Saturday, August 4, 2012

Penghuni Syurga Mahu Turun Ke Dunia

Setiap pagi emak saya saibart phra (beri makanan kepada bhikkhu yang datang pindapata). Walaupun hujan melanda, ribut membedal, pokok-pokok tumbang, selagi sihat emak akan bangun awal pagi untuk bertanak nasi. Emak tidak mahu ketinggalan saibart phra setiap pagi. 

Saya pernah bertanya: "Kenapa emak saibart phra hari-hari?"

"Woi, emak mahu pergi syurga. Saibart phra baru dapat pergi syurga!" kata emak.

"Patutlah, emak selalu tambun (buat pahala) sebab mahu pergi syurga!"

"Tentulah."

"Syurga tu, macam mana, mak?" Saya bertanya.

"Syurga tu cantik. Hidup di syurga senang.  Tiada tempat yang lebih bahagia daripada di syurga. Semua benda ada. Ingat mahu apa, terus dapat. Ingat mahu makan, terus kenyang. Semua hajat, impian dan kehendak akan dicapai!" kata emak lagi.

"Syurga duduk mana, emak?"

"Nun, atas sana!" jawab emak sambil menunjuk jari ke langit. 

"Atas sana tak panas ke, dekat dengan matahari?"

"Hei, jadi budak jangan bersenda dengan syurga, nanti devata marah!"

Saya terdiam. Emak sangat percaya dengan kuasa devata. Apabila hujan tidak turun, emak akan mohon kepada devata. Apa-apa sahaja emak akan minta pertolongan daripada devata (Thai: Thevada). 

Sejak kecil saya dinasihati emak supaya selalu berbuat baik apabila mati boleh pergi lahir di syurga, jadi devata. Maka kami budak-budak pun pasang angan-angan mahu jadi devata. Setiap kali berbuat baik akan mohon dilahirkan di syurga. Syurga adalah destinasi terakhir saya.

Kepercayaan kepada devata ini kepercayaan turun-temurun keluarga kami. Datuk, nenek dan bapa juga percaya kepada devata. Malahan datuk lebih tahu kisah devata daripada kisah Buddha. Mungkin daripada datuk dan nenek, kisah devata diwariskan kepada bapa dan emak saya. 

Bukan kami sekelurga yang percaya kepada devata. Orang kampung saya juga kebanyakannya tambun kerana mahu dilahirkan di syurga sebagai devata. Bahkan apabila mendengar dhammadesana, bhikkhu juga akan cerita pasal devata. 

Ini kisah masa saya budak-budak. Ketika itu saya belum tahu apa itu Nibbana dan Ariya. Saya hanya tahu Buddha, Dhamma dan Sangha secara kasar. Orang sebut Nibbana, saya pun sebut tetapi tidak tahu maksudnya. Destinasi hidup saya seperti emak dan orang-orang lain iaitu syurga.

Setelah dewasa, barulah saya sedar bahawa destinasi terahir kaum Buddhis bukan syurga, tetapi Nibbana. Meletakkan destinasi terakhir di syurga bercanggah dengan ajaran Buddha. Buddha mengajar Ariya Sacca 4 agar manusia mencapai Nibbana. 

Berbuat baik (tambun) untuk ke syurga apabila diperhalusi ia merupakan sesuatu yang janggal. Kenapa saya berkata begitu? Kerana dalam Kitab Tipitaka ada sebut bahawa devata apabila hendak mati mereka ingin dilahirkan sebagai manusia di dunia. Manusia pula selepas mati mahu dilahirkan sebagai devata di syurga. Manusia berbuat baik sepanjang hayat untuk menjadi penghuni syurga. Sebaliknya, penghuni syurga apabila hendak mati, sangat berharap dapat dilahirkan di dunia. Inilah yang dikatakan janggal.

Emak dan orang kampung saya tambun kerana mahu pergi syurga. Devata di syurga ingin dilahirkan di dunia. Andai kata, manusia yang mati dan dalam perjalanan ke syurga berjumpa dengan kumpulan devata yang dalam perjalanan ke dunia, apa akan terjadi apabila mereka bertegur sapa, bertanya khabar dan bertanya destinasi yang dituju? Adakah kedua-dua pihak akan terkejut hingga tercengang? 

Mari kita perhalusi kenapa devata mahu jadi manusia. Apabila terdapat devata mahu mati, kumpulan devata lain (mungkin saudara mara dan kawan-kawan) akan datang berkumpul. Mereka akan minta supaya devata yang akan mati akan menuju sugati di dunia. Selain itu, mereka turut berpesan agar akan kembali semula ke syurga. Sugati kita di syurga. Sugati devata di dunia. 

Para devata berharap agar devata yang telah lahir jadi manusia di dunia akan berjumpa dengan ajaran Buddha, mempelajarinya dan mengamalkannya (mengamalkan Brahma-cariya) sehingga mencapai Ariya Bukkhon, sekurang-kurangnya Sodaban (Sotapanna). Selepas jadi Sodaban (minda Lokuttara) baru kembali semula ke syurga.

(Ariya Bukkhon = Pali: Ariya Puggala = Noble Persons.)

Nah, inilah sebabanya, kenapa devata mahu dilahirkan sebagai manusia. Kerana mereka mahu mngamalkan Buddha Dhamma sehingga, sekurang-kurangnya mencapai tahap Sodaban. Jika dapat mencapai Arahant lagi bagus. Selepas menjadi Sodaban barulah kembali semula ke syurga. 

Dunia tempat yang lebih istimewa daripada syurga kerana hanya dunia tempat kelahiran Buddha. Buddha tidak lahir di syurga. Hanya manusia boleh jadi Buddha. Devata tidak boleh jadi Buddha. Hanya manusia boleh mengamalkan dhamma-vinai dengan mudah. Devata sukar mengamalkan dhamma-vinai.

Syurga bukan tempat yang bahagia bagi manusia biasa sebagaimana yang difahami. Syurga penuh dengan nafsu-nafsi dan kemelekatan terhadap keseronokan indera. Peluang untuk membuat kebaikan hampir tiada. Hanya devata yang telah mencapai tahap Lokuttara dapat mengecapi kebahagiaan yang sebenar. Minda Sodaban tidak akan jatuh, sebaliknya semakin tinggi hingga ke tahap Sakadagami, Anagami dan Arahant.

Penganut agama Buddha harus sedar hakikat bahawa hidup di syurga tidak sebahagia yang diwar-warkan, kecuali mereka yang telah menjadi Ariya. Oleh itu, tambun tamtan sahaja tidak cukup, tetapi mesti mengamalkan Samadhi Vipassana untuk mengangkat minda ke tahap Ariya, sekurang-kurangnya Sodaban. Jangan taksub dengan tambun untuk ke syurga yang menjadi kepercayaan turun temurun. Jangan mudah terpedaya dengan propaganda tambun untuk "bun besar" atau "bun kecil". Perkara yang penting ialah mengamalkan dhamma hingga jadi Ariya barulah hasil tambun menjadi lebih bermakna.   

Golongan devata dilahirkan di syurga kerana mereka banyak tambun masa jadi manusia pada kehidupan terdahulu. Akan tetapi belum mencukupi kerana mereka kurang mengamalkan dhamma. Minda mereka masih di tahap duniawi. Minda duniawi ini tetap menanggung dukkha walaupun di syurga. Oleh itu, apabila hendak mati, mereka berharap dilahirkan di dunia agar dapat berjumpa Buddha Dhamma, mengamalkan kehidupan mulia, mengamalkan Lokuttara Dhamma, Samadhi dan Vipassana sehingga mencapai tahap Ariya. 

Maka kita yang telah jadi manusia tidak perlu tunggu jadi devata, kemudian mati dan minta dilahirkan semula di sugati sebagai manusia untuk mengamalkan Lokuttra Dhamma. Sekarang kita sudah jadi manusia, maka inilah masa paling sesuai mengamalkan Lokuttara Dhamma di samping tambun tamtan.

