Friday, July 13, 2012

Sangaha-Vatthu 4: Mantra Pengasih Paling Mujarab

Hari ini mahu tulis tentang "mon pengasih" yang diberikan oleh Buddha yang paling mujarab yang bernama Sangaha Vatthu 4. Mon ini berbentuk universal dan uniseks kerana semua orang boleh menggunakannya. Mon mujarab ini tidak perlu dihafal atau dibaca atau ditiup ke kiri, ditiup ke kanan. Sebaliknya mesti diamalkan setiap waktu; pasti kita akan menjadi kesukaan orang.


Sangaha Vatthu 4

1. Dana = memberi, berkongsi dan berkorban untuk orang lain. Sikap ini harus disuburkan agar kita tidak menjadi orang yang hanya mementingkan diri, sebaliknya sanggup membantu orang lain. Sikap suka memberi, berkongsi dan berkorban merupakan mon pengasih nombor satu. Bak lagu P. Ramlee, berkorban apa sahaja, harta atau nyawa. Itulah kasih setia dan selamanya.

2. Piyavaca = Bertutur dengan sopan, manis, lembut, enak dan jujur; tidak bercakap kasar, mengata, menyindir, memfitnah dan melaga-laga orang;  bercakap hanya tentang perkara yang membawa faedah nescaya disenangi orang. Ini mon pengasih yang kedua. Kata-kata yang manis, jika terkena dengan adunannya, boleh membikin orang rebah di kepala lutut. Hati yang keras pun boleh menjadi cair.

3. Attha-cariya = Saling membantu dan menolong umpama peribahasa yag berbunyi berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Membantu atau menolong bukan setakat individu, bahkan merangkumi kebajikan masyarakat. Ini mon pengasih yang ketiga yang boleh melunturkan hati jiran yang sombong. Bahkan musuh pun boleh mengangkat tangan apabila kita menghulurkan bantuan masa dia betul-betul dalam kesusahan.

4. Sama-natta = Meletakkan diri kita setaraf dengan orang yang sedang berhubung dengan kita. Kita tidak boleh meninggi diri, sombong, angkuh atau berlagak. Apabila kita bercakap dengan orang yang lebih rendah kedudukannya dengan kita, kita tidak boleh meninggi diri. Semua orang, kaya atau miskin, pangkat besar atau pangkat kecil, belajar tinggi atau buta huruf mempunyai harga diri yang sama sebagai manusia. Ini mon pengasih yang keempat yang membuat orang lain tidak segan untuk bersembang berlaga lutut dengan kita.

Kesemua mon pengasih di atas mesti diamalkan serentak kerana datangnya berbentuk pakej. Jika diamalkan dengan sungguh hati, tiada sebab orang akan membenci kita. Inilah mon atau mantra pengasih yang paling mujarab untuk mengikat hati orang.


(Sumber: Kitab Tipitaka Thai)





























5 comments:

Anonymous said...

Terima kasih banyak Tuan memaparkan dhamma dalam BM.

Anonymous said...

Tuan Pena patut pakai mon ni buat teladan pada orang lain he he he.

pena reformasi said...

Saya tak sesuai dengan mon pengasih ini. Prinsip saya keras dan tegas. Orang kata saya celupar, mengata dan mengutuk orang. Apa salahnya mengata yang benar dan mengutuk yang jahat.

Anonymous said...

Bahasa yang anon July 14, 2.29pm pakai ni semacam kenal dan tak sehaluan dgn khun Pena, he he he.

pena reformasi said...

Bahasa menunjukkan bangsa dan orangnya!