Tuesday, July 3, 2012

Samma Ditthi: Bagaimana Dengan Pengikut Dhammakaya?

Seorang sahabat secara berseloroh bertanya kepada saya, kenapa semakin ramai orang Thai kita menyertai Dhammakaya? Dia dahulu pun anti Dhammakaya, tetapi sekarang sudah pro. Saya berkata, teknik menarik orang ramai yang digunakan oleh Wat Dhammakaya sangat profesional. Disiplin pengikutnya sangat ketat. Wat Dhammakaya mempunyai cawangan di seluruh dunia dan mempunyai universiti terbuka.

Dia bertanya lagi, kali ini tentang Dhamma yang dianjurkan Wat Dhammakaya. Saya kata, Wat Dhammakaya pernah menjadi tumpuan para bijak pandai agama Buddha sejenang dahulu kerana isu Nirvana Atta. Theravada mengajar Nirvana adalah Anatta, tetapi Dhammakaya yang juga Theravada mengatakan Nirvana adalah Atta. Lazimnya, konsep Nirvana Atta dibawakan oleh Mahayana. Inilah "keluarbiasaan" Dhammakaya yang merupakan Theravada, tetapi menyakini konsep Nirvana adalah Atta selari dengan Mahayana. Perkara ini tidak akan menjadi isu sekiranya Wat Dhammakaya mengisytiharkan mereka adalah Mahayana. 

Wat Dhammakata tidak menjadi masalah kerana pegangan mereka kukuh bahawa Nirvana adalah Atta. Persoalannya, bagaimana dengan pandangan (Ditthi) pengikut Dhammakaya? Adakah pandangan mereka juga Nirvana adalah Atta, atau Nirvana adalah Anatta atau masih kabur? 

Mungkin orang akan berkata, Nirvana terlalu tinggi dan tidak perlu diperkatakan lagi. Pegang Sila 5 supaya cukup dahulu. Ini pernyataan yang nakal. Nirvana tidak tinggi. Nirvana ada dalam diri kita semua. Jika kita percaya bahawa Nirvana adalah Anatta, maka dengan sendiri kita terima bahawa diri kita juga Anatta. Sebaliknya, jika kita percaya bahawa Nirvana adalah Atta, maka diri kita juga Atta. Perkara ini mesti difahami dengan baik. Samma Ditthi umpama mata yang memandu kita ke arah yang betul.

Anatta atau Atta bukan masalah. Umpama kita melihat seekor binatang, kita boleh kata kambing dan melayannya seperti kambing. Atau kita boleh kata harimau dan melayannya seperti harimau. Itu bukan masalah. Masalah akan timbul apabila sebelah pagi kita kata kambing dan dilayan seperti kambing dan sebelah petang kita kata harimau dan dilayan seperti harimau. 

Untuk memperjelaskan hal ini lagi, saya menghuraikan Samma Ditthi mengikut definisi Bhikkhu P.A. Payutto.


Bhikkhu P.A Payutto memberi definisi Samma Ditthi sebagai Pandangan Yang Betul, iaitu meliputi:

1. Mengetahui Ariya Sacca 4, atau

2. Mengetahui Trilaksana (Anicca, Dukkha, Anatta), atau 

3. Mengetahui Kusala dan Kusala Mula (kebaikan dan puncanya), Akusala dan Akusala Mula (kejahatan dan puncanya), atau 

4. Mengetahui Paticca Samuppata. 

Samma Ditthi merupakan perkara pertama dalam Magga 8. 


Faktor yang melahirkan Samma Ditthi 

Faktor yang melahirkan Samma Ditthi ada 2 (Jalan yang melahirkan pemikiran yang betul, punca atau sumber kepada segala kebaikan):

1. Parato-mosa 

Belajar daripada orang lain atau rangsangan luar; iaitu mendengar nasihat, panduan, pelajaran, perbincangan, soal jawab dan sebagainya daripada orang lain, terutama daripada "sahabat yang baik" atau yang dipanggil Kalyan-mittata (กัลยาณมิตตตา). 

2. Yoni somanasikara 

Menggunakan teknik pemikiran yang betul; melihat segala benda dengan fikiran yang terbuka dan matang, meneliti setiap permasalahan dari sudut pro dan kontra, membuat analisa secara terperinci dan menggunakan alasan-alasan yang munasabah untuk membuat keputusan.


Dua perkara ini dipanggil elemen yang membentuk pendidikan. Kalyan-mittata sangat penting dan mesti ditekankan. Oleh sebab itulah Buddha suruh kita berkawan dengan orang-orang yang baik kerana mereka akan mempengaruhi pandangan kita. Pandangan Yang Betul mencorakkan kehidupan dan jalan kehidupan yang betul. 

Faktor yang melahirkan Micca Ditthi (Pandangan Yang Salah) juga ada 2, iaitu Paratomokha dan Ayoni somanasikara yang bertentangan dengan 2 faktor yang dihuraikan di atas.

Samma Ditthi nombor 2 iaitu mengetahui Trilaksana. Mengetahui di sini ialah mengetahui dengan jelas. Apabila kita samar-samar dalam Trilaksanan bermakna kita belum ada Samma Ditthi. Trilaksana dalam Theravada ialah segala benda Anicca, segala benda Dukkha dan segala Dhamma Anatta. Nirvana juga Anatta. 

