Sunday, August 12, 2012

Adakalanya Diam Lebih Baik

                                                      (Buddha Park, Viantiane, Laos)


Orang bilang, diam ubi berisi tetapi diam besi di dalam tanah berkarat. Diam duri di dalam daging bernanah. Diam adakala lebih membawa faedah.

Apabila orang bertanya sesuatu, kita tidak harus menjawab dengan tergesa-gesa. Kita mengambil sedikit masa untuk berfikir sama ada jawapan kita memberi faedah atau tidak. Jikalau jawapan kita tidak memberi faedah atau hanya menambahkan lagi masalah sedia ada, lebih baik kita berdiam sahaja.

Seorang bhikkhu muda begitu berbangga apabila setiap kali pergi mengajak bhikkhu yang lebih senior berbahas dhamma, bhikkhu yang senior tidak mahu. Dia mencanang ke merata tempat bahawa ramai bhikkhu senior yang ada kelulusan Nakhtham menolak untuk berbahas dhamma dengan dia kerana takut kalah. Sebenarnya dia silap. Orang tidak mahu layan benda yang tidak membawa faedah.

Bhikkhu muda ini pengetahuan dhammanya sangat cetek. Dia "main belasah" ikut suka sahaja apabila bercakap dhamma. Dia main bedal ikut fikiran dia sahaja. Sedangkan bercakap dhamma mesti bersandar pada sumber yang sahih. Main belasah sahaja mana boleh. Itulah sebabnya ramai bhikkhu yang lebih senior menolak perbahasan dhamam dengan dia. Orang malas membuang masa dengan manusia jahil tetapi berlagak pandai seperti itu.

Dalam masyarakat kita manusia jahil berlagak pandai seperti bhikkhu muda ini pun ramai. Bercakap dengan orang yang tidak tahu dan tidak mahu terima pendapat orang lain adalah membuang masa. Orang bijak bercakap ikut fakta. Apabila dia tidak tahu, dia sedia terima tunjuk ajar daripada orang lain. Sebaliknya, orang jahil bercakap ikut perasaan; ikut gerak hati semata-mata. Salah betul lain cerita. Dia hanya mahu menang. Pandangan orang biarpun betul dia tidak terima. Keegoaan telah membungkus fikirannya menyebabkan dia hanya terima pandangan sendiri sahaja. Pandangan orang lain biarpun bersandarkan fakta, dia tolak bulat-bulat. Orang begini hidup seribu tahun pun tidak akan jadi bijak. Berbincang ilmu dengan orang begini umpama membuang garam ke laut.

Apabila berjumpa dengan orang begini, lebih elok berdiam diri daripada membuang air liur.

Buddha pun apabila berdepan dengan orang yang jahil yang tidak bersedia menerima penjelasan, Buddha juga akan berdiam diri. Ini dapat dilihat sewaktu Vacchakot Paripajaka menghadap Buddha untuk bertanya tentang Atta.

"Adakah Atta ada?" tanya beliau.

Buddha berdiam diri. Melihat Buddha berdiam diri, beliau bertanya lagi: "Adakah Atta tiada?"

Buddha tetap berdiam diri.

Setelah Vacchakot beredar, Phra Anon (Ananda Bhikkhu) bertanya kepada Buddha, kenapa Baginda berdiam diri?

Buddha berkata sekiranya Baginda menjawab bahawa "Atta ada" maka perkara tersebut akan menjurus kepada kepercayaan Brahmana golongan Sassata Ditthi (percaya bahawa Atta ada). Sebaliknya, jika Baginda menjawab bahawa "Atta tiada" maka perkara tersebut akan menjurus kepada kepercayaan Brahamana golongan Ucceda Ditthi (kepercayaan bahawa Atta tiada).

Seperkara lagi sekiranya Buddha menjawab bahawa "Atta ada" perkara ini akan bertentangan dengan "Sabbe Dhamma Anatta" (Segala Dhamma adalah Anatta).

Sekiranya jawapan Buddha ialah "Atta tiada" akan menambahkan kejahilan dan kekeliruan Vacchakot yang sedia jahil. Dia akan berfikir bahawa dahulu "Atta saya ada" tetapi sekarang "Atta saya sudah tiada".

Realitinya, "Atta dan Anatta" bukan mudah diterangkan kerana memerlukan penjelasan panjang lebar. Jawapan singkat "ya" atau "tidak" seperti yang dikehendaki oleh Vacchakot tidak mungkin mampu memberikan pemahaman yang betul. Oleh sebab itulah, Buddha memilih untuk berdiam diri. Vacchakot penganut agama lain yang jahil dan mudah mempercayai sesuatu tanpa perhitungan akal. Oleh itu, dia juga belum bersedia mendengar penjelasan Buddha secara panjang lebar.

Jadi, sekiranya kita merasakan sesuatu itu tidak membawa faedah, berdiam diri lebih baik.


(Sumber: Tipitaka Thai)

No comments: