Friday, July 27, 2012

Patihariya 3: Kuasa Luar Biasa

Hari ini mahu tulis tentang Patihariya (Thai: Patihan). Patihan ialah kuasa atau kejadian luar biasa, kuasa supernatural atau kuasa yang di luar kemampuan manusia biasa. Jika kita menggunakan ilmu logik, kuasa Patihan ini amat tidak masuk akal, tidak logik sama sekali. Namun, setiap agama ada kuasa dan kejadian luar biasa ini.

Dalam bahasa Inggeris disebut miracle, marvel. Dalam bahasa Melayu disebut mukjizat, keajaiban.

Mukjizat ialah kejadian luar biasa kurniaan Allah kepada para nabi dan rasul untuk membuktikan kebenaran dan kebesaran mereka. Sedangkan Patihan dalam agama Buddha datang daripada kuasa Buddha semata-mata yang sama sekali tiada kaitan dengan Tuhan atau kuasa luar. Sebab itulah realitinya, Patihan bukan mukjizat dan mukjizat bukan Patihan. Cuma diberikan makna yang sama untuk mudah difahami.

Dalam agama Buddha terdapat 3 Patihariya.

(1) Iddhi-Patihariya = mempunyai kuasa luar biasa, seperti seorang boleh jadi ramai, boleh berjalan menembusi tembok, boleh terbang, boleh menyelam dalam tanah dan sebagainya.


(2) Adesana-Patihariya = mempunyai kuasa membaca dan mengawal minda/hati orang lain, misalnya tahu orang lain sedang berfikir apa, berfikir jahat atau berfikir baik; dan berupaya mengawal atau memaksa hatinya bertindak ikut kehendak kita. 


(3) Anusasani-Patihariya = ajaran Buddha yang mampu mengajar pengikut sehingga berjaya mencapai pembebasan minda (bebas daripada kilesa).


Dalam ketiga-tiga Patihan di atas, Buddha hanya menyanjung Anusasani-Patihariya. Patihan ini digalakkan Buddha kepada penganut untuk diamalkan. Inilah Patihan paling mulia.


Iddhi-Patihariya dan Adesana-Patihariya tidak digalakkan, bahkan tidak disukai oleh Buddha kerana pengamal ilmu batin pun mampu melakukan Patihan ini, terutama golongan pertapa. Di India pada zaman Buddha, ramai pertapa yang mempunyai kuasa luar biasa. Pengamal agama pula selalu menggunakan kuasa ini untuk menarik pengikut.


Ada satu kisah seorang Brahmana yang kaya menjemput Buddha ke negerinya untuk mempersembahkan Iddhi-Patihan dan Adesana-Patihan bagi menarik orang-orang kaya agar menganuti agama Buddha (Dhamma-vinai). Orang zaman dahulu mudah tertarik dengan sesuatu ajaran yang mempunyai Patihan. Namun, Buddha menolaknya. Bagi Buddha, kedua-dua Patihan itu hanya mampu "mengikat hati" manusia supaya "sattha buta" semata-mata tetapi tidak mampu menjadikan mereka bijak dan bebas daripada kebelengguan kilesa. 

Buddha memilih Anusasani-Patihariya kerana dapat membebaskan manusia daripada kesengsaraan secara mutlak.


Iddhi-Patihariya dengan kuasa luar biasa memang mampu menarik hati orang ramai menjadi pengikut Buddha. Namun, apa guna mereka menjadi pengikut yang tidak mengamalkan Dhamma. Mereka hanya kagum dengan kuasa luar biasa tetapi hati tetap tidak bebas daripada kilesa. Minda mereka tetap terbelenggu.


Adesana-Patihariya dengan kuasa membaca minda orang mampu menjinakkan orang tersebut dan seterusnya mengarahkan agar dia akur kepada kehendak Buddha. Namun, orang itu hanya jadi "orang robot" yang tidak ada kebijaksanaan, atau umpama orang yang telah terkena pukau yang tidak berupaya berfikir sendiri. 


Oleh itu, Buddha menolak Iddhi-Patihariya dan Adesana-Patihariya. Sebaliknya Buddha menyanjungi Anusasani-Patihariya yang berasaskan "mengajar" dan menganggap Anussani-Patihariya paling mulia. 


Manakala kita pula sebaliknya. Kita suka kepada Iddhi-Patihariya dan Adesana-Patihariya. Kita seronok jika dapat terbang, berjalan menembusi tembok besar China, berjalan di atas air, seorang jadi ramai dan sebagainya. Kita juga suka jika dapat membaca hati orang lain. Jumpa anak dara, kita terus tilik hatinya. Kita paksa hati dia supaya suka kepada kita.


