Friday, August 17, 2012

Bukan Semuanya Kerana Karma Dahulu

"Individu mendapat vedana (perasaan), sama ada kesukaan (sukkha), kedukaan (dukkha), atau bukan kesukaan dan bukan kedukaan, semuanya adalah berpunca daripada Karma yang dilakukan pada kehidupan terdahulu. Apabila Karma terdahulu habis kerana pengamalan yang gigih membakar Kilesa dan tidak membuat Karma baru, maka tiada hasil atau balasan Karma lagi. Apabila tiada hasil Karma lagi, maka akan kehabisan Karma. Apabila kehabisan Karma, maka akan kehabisan kedukaan (dukkha). Kerana kehabisan kedukaan, maka akan kehabisan vedana. Kerana kehabisan vedana, maka segala kedukaan pun tiada dengan sendiri."

Membaca petikan di atas sepintas lalu, mungkin ada yang menganggapnya ajaran Buddha. Namun, hakikatnya tidak. Ini bukan ajaran Buddha.

Jikalau bukan ajaran Buddha, ajaran siapa? Ini ajaran aliran Nikron. Guru kepada aliran ini bernama Mahavira. Nama lain bagi aliran ini ialah Jaism. Samana bogel yang terdapat di India adalah daripada aliran Nikron ini.


(Sekarang dianggarkan masih ada 6 juta penganut di India. Golongan ini suka mengamalkan dhamma secara keras dengan menyeksa diri untuk membersihkan Karma. Mereka berpendapat Karma hanya boleh dibersihkan dengan menyeksa diri. Sukka hanya boleh dikecapi melalui Dukka atau kebahagiaan hanya dapat dikecapi melalui kesengsaraan. Maka tidak hairanlah, samana dalam aliran ini suka menyeksa diri, misalnya berdiri sebelah kaki berhari-hari dan berbulan-bulan; tidur dengan kepala tergantung ke bawah; merenung matahari hingga mata hampir buta; dan sebagainya. Samana mereka hanya pakai sehelai kain dengan menutup bahagian depan sahaja. Sekarang ada yang berbogel. Mereka mengamalkan disiplin yang sangat ketat. Mereka berjalan sambil membawa penyapu. Mereka menyapu jalan terlebih dahulu sebelum berjalan kerana takut terpijak serangga, semua atau hidupan seni di atas tanah.)


Setelah mendapat tahu golongan Nikron mempunyai pandangan bahawa suka dan duka semuanya berpunca daripada Karma yang dilakukan pada kehidupan dahulu, Buddha pun terus pergi cari Nikron di kediaman mereka. Buddha bertanya adakah benar golongan Nikron mempunyai pandangan begitu? Mereka menjawab benar mereka mempunyai pandangan begitu.

Buddha bertanya lagi, adakah mereka tahu siapa antara mereka pernah lahir pada kehidupan terdahulu?

Mereka menjawab tidak tahu.

Buddha bertanya lagi, adakah mereka tahu siapa antara mereka pernah berbuat dosa pada kehidupan terdahulu?

Mereka menjawab tidak tahu.

Buddha bertanya lagi, adakah mereka tahu siapa antara mereka pernah berbuat Karma yang tidak baik dan apakah jenis-jenis Karma tersebut?

Mereka menjawab tidak tahu.

Buddha bertanya lagi, adakah mereka tahu berapa banyak kedukaan yang telah berjaya dihapuskan? Atau kedukaan sebanyak ini mesti dihapuskan? Atau setelah menghapuskan kedukaan sebanyak ini, semua kedukaan pun akan terhapus?

Mereka menjawab tidak tahu.


Buddha bertanya lagi, adakah mereka tahu cara-cara hendak meninggalkan Karma jahat (Akusala Karma) dan membuat Karma baik (Kusala Karma) pada masa sekarang?

Mereka menjawab tidak tahu.

Buddha berkata, semua pun tidak tahu. Jikalau tiada siapa yang tahu bahawa siapa antara mereka yang pernah lahir pada kehidupan terdahulu, siapa yang pernah berbuat dosa, siapa yang pernah berbuat Karma tidak baik dan sebagainya, bagaimana mereka boleh berkata suka dan duka semuanya berpunca daripada Karma pada kehidupan terdahulu. Nikron tidak wajar berkata demikian.

Golongan Nikron menjawab tidak tahu semua pertanyaan Buddha kerana mereka hanya percaya ikut guru mereka sahaja. Guru ajar mereka bagaimana, mereka pun percaya begitu. Apabila ditanya oleh Buddha, mereka berterus terang bahawa mereka tidak tahu. Samana zaman dahulu pantang berbohong. Jika tahu mereka kata tahu. Jika tidak tahu mereka kata tidak tahu. Berbohong tiada sama sekali. Walaupun ditthi mereka sangat kuat, namun berbohong untuk mempertahankan ditthi tiada sama sekali. Berlainan dengan kita sekarang yang sanggup berbohong biarpun hanya untuk mempertahankan kepalsuan.

Suka dan duka yang dialami sekarang mungkin berpunca daripada Karma sekarang. Kita tidak boleh berkata dalam perkara yang kita tidak tahu. Jika kita pasti bahawa seseorang yang menderita kesakitan pernah lahir pada kehidupan terdahulu dan pernah berbuat dosa dan Karma jahat, barulah kita boleh berkata penderitaannya berpunca daripada Karma terdahulu. Jika kita tidak pasti kita tidk boleh berkata begitu.

Tidak semua orang itu sama. Tidak semua suka dan duka berpunca daripada Karma terdahulu. Tiada siapa yang tahu dengan pasti bahawa dia pernah lahir pada kehidupan terdahulu. Munkin ini kehidupan pertamanya. Mungkin juga dia tidak pernah membuat Karma jahat pada kehidupan terdahulu, tetapi kedukaan yang dialaminya sekarang kerana Karma sekarang. Semuanya tidak pasti. Sebab itulah pandangan Nikron bahawa suka dan duka semuanya kerana Karma terdahulu tidak diterima Buddha kerana itu bukan kebenaran.

Kebenarannya ialah suka dan duka adalah akibat daripada Karma terdahulu dan Karma sekarang yang orang biasa seperti kita sukar memastikan. Achan Cha kata, apa yang pasti ialah ketidakpastian itu sendiri.











 

No comments: