Monday, August 20, 2012

Karma Tidak Ikut Permintaan Kita

Nikron (นิครนถ์) bermaksud individu yang bebas daripada ikatan atau kebelengguan.

Golongan Nikron (Jain, Jainas atau Jainism) mengamalkan yoga dengan cara yang amat gigih untuk membersihkan kedukaan (dukkha). Mereka percaya semua kedukaan akibat daripada Karma terdahulu. Pelbagai usaha yang gigih dilakukan semata-mata mahu membersihkan Karma. Usaha yang gigih ini ialah yoga yang menyeksa diri (Atta-Kilamatha) yang dilarang oleh Buddha kepada pengikutnya. Selain menyeksa diri, Nikron juga mengamalkan Ahingsa/Ahimsa. Ketua Nikron bernama Nikron-Nattabut atau Mahavira atau Mahavrata.

(Kaedah membersih diri atau minda daripada Kilesa terdapat 3 iaitu (1) Atta-Kilamatha (menyeksa diri); (2) Kama-Sukha (bersenang dalam kenikmatan deria); dan (3) Majjhima-Patipada (jalan sederhana). Kaedah yang ketiga - Majjhima-Patipada - inilah yang dianjurkan oleh Buddha. Namun masih ramai bhikkhu yang terjerumus dalam Kama-Sukha.)

Buddha bertanya kepada pengikut Nikron adakah Karma boleh diubah melalui usaha gigih yang menyeksa diri? Adakah mereka mampu mengubah Karma dan balasannya melalui usaha yang gigih? Adakah mereka berhajat mahu mengubah balasan Karma dan hajat tersebut akan tercapai? Pengikut Nikron apabila ditanya oleh Buddha menyebabkan mereka mula gelabah.

Buddha: Adakah kalian akan mencapai hasrat begini, iaitu, minta Karma yang bakal memberi balasan pada kehidupan sekarang agar memberi balasan pada kehidupan akan datang melalui usaha yang gigih?

Pengikut Nikron: Tidak mungkin begitu, Yang Mulia.

Buddha: Adakah kalian akan mencapai hasrat begini, iaitu, minta Karma yang akan memberi balasan pada kehidupan pada kehidupan akan datang agar memberi balasan pada kehidupan sekarang dengan usaha yang gigih?

Pengikut Nikron: Tidak begitu, Yang Mulia.

Buddha: Adakah kalian akan mencapai hasrat begini, iaitu, minta Karma yang bakal memberi balasan baik agar memberi balasan jahat dengan usaha yang gigih?

Pengikut Nikron: Tidak begitu, Yang Mulia.

Buddha: Adakah kalian akan mencapai hasrat begini, iaitu, minta Karma yang bakal memberi balasan jahat agar memberi balasan baik dengan usaha yang gigih?

Pengikut Nikron: Tidak begitu, Yang Mulia.

Buddha: Adakah kalian akan mencapai hasrat begini, iaitu, minta Karma yang bakal memberi balasan yang banyak agar memberi balasan yang sedikit dengan usaha yang gigih?

Pengikut Nikron: Tidak begitu, Yang Mulia.

Buddha: Adakah kalian akan mencapai hasrat begini, iaitu, minta Karma yang bakal memberi balasan yang sedikit agar memberi balasan yang banyak dengan usaha yang gigih?

Pengikut Nikron: Tidak begitu, Yang Mulia.

Buddha: Adakah kalian akan mencapai hasratbegini, iaitu, minta Karma yang telah habis memberi balasan agar terus memberi balasan dengan usaha yang gigih?

Pengikut Nikron: Tidak begitu, Yang Mulia.

Buddha: Adakah kalian akan mencapai hajat begini, iaitu, minta Karma yang belum habis memberi balasan agar berhenti memberi balasan dengan usaha yang gigih?

Pengikut Nikron: Tidak begitu, Yang Mulia.

Buddha: Adakah kalian akan mencapai hasrat begini, iaitu, minta Karma yang tidak memberi balasan agar memberi balasan dengan usaha yang gigih?

Pengikut Nikron: Tidak begitu, Yang Mulia.

Buddha: Adakah kalian akan mencapai hasrat begini, iaitu, minta Karma yang memberi balasan agar tidak memberi balasan dengan usaha yang gigih?

Pengikut Nikron: Tidak begitu, Yang Mulia.

Sutta yang memuatkan dialog antara Buddha dengan kumpulan Nikron tentang Karma dan balasannya sangat penting untuk difahami oleh penganut agama Buddha. Ini kerana masih ramai penganut agama Buddha yang tidak faham konsep Karma yang diajarkan Buddha dengan betul. Karma akan memberi hasil dan balasannya mengikut hukum-hukumnya. Kita tidak mungkin dapat "meminta atau memohon" Karma memberi balasan sebagaimana yang kita kehendaki. Apa yang kita lakukan, itulah hasil yang bakal kita terima. Orang kata, kita tanam tebu, kita akan terima hasil tebu. Mustahil kita tanam tebu tetapi menerima hasil jagung.

Apabila kita pergi tambun, kita selalu minta diberikan balasan Karma begitu dan begini. Minta dilahirkan cantik, kaya, sihat, dipanjangkan umur dan sebagainya. Minta syurga tidak pernah ketinggalan. Minta Nibbana bagaikan melekat di bibir. Minta dijauhi bahaya dan macam-macan minta. Kerana telah biasa begitu, minta pun tidak mengapa tetapi jangan terlalu banyak hingga jadi seperti peminta sedekah. Karma tidak akan ikut permintaan kita. Karma ada hukum-hukum yang tersendiri. Karma berfungsi ikut hukum-hukum tersebut. Karma tidak berfungsi ikut permintaan manusia. Jikalau Karma terpaksa ikut kehendak manusia, Karma pun boleh pening kepala kerana kehendak manusia tiada batasannya.

Jikalau Si A mencintai Si B, maka Si A berbuat baik dan minta cintanya dibalas. Sedangkan Si B mencintai Si C dan berbuat baik minta cintanya juga dibalas. Permintaan siapa yang harus dimakbulkan, permintaan si A atau si B? Bagaimana jikalau dua negara berperang? Negara A minta Karma musnah negara B dan begitu juga sebaliknya.

Karma bukan makhluk yang boleh memenuhi kehendak manusia. Karma ialah hukum alam yang berfungsi mengikut hukum-hukumnya. Usah membazir air liur minta itu, minta ini. Anjing mengawan dengan anjing, kemudian kita minta dilahirkan anak kucing? Boleh? Tentulah tidak boleh. Atau kita minta supaya dia tidak mengandung dan melahirkan anak? Walaupun kita tidak minta, jikalau anjing itu tidak mandul, dia akan melahirkan anak anjing. Apa yang dibuatnya, itulah hasilnya.

Jikalau kita berbuat baik, minta atau tidak, balasan baik tetap akan kita terima. Jikalau kita berbuat jahat, minta atau tidak, balasan jahat tetap akan kita terima.

Kita mahu apa, buatlah Karma yang berkaitan perkara itu, tidak perlu minta-minta pun, balasan atau hasilnya akan kita dapat. Tiada siapa  - manusia, dewa atau Phra Phrom yang mampu menghalang Karma. Malahan semua makhluk tertakluk kepada hukum Karma.

(Sumber: Tipitaka Thai)


No comments: