Saturday, July 7, 2012

Sila Dhamma: Amalkan Secara Berpasangan


Sila Dhamma (ศีลธรรม) bermaksud perbuatan yang baik yang merangkumi Sila dan Dhamma. Biasanya Sila Dhamma disinonimkan dengan moraliti. Dalam maksud yang biasa Sila Dhamma merujuk kepada Panca Sila dan Panca Dhamma iaitu Sila 5 dan Dhamma 5. Sila Dhamma merupakan suatu panduan moral kepada sesuatu masyarakat agar dapat menjalani kehidupan secara aman dan bahagia.


Sila ialah moral asas dalam agama Buddha yang digunakan untuk mengawal perbuatan dan percakapan agar dapat membawa kebahagiaan kepada diri dan orang lain. Apabila perbuatan dan percakapan terkawal, pemikiran pun tenteram, hati pun tenang. Sila merupakan asas kepada meditasi.


Apakah Dhamma? 


Sebenarnya, dalam kehidupan manusia sudah mempunyai Dhamma tetapi masih ada beberapa jenis Dhamma yang mesti dipupuk agar kehidupan menjadi lebih baik.


Dhamma mempunyai 4 maksud.


(1). Alam Semulajadi (Dhammachat); (2). Peraturan-peraturan Alam Semulajadi; (3). Tugas atau Tanggungjawab Mengikut Undang-undang Alam Semulajadi; (4). Hasil daripada Tugas atau Tanggungjawab. (Buddhadasa Bhikkhu).


Jikalau kita mementingkn Sila semata-mata tanpa mementingkan Dhamma, maka Sila yang diamalkan tidak mencapai matlamat Sila sebab Sila ialah sebahagian daripada Dhamma (tugas atau tanggungjawab mengikut peraturan alam semulajadi). Sila akan membawa kita mengenal Dhamma yang lebih tinggi. Sila merupakan amalan asas bagi kita menjalani kehidupan yang bertepatan dengan Dhamma. Kita mesti mempunyai Sila yang bergerak selari dengan Dhamma. 


Orang yang ada Sila semestinya mengamalkan Dhamma. Sila dan Dhamma mesti bergerak selari sepanjang kehidupan kita. Kita tidak boleh sekadar mempunyai Sila, tetapi tidak mengamalkan Dhamma. Ini tidak lengkap. Sila tidak lengkap tanpa Dhamma.

Dhamma 5 perkara yang berpasangan dengan Sila ialah: 

1. Metta Karuna.

Metta ialah perasaan sayang yang membantu mewujudkan kebahagiaan kepada diri sendiri dan orang lain. Orang yang ada Metta tidak akan menyusahkan orang lain (termasuk haiwan). Jika perasaan sahaja sayang kepada orang lain (atau haiwan) tetapi pada masa yang sama masih menyusahkan orang atau haiwan, bukan Metta namanya. Bersubahat dalam perbuatan menyusahkan orang lain juga dikira tiada Metta. 

Manakala Karuna ialah perasaan belas kasihan yang membantu membebaskan diri sendiri dan orang lain daripada kesengsaraan. Karuna mesti disertai usaha membantu, bukan semata-mata perasaan belas kasihan atau simpati. Jika perasaan belas kasihan sahaja belum boleh dipanggil Karuna. Orang yang ada Karuna, apabila melihat orang lain dalam kesusahan, dia akan segera membantu. Jika sekadar mengeluh dan berkata: "Oh, kesiannya dia!" belum boleh dikatakan ada Karuna. 


Metta dan Karuna ini merupakan Dhamma yang mesti dipupuk dan disuburkan selari dengan Sila nombor 1 iaitu Panatipata (tidak membunuh dan menyusahkan makhluk lain).


2. Samma Ajiva.


Menyara kehidupan dengan betul. Maksudnya kita harus menyara diri dan keluarga dengan rezeki yang halal, tidak menyalahi undang-undang dan moraliti masyarakat. Samma Ajiva berpasangan dengan Sila nombor 2 iaitu Adinadana (tidak mencuri, merompak atau melanun).


3. Sandot


Berpuas hati atau cukup dengan apa yang kita miliki. Kita mesti berpuas hati dengan pasangan kita dan cukup dengan dia seorang. Jangan pandai-pandai mahu menambah. Sandot ini berpasangan dengan Sila nombor 3 iaitu Kame Sumicca (tidak mengadakan hubungan kelamin dengan orang lain yang bukan isteri atau suami). Kame ini bukan setakat hubungan fizikal, hubungan intim "berbentuk perasaan" pun tidak boleh. Sebagai manusia biasa, kita tidak boleh lari daripada nafsu berahi. Oleh itu, mengawal perasaan agar tidak terjebak dalam perbuatan yang melanggar moraliti amat penting. Kita mesti belajar berpuas hati dan cukup dengan apa yang kita ada. 


4. Sacca.


Sacca ialah kebenaran. Sacca merangkumi ruang yang luas, termasuk kejujuran, keikhlasan, kepatuhun, tidak menderhak, reti membalas budi dan sebagainya. Semua ini mesti dijaga dengan baik. Sacca berpasangan dengan Sila nombor 4 iaitu Musa  (tidak berbohong). 


 5. Tidak Pramat


Pramat biasanya diberikan maksud leka, lalai, tidak berhati-hati dan tidak mengambil berat. Tidak Pramat ialah tidak leka, tidak lalai, sentiasa berhati-hati dan mengambil berat. Orang yang Pramat ialah orang yang melakukan sesuatu tanpa Sati. Manakala orang yang tidak Pramat ialah orang yang sentiasa ada Sati. Sati ialah kesedaran. Buat kerja mesti ada Sati, mesti ada kesedaran. Buddha dalam khutbah terakhir menasihati pengikut agar tidak Pramat dalam mengamalkan Dhamma. 


Tidak Pramat berpasangan dengan Sila ke-5 iaitu Sura (tidak minum arak).


Dhamma 5 perkara ini merupakan Dhamma yang berpasangan dengan Sila 5 yang harus diamalkan bersama-sama. 


Kesimpulannya, kita tidak boleh menekankan Sila sahaja, kita juga mesti menekankan Dhamma yang menjadi pasangannya. Saya bagi contoh. Kita berpegang pada Sila 5. Anak kecil kita bermain dengan kucing. Dia menarik ekor kucing, menendang kucing dan memijak kucing. Kita cuba larang tetapi anak kita tidak dengar lalu kita biarkan sahaja. Memang Sila 5 kita tidak putus kerana kita tidak membunuh kucing dan anak kita juga tidak membunuh kucing. Namun, kita tiada Metta dan Karuna. Kita cuma ada Sila tetapi tiada Dhamma yang menjadi pasangannya. Maka kita sebenarnya belum boleh dikatakan "orang yang ada Sila" (phu mi Sila). Ini sekadar satu contoh. Banyak lagi contoh lain yang berlaku di sekeliling kita. 


Dhamma 5 perkara membawa maksud yang sangat mendalam. Cuba renungkan dengan baik. Ini merupakan Dhamma yang sangat penting untuk diamalkan. Untuk menjadi "phu mi Sila" kita mesti mengamalkan Sila dan Dhamma serentak secara berpasangan. 

No comments: