Thursday, July 19, 2012

Penulisan Dhamma Wajar Kekalkan Istilah Pali

Penulisan Dhamma dalam bahasa Indonesia telah meluas kerana penganut agama Buddha di sana ramai. Bahasa utama mereka pula bahasa Indonesia. Maka permintaan Dhamma dalam bahasa Indonesia amat menggalakkan.

Sebaliknya, penulisan Dhamma dalam bahasa Melayu agak kurang. Web atau blog Dhamma dalam bahasa Melayu boleh dikatakan boleh dikira dengan jari. Cuma sejak akhir-akhir ini, kelihatan beberapa facebook Dhamma atau yang berkaitan agama Buddha mula wujud. Ini sesuatu yang baik. Namun, suatu yang membimbangkan ialah penggunaan bahasa yang lemah, terutama tatabahasa dan istilah. Penggunaan tatabahasa yang salah menyebabkan orang tidak faham apa yang hendak disampaikan. Penggunaan istilah yang salah atau tidak tepat menyebabkan orang terkeliru.

Dhamma asal dalam bahasa Pali. Dari bahasa Pali diterjemah atau ditulis ke bahasa lain. Oleh itu, kerja-kerja penterjemahan atau penulisan menghadapi masalah kosa kata atau istilah, terutama dalam bahasa Melayu.  Penggunaan istilah yang salah akan menyebabkan maknanya tidak tepat. Oleh itu, adalah penting istilah asal dikekalkan. Penulisan Dhamma dalam bahasa Melayu mesti mengikut cara penulisan Dhamma dalam bahasa Thai yang banyak mengekalkan istilah Pali.

Penggunaan istilah yang kurang tepat akan menimbulkan masalah kepada generasi akan datang. Kita lihat sahaja di China, Jepun dan Korea. Dhamma mereka semua dalam bahasa mereka. Bahasa Pali terlalu sedikit dikekalkan. Apa yang terjadi sekarang?  Pentafsiran Dhamma terbabas jauh daripada yang asal. Mahayana sebenarnya telah wujud sejak di India lagi, kemudian berkembang ke China, Jepun dan Korea. Namun, perbezaannya sangat ketara kerana di India masih mengekalkan bahasa Pali (atau Sanskrit), sedangkan di China, Jepun dan Korea sudah ditukar ke bahasa tempatan sepenuhnya.

 Bahkan Dhamma dalam bahasa Inggeris juga bercelaru apabila istilah Pali ditukar ke istilah Inggeris.Jika tidak percaya, cuba bandingkan pemahaman Dhamma pelajar yang belajar Dhamma dala bahasa Inggeris dengan pelajar yang belajar Dhamma dalam bahasa Thai. Tidak sama pemahamannya. Bahasa Thai merupakan bahasa yang paling tepat menghuraikan Dhamma agama Buddha selain bahasa Singhala, Sanskrit dan bahasa di sekitar Pergunungan Himalaya.

Thailand telah mengambil iktibar daripada kesilapan ini. Maka penulisan Dhamma dalam bahasa Thai dikekalkan istilah Pali. Penulisan Dhamma dalam bahasa Melayu juga harus ikut cara Thailand. Istilah-istilah penting harus dikekalkan. Contoh, istilah Upadana (Thai: Upatan) diterjemahkan sebagai clinging (Inggeris) dan kemelekatan (Indonesia). Terjemahan boleh diterima tetapi istilah upadana juga patut digunakan. Jika istilah Pali yang tiada istilah seerti dalam bahasa Melayu, boleh gunakan sistem glosari (menghuraikan makna istilah/perkataan Pali yang digunakan). Ejaan juga mesti betul. Misalnya, Thai baca upatan, tetapi Pali upadana.

Perkataan Patihara (Thai: Patihan) diberikan makna mukjizat atau miracle. Mukjizat ialah bahasa Arab yang bermansud kuasa luar biasa yang dikurniakan kepada nabi atau rasul oleh Allah. Jadi, mukjizat tidak sama dengan Patihan Buddha yang dilakukan sendiri tanpa bantuan kuasa luar. Istilah patihara patut dikekalkan. Mukjizat jika mahu digunakan, cuma sebagai perbandingan untuk mudah difahami pembaca. Begitu juga dengan istilah-istilah lain yang "khas" kepada agama lain tidak sesuai digunakan secara terus dengan agama Buddha kerana akan mengelirukan pembaca. Sebaliknya, istilah Pali dikekalkan dengan memberi huraian makna di bahagian glosari.

Penggunaan istilah Pali juga memudahkan pembaca yang tidak faham membuat rujukan kepada Kamus Pali - English atau Pali - Thai. Kamus Pali - Melayu belum ada. Namun, ejaan juga mesti betul.













4 comments:

Anonymous said...

Satu contoh penterjemahan yang kurang memuaskan ialah "Vipassana" - bila dibacakan dalam bahasa Inggeris ialah - "wisdom" atau "insight". Tapi betulke penterjemahannya? Saya tidak setuju kerana Vipassana bukan sememangnya "insight" tepapi mesti ada "recollection of the dhamma" (Sati) juga. Oleh kerana penterjemahan terpesong, ramai pengikut-pengikut negara asing percaya bahawa meditasi vipasana cukup untuk Nibbanna tanpa Dhamma.

Kitab al-Quran masih dibaca dan ditafsir dari bahasa Arab kerana apabila diterjemahkan kepada bahasa lain, mudah memesongkan maknanya.

Lihatlah, kitab Kristian yang mempunyai banyak versi, adakala maknanya pun lain.

Di Cina purba, sami-sami Ghandara dan Kushan yg expert penterjemahan Sanskrit membawa pengikut-pengikut mereka ke neraka dengan sutra-sutra ciptaan sendiri dengan kepercayaan yang anti-Buddhisme dan kepercayaan pesong. Oleh itu, bahasa Pali mesti berwibawa dalam Sasana Thai Theravada.

pena reformasi said...

Saya setuju dengan saudara bahasa Pali paling baik. Sebab itu istilah khusus mesti kekal istilah Pali. Terjemahan yg salah menghasilkan tafsiran yg salah. Penulis dhamma mesti peka dan berhati-hati.

Anonymous said...

Syabas, Tuan kerana berterusan menyumbang dhamma sangat berguna kepada orang seperti saya yang tiada pandai bahasa Thai. Blog Tuan banyak membantu saya mengetahui dhamma dengan mendalam.

Terima kasih!

Anonymous said...

Ada tok sami buka fb tapi tulis tak tau dhamma atau pun ajaran agama apa. Puak remaja asyik like dan sathuk betul tak betul like dan sathuk.