Wednesday, July 4, 2012

Semua Manusia Bersaudara

Dalam Visuddhi-magga diberikan 9 cara mengekang kemarahan. Salah satu daripadanya adalah dengan memahami realiti kehidupan Vatta Samsara di mana kebanyakan manusia pernah bersaudara.

Buddha pernah berkata bahawa dalam kehidupan Vatta Samsara (Pusingan Kehidupan) yang tidak dapat dipastikan titik permulaannya, manusia yang tidak pernah jadi ibu, bapa, anak lelaki atau anak perempuan antara satu sama lain bukan senang dicari. Maksudnya bukan senang mencari manusia yang tidak pernah ada pertalian darah atau tali persaudaraan. Vatta Samsara memakan masa yang lama sehingga tidak dapat dipastikan titik permulaannya. Mungkin merangkumi 1000 kehidupan, 10,000 kehidupan, 100,000 kehidupan dan sebagainya. Dalam jumlah pusingan kehidupan yang tidak terhitung ini, adalah sukar mencari manusia yang tidak pernah ada pertalian darah atau tali persaudaraan. Maka sebab itulah, agama Buddha berkata semua manusia adalah bersaudara yang berkongsi kelahiran, penuaan, kesakitan dan kematian.

Konsep persaudaraan dalam agama Buddha tidak terhad kepada penganut agama Buddha semata-mata, sebaliknya merangkumi seluruh umat manusia. Sebab itulah Buddha tidak pernah menghukum neraka kepada seseorang, puak atau kumpulan semata-mata kerana mereka bukan beragama Buddha. Sebaliknya, agama Buddha mengajar bahawa sesiapa yang berbuat jahat - tanpa mengira agama - akan ke neraka; sesiapa berbuat baik - tanpa mengira agama - akan ke syurga; sesiapa yang mengamalkan Dhamma mengikut Magga 8 akan mencapai Nirvana.

Semua manusia adalah bersaudara. Oleh hal demikian, apabila timbul perasaan marah terhadap seseorang, maka berfikirlah bahawa orang tersebut mungkin pernah jadi ibu atau bapa kepada kita dalam kehidupan-kehidupan yang lepas.

Orang yang jadi ibu telah menjaga kandungannya dengan baik selama 10 bulan. Setelah melahirkan bayi, dia menjaga bayi dengan baik. Dia tidak pernah berasa jijik dengan najis, kencing, air liur atau hingus bayi kesayangannya. Dia menjaga anaknya dari kecil sehingga besar.

Orang yang jadi bapa, terpaksa bekerja kuat menyara keluarga. Bagi yang berniaga terpaksa menempuh perjalanan jauh dan berbahaya. Adakalanya terpaksa bergadai nyawa mempertahankan negara. Ada yang ke laut bertarung dengan ombak mencari sesuap nasi. Betapa susahnya mencari rezeki demi menjaga anak dan keluarga.

Jika tidak pernah jadi ibu atau bapa, mungkin pernah jadi abang, kakak, adik, saudara mara mahupun sahabat handai yang pernah tolong menolong, bantu membantu dan pernah mengharungi pahit maung bersama-sama dalam kehidupan yang lalu. Dalam Vatta Samsara yang tidak terhitung masanya itu, tentulah ramai yang pernah berjasa kepada kita. Kita mesti mengenangkan detik-detik tersebut dan menghargainya sepenuh hati. Oleh itu, adalah amat tidak wajar kita menyimpan kemarahan kepada orang lain.


Kesimpulannya, kita semua adalah bersaudara. Sekiranya timbul apa-apa yang mengundang kemarahan, fikirlah tentang persaudaraan tersebut. 


2 comments:

Anonymous said...

Bukan mudah bendung marah bila dipermain berkali kali

Anonymous said...

Suburkan metta kepada orng kita marah. Sathuk.