Apabila ada tok sami datang dari Thailand menunjukkan Patihan, bukan main kagumnya kita. Kita terus puja dan sembah dia. Ada berapa kupang dalam poket seluar terus korek tambun. Kita menganggap itulah kuasa  suci yang didapati daripada Samadhi. Padahal dia hanya main silap mata. Dia tahu datang ke Malaysia kena belajar ilmu silap mata kerana orang Malaysia suka. Jika terkena dengan tok sami yang tua, kurang bercakap dan berjalan pun tidak bermaya, lagilah suka kita. Inilah Ariya bagi kita. Kita mudah sangat menganggap tok sami tua sebagai Ariya Sangha kerana kita sendiri tidak reti benda apa Ariya itu. Kita tidak tahu ciri-ciri Ariya Sangha sehingga terlihat sami bersandiwara kita ingat Ariya.


Dulu ada seorang sami datang ke Kuala Lumpur pandai tukar emas kepada perak. Ramai yang kagum. Dangkal sungguh penganut agama Buddha. Tukar emas jadi warna putih seperti perak dikatakan ada kuasa istimewa. Lainlah kalau tukar besi atau perak jadi emas. 


Ada juga sami yang memperagakan ilmu kebal. Dia buat tatu di belakang dan tiup 3 kali, terus jadi kebal. Dia pakai kapak tetak ke belakang orang itu, tetapi tidak luka, cuma nampak bekas merah. Orang terus percaya sami itu ada kuasa luar biasa. Maka berduyun-duyun pergi bagi dia buat tatu. Saya tanya kepada kawan yang pergi buat tatu, mahu pergi berperang dengan siapa? Dia kata, untuk laris perniagaan. Apa kaitan tatu ilmu kebal dengan pelaris perniagaan? Dia kata sami itu ada bermacam-macam kuasa luar biasa. Ini pun silap mata. 


Satu lagi, Patihariya iaitu Yamaka-Patihariya = kuasa ini hanya ada pada Buddha sahaja. Pengikut atau Arahant lain tiada. Yamaka bermaksud berpasangan. Patihan ini biasanya ditunjukkan secara berpasangan, misalnya api keluar dari bahu kiri, manakala air keluar dari bahu kanan; atau api keluar dari mata kanan, manakala air keluar dari mata kiri. 


Buddha pernah menunjukkan Yamaka-Patihara di bawah pokok mangga kerana dicabar oleh golongan samana agama lain yang sombong. Samana yang sombong mendapat tahu Buddha bakal menunjukkan Yamaka-Patihara di bawah pokok mangga lalu mengarahkan pengikutnya menebang semua pokok mangga yang ada di sekitar kawasan tersebut. Samana sombong tersebut ingat mereka telah menang kerana semua pokok mangga telah ditebang. Pada hari tersebut, ada individu memberi makan Buddha berupa sebiji mangga masak. Selepas makan, Buddha menanam biji mangga tersebut dan menyiramnya dengan air cuci tangan. Dalam sekelip mata pokok mangga membesar, tumbuh dahan, ranting dan daun hingga mencapai ketinggian 50 hasta. Samana sombong mengaku kalah. 


Yamakna-Patihariya juga pernah ditunjukkan kepada saudara mara Baginda. Saudara mara Buddha sangat sombong dan tidak mahu menghormati Buddha kerana Baginda masih muda sehingga Baginda terpaksa menunjukkan Yamaka-Patihariya. Masa turun dari syurga Tavatimsa selepas mengajar Abhidhamma kepada bonda selama 3 bulan, Buddha juga ada menunjukkan Yamaka-Patihariya. 

Sebagai penganut agama Buddha, kita mesti mengikut jejak Buddha iaitu menyanjungi Anusasani-Patihariya yang berupa ajaran Baginda yang boleh melepaskan kita daripada kesengsaraan. Setelah bebas daripada kesengsaraan barulah kita dapat mengecapi kebahagiaan sejati. Kuasa supernatural yang lain tidak berupaya membawa kita mencapai kebahagiaan sejati.

(Sumber: Tipitaka Thai)


6 comments:

Anonymous said...

Sathuk x3

Anonymous said...

Majalah/buku thamma tak laris jual tapi majalah-majalah Patihan, azimat, prawat tok than yg superstar dijual habis-habisan. Orang sekarang nak cepat kaya, nak disukai pompuan, tak nak mati. Oleh tu, ramai tok Sami Thailand mari sini duduk dalam kuali, jalan atas arang, banyaklah gelagak silap mata David copperfield dalam wat.

pena reformasi said...

Manusia suka benda yang pelik-pelik.

Anonymous said...

Manusia suka lakunan tapi tidak suka melakukan kebaikan.

Anonymous said...

SEsiapa berminat dengan tok sami yang mana pergilah,kebebasan masing-masing.

Anonymous said...

Doa kepada Tuhan dari muda hingga tua tak pernah dapat. Tipu belaka.