Sunday, July 1, 2012

Tok Dalang Muda, Buta Sejak Kecil!

Siapa sangka, seni wayang kulit Thai yang sepi seketika, tiba-tiba mendapat nafas baru dengan kemunculan seniman muda yang buta mata tetapi tidak buta hati. 


Nong Deu ( น้องเดียว) atau Banyat Suwanwenthong (23th), berasal dari Nakhon Si Thammarat, Thailand, seorang tok dalang wayang kulit Thai (wayang gedek) yang berbakat istimewa. Beliau buta sejak kecil. Beliau hidup dalam dunia yang gelap sejak lebih 20 tahun dan kini bermain dengan bayang-bayang. Berkat kegigihan dan minat yang tinggi terhadap "seni bebayang" beliau berjaya mengukir nama sebagai Tok Dalang yang dikagumi ramai.  Beliau bermain wayang kulit sejak 7 tahun dahulu dan mula dikenali dan popular sejak beberapa tahun yang lepas. Beliau berjaya memecahkan gelak ketawa di mama-mana sahaja beliau membuat persembahan. Tua, muda, lelaki, wanita mahupun kanak-kanak tidak pernah kering gusi setiap kali duduk menghadap panggung dan menyaksikan watak Theng, Nunui, Yot Thong, Thor dan lain-lain bersenda di sebalik kelir.

Selain berkemampuan menggerakkan patung-patung kulit dengan baik, beliau mempunyai bakat besar dalam seni nyanyian dan seni muzik. Persembahan wayang kulit beliau dihidupkan dengan lawak jenaka yang bersahaja dan diselangi nyanyian lagu-lagu popular. Beliau juga mempunyai kebolehan bermain keyboard dengan baik. Inilah identiti Nong Deu yang sekarang sedang diusahakan untuk dicatatkan dalam Guinness Record selaku tok dalang muda yang buta tetapi berbakat dan berkemampuan luas biasa. 

Minat beliau terhadap wayang kulit bermula apabila beliau mendengar persembahan wayang kulit daripada video tape milik neneknya. Beliau mendengarnya berpuluh-puluh kali. Dari situlah beliau belajar "dialog dan lagu" wayang kulit. Beliau mula berlatih nyanyian sejak berusia 10 tahun dan belajar bermain wayang kulit apabila usia 15 tahun. Beberapa orang tok dalang mengajar beliau cara-cara menggerakkan patung sehingga beliau menjadi mahir. 

Persembahan pertama beliau hanya dengan 7 patung wayang kulit sahaja di depan sebuah kedai menjual laksa. Persembahan secara "main-main" ini mendapat sambutan yang luar biasa daripada masyarakat setempat. Dari situlah nama "Nong Deu" mula tersebar. Banyak pihak memberi dorongan dan galakan. Beliau selalu dijemput membuat persembahan di karnival-karnival besar. 

Sesuatu yang amat mengagumkan ialah jadual persembahan yang diterima beliau hingga sekarang telah penuh sehingga tahun 2014

Apabila ditanya, adakah beliau telah jadi orang kaya? Beliau berkata tidak pernah jadi orang kaya kerana biarpun jadual persembahan penuh, namun kos persembahan sangat tinggi. Contohnya, undangan diterima tahun ini (dengan bayaran berdasarkan harga semasa) untuk persembahan tahun 2013 atau 2014 di mana kosnya mungkin telah melambung tinggi. 

Ramai orang tertanya-tanya bagaimana Nong Deu mampu bermain wayang kulit dengan baik tanpa penglihatan? Beliau berkata semuanya bergantung pada latihan dan kebiasaan. Beliau mesti mengingati semua patung, perwatakan dan ciri-cirinya dengan baik. Contohnya, kayu (buluh) lembut atau kayu keras yang digunakan pada patung, ciri-ciri watak, senjata yang dipegang, fesyen rambut setiap patung (watak) dan sebagainya. Apabila dapat menguasai semua patung dan watak, barulah dapat diketahui sedang bermain dengan si watak mana. Selain itu, beliau mesti melihat keadaan atau suasana di tempat membuat persembahan. Tidak boleh bermain ikut cerita semata-mata. Kombinasi antara cerita dan persekitaran amat penting untuk menghidupkan persembahan.

Setiap kali membuat persembahan, orang ramai akan memenuhi laman di depan panggung. Bahkan ramai yang datang sejak awal senja kerana mahu mendapatkan tempat duduk di barisan hadapan. Persembahan Nong Deu mendapat sambutan daripada semua lapisan masyarakat. Boleh dikatakan populariti Nong Deu sekarang setaraf dengan bintang filem terkenal. Sewaktu datang, orang ramai akan pergi menunggu sambut di pintu kereta dan apabila pulang mereka akan menghantar sampai ke pintu kereta juga. 




น้องเดียว นายหนังตะลุงตาบอด

Tahun lepas, tersebar khabar angin bahawa Nong Deu telah meninggal dunia. Ada orang kata dia diserang sakit jantung. Ada yang kata dia ditembak mati. Peminat wayang kulit selatan Thailand, terutama tanah kelahiran Nong Deu, Nakhon Si Thammarat menjadi gempar. Hakikatnya, ketika khabar angin tersebar, Nong Deu sedang membuat persiapan untuk membuat persembahan.


       
น้องเดียว นายหนังตะลุงตาบอด

น้องเดียว นายหนังตะลุงตาบอด

น้องเดียว นายหนังตะลุงตาบอด

          



Kesimpulannya, kecacatan bukan penghalang kepada kejayaan seseorang. Bakat seni yang ada pada setiap orang jika diasah dan dikembangkan pasti berjaya membawa hasil. Kesabaran, ketekunan dan ketabahan adalah jawapan kepada kejayaan Nong Deu. Bukan mudah seorang yang buta mampu bermain wayang kulit dengan begitu baik.


Sumber: เรียบเรียงข้อมูลโดยกระปุกดอทคอม
ภาพประกอบจาก youtube.com โพสต์โดย LadyBimbettes

1 comment:

Anonymous said...

Hilanglah satu tokoh seni Selatan Thai. Bukan mudah melatih karyawan kesenian satu budaya. Jikalau kematian Nong Diaw akibat kecemburuan org lain....