Thursday, August 16, 2012

Ciri-ciri Istimewa Agama Buddha

(Sujib Punyanubhab)


Agama Buddha lahir di tengah-tengah kewujudan pelbagai aliran kepercayaan di benua India yang masing-masing mempunyai kekuatan dan kewibawaan tersendiri. Selain kepercayaan Brahmana yang wujud beribu-ribu tahun sebelumnya, terdapat 6 aliran penting yang lain yang lahir sebelum dan sewaktu dengan agama Buddha. Oleh itu, bukan mudah agama Buddha mendapat tempat di hati msyarakat kerana mereka telah mempunyai kepercayaan masing-masing. Namun, berbekalkan kekuatan moral Buddha dan intipati ajaran yang mengutamakan kebijaksanaan, maka agama Buddha dapat bertapak dan berkembang pesat di India dan daerah-daerah persekitaran. 


3 Ciri Utama Agama Buddha ialah:

1. Membawa ajaran berbentuk reformasi, misalnya, bermandi-manda di Sungai Gangga dipercayai dapat menyuci dosa, sebaliknya Buddha membuat reformasi dengan mengajar manusia menyucikan perbuatan, percakapan dan pemikiran. 

2. Membawa ajaran berbentuk revolusi, misalnya kepercayaan lain fokus kepada Atta/Atman (diri), sebaliknya Buddha mengajar secara tuntas iaitu fokus kepada Anatta. Oleh itu, ajaran Buddha tidak percaya bahawa Tuhan mencipta dunia dan segala isinya. Dunia terbentuk secara semulajadi. Manakala Karma ialah pencipta dan penentu kehidupan makhluk yang sebenar di mana berbuat baik mendapat balasan baik, berbuat jahat mendapat balasan jahat. (Perkara ini harus diambil berat oleh penganut kerana masih ramai yang keliru).

3. Membawa ajaran yang baru sama sekali, misalnya Ariya Sacca 4. Konsep ini tiada dalam agama lain. Konsep Ariya Sacca 4 merupakan teknik penyelesaian masalah yang terbaik. 



Ciri-ciri Istimewa Yang Lain:

1.Sekiranya dibuang kesemua kepercayaan berkenaan "kuasa luar biasa" (Patihariya), perkara ini tidak akan menggugat kedudukan agama Buddha kerana agama Buddha tidak berdiri di atas dasar kuasa luar biasa, sebaliknya berdiri di atas "sebab musabab" yang boleh dibuktikan dengan kebijaksanaan.

2. Agama Buddha merupakan contoh "aliran demokrasi" yang tertua di dunia yang tiada paksaan ke atas penganut, sebaliknya mempunyai asas yang kukuh dan pendekatan yang moden dalam penyebarannya sehingga ke hari ini.

3. Agama Buddha merupakan agama pertama yang menyokong hak asasi manusia dengan mengajar supaya manusia meninggalkan sistem hamba abdi, tidak memperdagangkan manusia, melarang bhikkhu mempunyai hamba abdi dan yang lebih penting ialah mengajar manusia meninggalkan sifat hamba di dalam diri dengan tidak menjadi hamba kepada ketamakan, kemarahan dan kesesatan.

4. Agama Buddha merupakan agama pertama yang mengajar manusia supaya tidak menghina antara satu sama lain semata-mata kerana perbezaan taraf, keturunan, kedududkan atau warna kulit. Sebaliknya agama Buddha menjadikan moral sebagai "titik pertemuan" (persamaan) sesama manusia. Siapa lahir dalam keturunan tinggi atau rendah; kaya atau miskin tidak penting. Jikalau mempunyai moral, maka dia adalah orang baik yang wajar dihormati. Sebaliknya, jika tiada moral, biarpun dilahirkan dalam keturunan tinggi, keturunan bangsawan mahupun jutawan, dia akan dikategori ke dalam golongan yang tidak baik dan harus dikritik.

5. Agama Buddha merupakan agama pertama yang melakukan reformasi terhadap cara membuat pahala yang menyusahkan makhluk lain.  Kepercayaa lain suka mengorbankan haiwan (atau manusia) untuk dipersembahkan kepada Kuasa Tertinggi sebagai pemujaan. Agama Buddha menolak cara membuat pahala begini kerana akan menyebabkan makhluk lain teraniaya atau mendapat kesusahan. Sebaliknya, agama Buddha mengajar supaya manusia membuat kebajikan atau sedekah sebagai ganti kepada perbuatan menyusahkan makhluk lain. Semua makhluk sayang akan nyawanya. Bagaimana seandainya kita dijadikan bahan korban? Tentu kita pun tidak rela. Di samping itu, Buddha mengajar penganut supaya membersihkan hati. Ini merupakan cara membuat pahala yang paling terpuji.

