Friday, August 31, 2012

Merdeka Daripada Kilesa

Tadi pergi wat sekejap, memberi hormat kepada Tri Ratana sempena Hari Kemerdekaan - semoga semua orang merdeka daripada Lobha, Dosa dan Moha. Inilah 3 akar yang mencambahkan segala kejahatan kecil dan besar.

Lobha ialah tamak atau mahu akan sesuatu. Lobha bersifat menarik iaitu sentiasa menarik sesuatu yang disukai ke arah diri sendiri. Misalnya, apabila kita suka akan kereta, kita akan berusaha mendapatkan kereta atau menjadikan kereta milik kita.

Dosa ialah marah atau tidak senang hati. Dosa bersifat menolak.- iaitu sentiasa menolak sesuatu yang dibenci daripada diri sendiri. Misalnya apabila kita benci kepada seseorang, kita sentiasa menjauhi orang tersebut atau brusaha agar orang tersebut tidak mendekati kita.

Moha ialah sesat atau keliru tidak dapat membezakan antara yang benar daripada yang batil. Moha bersifat mengelilingi kerana keliru tidak tahu mahu menarik atau menolak. Jikalau Moha cenderung kepada Lobha, ia akan bersifat menarik. Sebaliknya jikalau cenderung kepada Dosa, ia akan bersifat menolak.

Moha adakalanya boleh melahirkan sifat menarik dan menolak serentak. Contoh, Si A berasal sebuah kampung. Dia dilanda Moha lalu terpengaruh dengan sebuah aliran baru. Dia terpedaya dengan syurga yang dijanjikan aliran tersebut hingga menjadi Lobha (bersifat menarik) tergila-gilakan syurga. Pada waktu yang sama dia menjadi Dosa (bersifat menolak)  dengan wat di kampungnya yang dianggapkan ketinggalan, kuno dan sebagainya. Hakikatnya, dia masih dalam keadaan Moha kerana tidak dapat membezakan kebenaran daripada kebatilan.

Orang kita pun masih ramai yang dalam keadaan Moha. Apabila kita pergi membuat Sanghadana di wat, kita akan membaca "ayat-ayat" memberi Sanghadana dengan panjang lebar. Dari bermula upacara Sanghdana, duduk hingga kebas kaki pun upacara belum selesai. Sesetengah orang yang tidak biasa duduk lama terpaksa tukar posisi duduk beberapa kali sebelum upacara selesai.

Kenapa mesti panjang sangat? Tidak bolehkah dipendekkan? Apabila diajukan soalan ini kepada "pakar" agama, dia berkata, "orang dah buat begitu sejak dulu, kita ikut!" Jawapan yang sama sekali tidak bertaraf pakar. Mahu memberi sepinggan nasi dan semangkuk lauk kepada Sangha terpaksa menghabiskan masa begitu lama dengan bacaan ayat-ayat yang berjela-jela panjang. Setiap kali memberi dana itu juga yang dilafazkan.

Jikalau berniat di hati dan bacaan yang singkat sahaja, kemudian berikan Sanghadana tidak sah? Tidak dapat pahala yang banyak?

Orang Cina datang wat mereka pasang lilin dan colok, mulut berkumat-kamit sekejap - minta apa kita tidak tahu, mungkin minta dianugerahi gelaran Dato, Tan Sri, Usahawan, Sasterawan atau minta jadi kaya, terpulanglah - tetapi tidak panjang seperti kita. Kemudian dia masukkan RM50 ke dalam donation box yang jumlahnya lebih banyak daripada jumlah tok sami di wat. Adakah Cina ini tidak mendapat pahala yang banyak seperti kita?

Bayangkan duit RM50 dengan nasi sepinggan dan lauk semangkuk, mana lebih bernilai paza zaman IT ini? Saya tidak berniat merendahkan orang kita. Saya sekadar membuat perbandingan bagi menjawab tanggapan sesetengah "pakar" yang mengatakan upacara yagg panjang menghasilkan pahala yang lebih banyak.

Nasi sepinggan dan lauk semangkuk itu terlalu tinggi nilainya kerana dengan nasi dan lauk itulah agama kita kekal hingga hari ini. Akan tetapi kenapa mesti menggunakan masa yang terlalu panjang untuk upacara tambun sekiranya boleh disingkatkan? Gunakan masa yang lebih untuk buat perkara lain yang berfaedah. Misalnya, mendengar khutbah dhamma daripada bhikkhu.

Kita sebut "memberi" dana atau Sanghadana. Apabila memberi, mesti memberi dengan ikhlas. Memberi untuk mengikis Kilesa jenis tamak haloba yang melekat di lubuk hati. Oleh itu, memberi mesti ikhlas. Ikhlas maksudnya "tidak mempunyai udang di sebalik batu" dalam perihal memberi dana atau Sanghadana ini. Hakikatnya, bukan setakat udang, bahkan ketam dan ikan pun ada di sebalik batu. Kita mewujudkan Upadana (clinging) dalam Sanghadana. Daripada Upadana ini maka lahir pula Lobha dan kemahuan.

 "Memberi" dana atau Sanghadana yang bertujuan mengikis Kilesa jenis tamak haloba telah bertukar menjadi menambahkan Kilesa. Upacara membersihkan minda telah bertukar menjadi upacara mengotorkan minda. Inilah yang dilakukan orang kita sejak sekian lama. Sekiranya konsep yang salah ini tidak diubah, selama itulah minda kita tidak akan bersih. Minda yang kotor adalah minda yang dipenuhi Lobha, Dosa dan Moha.

Berusahalah memerdekakan diri dariapda Lobha, Dosa dan Moha kerana ini satu-satunya jalan menuju kebahagiaan hidup yang sejati.










1 comment:

Anonymous said...

Yeaahh, tepat sekali Tuan tulis! Tangan kanan beri 1 pinggan, tangan kiri tunggu terima 2 pinggan!!!