Pengikut Dhammakaya mempunyai Ditthi yang kabur. Masa pergi Wat Dhammakaya mereka mempunyai Ditthi Nirvana adalah Atta dan apabila balik ke wat di kampung halaman mereka tukar balik Ditthi Nirvana adalah Anatta? Betapa bercelarunya Ditthi mereka. Ditthi begini dikatakan tiada Ditthi atau Micca Ditthi kerana berubah-ubah dan tidak tetap. Atau pengikut Dhammakaya tiada Ditthi, tiada Pandangan? 

Magga 8 ialah cara mengamalkan Dhamma yang betul. Magga pertama ialah Samma Ditthi atau Pandangan Yang Betul. Tanpa Samma Ditthi, Magga yang lain akan ikut salah. Jika Ditthi tidak menentu, keliru atau kabur, maka Magga yang lain juga tidak menentu, keliru atau kabur. 

Apakah penyelesaiannya?

Pernahkah anda melihat pengikut Mahayana mengamalkan Dhamma mengikut cara Theravada? Mahayana tidak akan mengikut cara Theravada kerana mereka mengamalkan Dhamma (Paramitta) untuk menjadi Buddha. Sedangkan Theravada mengamalkan Dhamma untuk mencapai Arahatta dan Nirvana Anatta. Bagaimana dengan Dhammakaya? Dhammakaya mengamalkan Dhamma untuk mencapai Nirvana Atta. 

Anatta ialah tiada diri. Atta ialah ada diri. Dua konsep yang bertentangan umpama ufuk Timur dan ufuk Barat. Pengikut Dhammakaya yang bijak tidak menjadi masalah kerana mereka telah membuat pilihan yang tepat iaitu ikut cara Dhammakaya 100 peratus. 

Masalahnya timbul kepada pengikut Dhammakaya yang kabur, tiada pendirian, main ikut-ikut kawan kerana tiada keputusan mahu ikut yang mana satu. Sekejap pergi Wat Dhammakaya, sekejap balik ke wat di kampung. Sekejap ikut cara Dhammakaya, sekejap ikut cara wat di kampung. Mungkin mereka tidak nampak perbezaannya. 

Jika kita hendak ke ufuk Timur, ikut jalan ke Timur. Jika kita hendak ke ufuk Barat, ikut jalan ke arah Barat. Apabila sekejap ke Barat dan sekejap ke Timur, bila akan sampai? Keputusan mesti dibuat dengan segera. Saya rasa pengikut Dhammakaya di tempat saya belum sedia membuat keputusan. Mungkin mereka masih kabur dan terkeliru. Jika begitu, hingga mati mereka tidak berjaya sampai ke destinasi.

Samma Ditthi sangat penting. Jika kita mempunyai Micca Ditthi, maka amalan Dhamma kita, kehidupan kita pun jadi Micca Ditthi. Pengikut Dhammakaya harus memperhitungkan perkara ini dengan betul. Orang tua-tua berpesan, jangan berdiri di atas dua perahu, nanti perahu terpisah, kita terkangkang dan terhumban ke dalam air. 





6 comments:

Anonymous said...

paparan menarik.

Anonymous said...

Ramai orang kampung pergi ke wat dhammakaya sekarang kerana disediakan transpot percuma.

Anonymous said...

Terima kasih tuan pena. Tepat sekali.
Ajaran Dhammakaya juga mementingkan tambun duit untuk mencapai niphan. Sejak bila perak dan emas boleh membeli Niphan? Agak agak Si Dhammachayo tu pernah membaca sejarak agama Katholik dan "Indulgence".
Pernah saya dengar khabar kekesalan mendiang Luang Por Sod mengajar "wrong view" dalam bentuk meditasi Dhammakaya pada hari kematiannya.

pena reformasi said...

Tulisan ini berdasarkan penjelasan saya kepada kawan saya yang sedang gila Dhammakai. Dulu dia anti, sekarang jadi pengikut. Selepas dengar penjelasan saya, dia mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberi dia pencerahan.

Samma Ditthi perkara yang sangat mustahak bagi kaum Buddhis. Ditthi yang salah membawa kita ke jalan yang salah, biarpun kita kata betul, tapi hakikatnya adalah salah.

Anonymous said...

Saya tahu Dhammakai ingin "memodenkan" sasana. Tapi caranya mengerikan. Adakah dhamma-winai moden berkaitan dengan rumah dan kereta besar? Adakah dhamma-winai berkaitan dengan Pelepasan atau peluang untuk shopping di Siam Paragon tiap tiap hari? Untuk mencapaikan kuasa and influansi dalam kanak song, mesti ada public relations yang kuat. Inilah matlamat wat dhammakai. Zaman sekarang org-org muda yang gilakan "fad" dan kultur asing seperti fesyen Jepun and Korea, dan materialisme "inter" - PR Wat dhammakai pun menyebarkan bahawa tambun banyak banyak boleh cantik, kaya and mencapai niphan dengan cepat. Meditasi cara dhammakai boleh "nampak and wai" Phra putthajao.
Melatih minda dan Sila tu berangsur-angsur, bukan kecap aje jadi Arahan.

Anonymous said...

Pergi wat Thammakai balik kaya member ambo buard tiap tahun.