6. Agama Buddha mengajar penganutnya supaya berani berdepan dengan kenyataan biarpun pahit. Misalnya, penganut disuruh mencari kebenaran yang tersembunyi di sebalik kelahiran, ketuaan, kesakitan dan kematian. Agama Buddha juga berterus terang tentang konsep memilih "masa dan waktu yang baik" sebelum membuat sesuatu. Bagi Buddha, semua masa dan waktu adalah baik sekiranya seseorang itu ingin membuat kebaikan. Sebaliknya, semua masa dan waktu itu tidak baik bagi orang yang ingin membuat kejahatan. Begitu juga dengan air sakti atau air jampi. Agama Buddha juga mengajar supaya manusia menjadi Devata/Dewa dalam kehidupan sekarang dengan tidak perlu menunggu mati terlebih dahulu baru mahu menjadi Devata. Agama Buddha menjelaskan bahawa manusia memang boleh menjadi Devata. (Pada zaman Buddha, raja dan golongan bangsawan juga dipanggil Devata).

7. Agama Buddha mengutarakan kaedah mengatasi masalah moral dengan tidak membelakangkan masalah ekonomi; menghindari perkara jahat dengan menganjurkan perkara baik dan setiap masalah mesti diselesaikan di peringkat diri sendiri terlebih dahulu. Kita tidak perlu menunggu semua manusia di dunia menjadi baik, barulah kita menjadi baik. Kita tidak perlu menunggu neraka kosong sebelum kita mahu jadi Arahant sebagaimana yang diwar-warkan oleh penganut tertentu. Dalam soal kasih sayang, kita mesti bermula pada diri kita terlebih dahulu. Kita mesti mempunyai kasih sayang kepada diri dengan menhindari perkara yang memudaratkan diri. Kemudian barulah kita boleh membuktikan kepada orang lain bahawa kita amat sayang akan kebahagiaan dan benci akan kesengsaraan. Orang lain pun mempunyai perasaan sayang akan kebahagiaan dan benci akan kesengsaraan seperti kita.

8. Agama Buddha mengajar supaya berpegang pada Dhamma iaitu kebenaran. Agama Buddha melarang menjadikan diri sendiri mahupun orang lain sebagai pusat kuasa. Dhamma mesti dijadikan pusat kuasa. Dhamma tentang "siapa nampak Dhamma, dia nampak Buddha, siapa mengamalkan Dhamma, dia berada berhampiran Buddha" merupakan ajaran yang meletakkan kebenaran sebagai kuasa paling besar. Buddha meletakkan Dhamma-vinai sebagai pengganti Baginda bagi menjelaskan bahawa tiada mana-mana individu yang lebih penting daripada kebenaran.

9. Agama Buddha menekankan penggunaan akal fikiran dan kebijaksanaan dalam menjalani kehidupan harian. Agama Buddha mengajar penganut agar tahu menghapuskan penderitaan dan kesengsaraan hidup dengan pertimbangan akal, bukannya mempercayai sesuatu secara ikut-ikutan. Bukan semua yang dilakukan sejak turun temurun itu baik belaka. Benda yang baru mungkin lebih baik daripada yang lama. Ajaran Buddha ajaran baru berbanding ajaran lain yang ada di benua India ketika itu, tetapi penerimaan masyarakat membuktikan bahawa yang lama tidak semestinya baik.

10. Agama Buddha mengajar penganut supaya bijak membuat kebaikan dan mengangkat harga diri. Agama Buddha tidak mengajar penganut mencari kebaikan dengan meminta, memujuk, merayu atau mempersembahkan juadah kepada Dewa. Sebaliknya, agama Buddha mengajar penganut mempercayai hukum Karma; buat baik dapat balasan baik, buat jahat dapat balasan jahat. Konsep Karma ini telah berjaya menarik masyarakat antarabangsa menganuti agama Buddha.

11. Agama Buddha merupakan satu-satunya agama di dunia yang berani menafikan ilmu logik (falsafah) di mana masyarakat dunia menganggap sebagai sains kepada sains. Sebagai penggantinya, agama Buddha telah memberikan pendekatan yang lebih tinggi dan lebih praktikal.

12. Agama Buddha mempunyai peraturan dan kaedah pengajaran dan subjek pengajaran yang bercirikan sains sebelum kelahiran ilmu sains dunia yang diajarkan di sekolah-sekolah hari ini. Dhamma ialah sains yang tersembunyi di dalam timbunan ritual. Sekiranya kita membersihkan ribual, kita akan ternampak sains. Kerana tidak berupaya melihat sains yang tersembunyi ini, ramai yang mengatakan Dhamma ialah falsafah. Ini silap. Dhamma bukan falsafah. Dhamma ialah sains yang boleh dibuktikan kebenarannya.


(artikel ini berdasarkan tulisan Achan Sujib Punyanubhab (อ.สุชีพ ปุญญานุภาพ), Bapa Universiti Sangha, di Thailand dan seorang reformis agama Buddha yang sukar dicari ganti. Beliau pakar Kitab Tipitaka sehingga diberi jolokan Kitab Tipitaka bergerak. Sekarang jolokan ini diberi kepada Than Chau Khun P.A Payutto.)

3 comments:

Anonymous said...

Terima kasih KTB dengan penerangan panjang lebar tentang kelebihan Dhamma Buddha, selamat maju jaya. Sadhux3.

RickyFlaming said...

Very Good and Clear

kingdiaw said...

Gembira dpt jumpa blog ini. Sudah lama saya mencari blog yg membincangkan agama buddha dlm versi bahasa malaysia.