Friday, August 31, 2012

Beri Sedekah Dengan Tangan Sendiri

Dalam musim Phansa (Vassa) begini ramai kaum Buddhis akan pergi tambun (buat pahala) dan tamtan (buat sedekah) di wat. Seperkara harus diingat bahawa "pengumpul pahala" yang sejati akan tambun tamtan dengan tangan sendiri.

Sesetengah orang minta orang lain tolong pergi tambun untuk dia. Misalnya, minta orang gaji tolong saibart phra, atau kirim makanan dengan jiran agar dia tolong buatkan. Jikalau kita tidak ada masa, tidak mengapa. Namun, jika ada masa, harus buat sendiri. Berbuat baik dengan tangan sendiri lebih berkesan kerana pahala akan tumbuh di hati kita. Pahala yang diterima akan lebih hebat. Suasana hari tambun itu akan meninggalkan kesan baik di hati kita. Sebenarnya, tambun atau berbuat baik seharusnya dilakukan sendiri. Kita tidak perlu pinjam tangan orang lain untuk berbuat baik bagi pihak kita. Namun, jikalau tidak dapat dielakkan, terpaksa pinjam tangan orang lain, tidak mengapa. Akan tetapi tidak usah dijadikan sebagai  tabiat.

Pada zaman Buddha, Maha Mongganlana pernah berangkat ke dunia dewa (deva-loka). Beliau terlihat mahligai dewa yang indah, cantik dan berkilauan dengan bercahaya yang terang benderang. Beliau begitu kagum lalu berkata: "Bulan beredar di langit tanpa awan, memancarkan cahaya terang yang indah, begitulah mahligai dewa umpama cahaya bulan yang indah. Tuan mempunyai kuasa dewa yang istimewa. Masa jadi manusia, Tuan telah tambun apa hingga mendapat keistimewaan sebegini? Warna kulit Tuan juga bercahaya yang memancar-mancar ke segenap arah!"

Dewa tersebut gembira mendengar pujian sebegitu oleh Maha Mogganlana. Beliau pun bercerita. Sewaktu jadi manusia, seorang Bhikkhu masuk Phansa di wat berdekatan perkampungan. Selepas keluar Phansa, Bhikkhu tersebut ingin  pergi menghadap Buddha. Dalam perjalanan Bhikkhu itu berjumpa dengan saya yang hidup miskin. Bhikkhu itu bertanya: "Tuan, adakah tempat untuk Bhikkhu bermalam di kampung ini?"

Saya yakin dengan Bhikkhu itu. Walaupun miskin harta tetapi tidak miskin budi. Saya menjemput Bhikkhu itu   bermalam di pondok buruk saya. Saya menyediakan tempat tidur, menyediakan air minum dan air mandi. Saya berbangga apabila Bhkkhu dapat berehat dengan tenteram.

Setelah Bhikkhu masuk berehat, saya dan isteri menyalakan pelita kepada Bhikkhu. Keesokan pagi, kami menyedikan sarapan. Apabila Bhikkhu hendak berangkat, kami sediakan manisan (diperbuat daripada air tebu) sebagai bekalan dalam perjalanan. Kami begitu berbangga kerana dapat memberi dana (makanan) kepada Bhikkhu yang mengamalkan dhamma dengan penuh hormat. Selain itu, kami berbangga kerana dapat memberi dana kepada Bhikkhu dengan tangan sendiri.

Sejak hari itu, apabila terjumpa Bhikkhu dalam perjalanan, saya akan menjemputnya datang bermalan di pondok kami dan memberi makan dengan penuh hormat. Selepas meninggal dunia, pahala memberi hasil menghantar saya dilahirkan di mahligai emas yang tinggi 12 yojana di syurga Tavatimsa (Daodeung) ini. Saya mempunyai mahligai yang bercahaya terang benderang seperti yang dilihat Maha Mongganlana.

Daripada kisah ini, dapat kita rumuskan bahawa orang miskin pun tidak tersekat untuk dilahirkan di syurga sekiranya ikhlas dalam membuat kebaikan. Namun, jangan sampai kita menjadi gila pahala kerana tamak syurga. Dan perkara yang harus diingat, membuat kebaikan seeloknya buatlah dengan tangan sendiri.

Selain itu, perkara yang sangat penting untuk diambil perhatian adalah bahawa kisah begini selalu dijadikan alat oleh bhikkhu tertentu agar orang ramai datang tambun di wat mereka. Syurga dan dewa dijadikan umpan untuk menjual pahala. Mereka mengambil duit tambun, penganut dijanjikan syurga di langit. Jadi, gunakanlah kebijaksanaan. Jangan main ikut-ikutan sahaja.


No comments: