Sunday, August 26, 2012

Ajaran Buddha Umpama Teras Kayu Sala

Paribbajaka (Thai: Parippajok) ialah samana @ nakh buard agama lain yang sentiasa mengembara dari satu tempat ke satu tempat. Sariputra dan Mongganlana merupakan bhikkhu agama Buddha yang pernah jadi paribbajaka.

Paribbajaka Vacchakot merupakan seorang paribbajaka yang sering menghadap Buddha untuk bertanya tentang ajaran Buddha.

Vacchakot: Yang Mulia Gotama, para bhikkhu yang telah mencapai pembebasan minda (Phra Arahant) akan lahir di mana?

Buddha: Vacchakot, ungkapan "lahir" tidak wajar sama sekali (kepada Phra Arahant).

Vacchakot: Yang Mulia Gotama, jika begitu, (Phra Arahant) tidak lahir lagi?

Buddha: Lihat dulu Vacchakot! Ungkapan "tidak lahir" pun tidak wajar.

Vacchakot: Yang Mulia Gotama, jika begitu, (Phra Arahant) lahir pun ada, tidak lahir pun ada?

Buddha: Vacchakot, ungkapan "lahir pun ada" dan "tidak lahir pun ada" pun tidak wajar.

Vacchakot: Yang Mulia Gotama, jika begitu, lahir pun bukan, tidak lahir pun bukan?

Buddha: Vacchakot, ungkapan "lahir pun bukan" dan "tidak lahir pun bukan" juga tidak wajar.

Vacchakot naik pening kerana ditanya begini pun Buddha berkata tidak wajar, ditanya begitu pun Buddha berkata tidak wajar. Semuanya menambah kejahilan dan kekeliruannya terhadap ajaran Buddha.

Buddha berkata, wajar sekali Vacchakot tidak tahu dan terkeliru kerana perkara ini merupakan perkara yang sangat mendalam yang sukar diketahui. Perkara ini tidak mungkin dapat diketahui hanya dengan berfikir semata-mata. Hanya bijak pandai yang mampu mengetahuinya. Individu yang mempunyai pandangan yang lain, kesukaan yang lain, kegigihan yang lain, berada bersama guru yang lain (selain bersama Buddha), sukar untuk mengetahuinya.

Buddha lalu bertanya kepada Vacchakot.

Buddha: Vacchakot, jikalau api sedang menyala di depan anda, adakah anda tahu bahawa api sedang menyala di depan anda?

Vacchakot: Yang Mulia Gotama, jika api sedang menyala di depan saya, saya tentu tahu bahawa api sedang menyala di depan saya!

Buddha: Jika ada orang bertanya anda bahawa api yang menyala di depan anda bergantung pada apa untuk menyala? Bagaimanakah anda akan menjawab?

Vacchakot: Yang Mulia Gotama, jika ada orang bertanya kepada saya bahawa api yang menyala di depan saya bergantung pada apa untuk menyala, Ssya akan menjawab bahawa api menyala di depan saya bergantung pada umpan iaitu rumput atau kayu untuk menyala.

Buddha: Jika api itu telah padam di depan anda, adakah anda tahu bahawa api itu telah padam di depan anda?

Vacchakot: Jika api itu padam di depan saya, saya pun tahu bahawa api itu telah padam.

Buddha: Jika ada orang bertanya bahawa api yang telah padam di depan anda, api tersebut, dari sini, menghilang ke arah mana, Timur, Barat, Utara atau Selatan? Apakah jawapan anda?

Vacchakot: Yang Mulia Gotama, (pertanyaan) Itu tidak wajar sama sekali. Api bergantung pada umpan iaitu rumput dan kayu untuk menyala. Sekarang umpan telah habis dan tiada umpan baru, api pun padam. Api padam kerana tiada umpan.

Paribbajaka Vacchakot amat tertarik dengan penjelasan Buddha.

Paribbajaka Vacchakot mengumpamakan ajaran Buddha seperti pokok Sala yang besar yang tumbuh berhampiran perkampungan. Ranting, daun, kulit dan isi pokok merekah dan gugur kerana pokok itu sejenis tumbuhan yang tidak kekal (Anicca). Pada masa berikutnya, pokok tersebut tanpa ranting, daun, kulit dan isi, kecuali teras semata-mata yang tinggal.

Begitulah ajaran Buddha - tanpa ranting, daun, kulit dan isi, kecuali teras semata-mata yang tinggal.

Paribbajaka memuji bahawa ajaran Buddha begitu jelas, umpama orang yang menterbalikkan benda yang terlungkup, membuka benda yang tertutup, menunjukkan jalan kepada orang yang sesat jalan atau menyalakan pelita di tempat yang gelap; orang yang ada mata akan melihat objek. Buddha menyampaikan ajarannya dengan kepelbagaian yang tersurat dan tersirat. Dan kerana tertarik dengan ajaran Buddha, maka Paribbajaka Vacchakot memohon menjadi penganut agama Buddha (Upasaka) dan menjadikan Buddha, Dhamma dan Sangha sebagai sarana.

(Sumber 1: Tipitaka Thai)
(Sumber 2: Tipitaka Thai)

Ramai samana agama lain yang kagum dengan ajaran Buddha sehingga memohon menjadi pengikut Buddha. Paribbajaka Vacchakot salah seorang daripada samana yang dimaksudkan. Sutta ini menjelaskan kepada kita bahawa biarpun masa berlalu, banyak berlaku perubahan, tetapi ajaran Buddha yang tulen (yang keluar daripada mulut Buddha) tetap kekal kerana isinya umpama teras kayu Sala yang keras. Dalam maksud lain, ajaran Buddha adalah kebenaran yang tidak akan hilang bersama perubahan masa kerana kebenaran tidak bergantung pada masa. Kebenaran tetap kebenaran hingga bila-bila. (Pokok Sala (Shorea Robusta) sejenis tumbuhan berkayu keras yang tumbuh di India).







4 comments:

Anonymous said...

Terima kasih Tuan kerana terus tulis dhamma pencerah minda! Sathuk x3!

Anonymous said...

pecah minda untuk pratis bukan untuk komen orang...

Anonymous said...

Siapa makan cili dia rasa pedas. Salute Tuan Pena kerna memaparkan dhamma menarik bagi renungan penganut.

Anonymous said...

kita mau isi,bukan kulit pisang