Kisah pengorbanan Bodhisatta terlalu banyak untuk diceritakan. Dalam setiap kehidupan, pelbagai pengorbanan dilakukan untuk kebahagiaan makhluk lain. 

Dalam kehidupan hari ini pun masih ada manusia yang rela berkorban nyawa demi orang lain, terutama orang yang disayangi. Kisah manusia meninggal dunia kerana menyelamatkan orang lain sering juga kita baca dalam akhbar.

"Berkorban nyawa" harus untuk kebaikan orang atau makhluk lain. Jikalau "berkorban nyawa" untuk mencapai agenda tertentu dengan mewujudkan malapetaka kepada orang lain bukan Paramattha Parami namanya.

Sesetengah orang hanya tumpu kepada Dana (sedekah, derma, kebajikan) semata-mata untuk mengumpul Parami. Ini belum mencukupi. Parami mesti mencukupi 10 perkara. Begitu juga dengan sesebuah wat yang terlalu menekankan Dana sahaja dengan mengabaikan Parami yang lain. Ini juga tidak baik.

Parami merupakan fokus utama Mahayana kerana matlamat Mahayana ingin dilahirkan sebagai Buddha. Parami merupakan jalan yang membawa kepada keBuddhaan, maka Mahayana mengamalkan Parami sebagai mengikut jejak Bodhisatta.

Manakala, Theravada lebih fokus kepada Magga 8 untuk menjadi Arahant. Parami juga diamalkan agar apabila tidak berjaya menjadi Arahant dalam kehidupan sekarang, Parami akan membawa kepada kelahiran yang lebih sempurna pada kehidupan akan datang.

Sebenarnya, Parami atau Magga 8, tidak kira Mahayana atau Theravada mesti diamalkan serentak kerana kedua-duanya saling berkaitan. Malahan jikalau diperhalusi, kedua-duanya merupakan perkara yang sama yang membawa seseorang kepada kesempurnaan hidup.

Achan Tho, Wat Rakhang pernah berkata: "Jika kita asyik minta saja - minta itu, minta ini - tapi tak kumpulkan Parami, apa yang akan menolong kita?"

Parami sangat penting. Kita mengecapi kebahagiaan hari ini kerana hasil Parami yang kita kumpulkan hari semalam.


                        

2 comments:

Anonymous said...

Tuan Pena sedang kumpul barami beri dhamma pada pembaca di samping korban masa tulis dhamma. Sathuk 3x.

Anonymous said...

Wat Dhamma Kaya promosi barami dan bun besar. Tambun banyak bun besar. Tambun sikit bun kecil. Siapa cepat dia dapat.