Kita mesti perbetulkan semula ditthi atau pandangan. Meletakkan syurga sebagai destinasi pilihan tidak salah tetapi mesti mengamalkan dhamma, sekurang-kurangnya hingga mencapai tahap Sodaban. Setelah jadi Sodaban, barulah kita boleh mendabik dada bahawa destinasi pilihan kita sudah dalam genggaman. 

"Saibart phra setiap hari, buat Sanghadana setiap dua minggu, pit thong luk nimit tujuh buah wat, pergi vian tian hari Asalaha, meraikan Hari Wesak, tambun Kathina setiap tahun, suatmon wai phra setiap malam dan  berpegang pada Sila seminggu 4 kali belum cukup jadi devata yang baik. Emak mesti jadi Sodaban!" Saya memberitahu emak. 

"Sodana tu apa?" tanya emak.

"Itulah emak. Saibart phra setiap pagi tapi tak tahu Sodaban tu apa!"


(Rujukan: Kitab Tipitaka)

13 comments:

Anonymous said...

Sathuk.
Pengikut thammakai jgn marah ya.

Anonymous said...

sawadee tuan pena

Zaman sekrg kebykan org siam minda mereka telah ditanamkan dgn konsep bagi duit byk/thambun byk dpt masuk syurga. Saya pun tak faham zaman Buddha dulu beliau tak ajar pula materialistik mcm zaman sekrg. Kenapa org kito duk masing masing berlumba-lumba bawa tu bawa ni ke wat sampai kadang brg tu expired tanpa diguna bazir aje baik sedekah kpd org yg memerlukan. Satu lagi kalau org miskin tak masuk syurga le sb tak ada duit utk thambun

sadhu sadhu ini pendpt saya

Thai Budd said...

Banyak lagi amalan yang dilakukan orang Siam yang bercanggah dengan Dhamma Buddha. Sepatutnya pihak Sangha yang telah disediakan segala kemudahan dapat mendalami, mengamal dan menyebarkan Dhamma Buddha yang betul.

Semoga Komuniti Thai Baru dapat meneruskan penyebaran Dhamma Buddha..Sadhux3

pena reformasi said...

Anon 5.37 PM, orang sekarang mempunyai sifat materialistik yang tinggi, jadi cara mereka tambun pun condong kepada materialistik. Penerima pula suka duit, maka tambun duit dijadikan propaganda bagi menarik hati pemberi. Realitinya, material yang berlebihan inilah yang merosakkan institusi Sangha.

Thai Budd, begitulah sepatutnya. Tapi apa boleh buat Sangha sendiri tenggelam dalam sasana pitthi hingga tak dapat nak bezakan yang wajar dengan yang tidak wajar.

Anonymous said...

Tol sami tau tarik duit masuk wat lain tak tau. Sedara mara senang tiada duit minta pinjam tk sami. Bantuan kerajaan ratusan ribu seah tok sami urus. Ada akal ke Siam.

Anonymous said...

Boleh masuk tak boleh keluar.

Anonymous said...

Terima kasih Tuan kerana beri link Tipitaka mudah buat rujukan. KSB sumber ilmu dhamma BM terunggul.

Anonymous said...

Setiap orang banyak idea-idea yang tersirat.Banyak orang sekadar idea-idea yang bernas dan sedap.Peliknya tiada siapa yang sedia mengamalnya.Kejap-kejap dhammakai,bertukar idea,bertukar aliran.Selepas itu balik tempat asal komen sana,komen sini.aduh

pena reformasi said...

Bagi saya semua orang sedang mengamalkan dhamma. Bezanya, ada yang mengamalkan secara ketat, sederhana atau longgar. Tahap amalan juga berbeza. Bangun pagi, pergi kerja, cari duit untuk menyara keluarga juga termasuk dalam mengamalkan dhamma.

Anonymous said...

Sememangnya tidak salah kita mengetahui sesuatu perkara tentang dhamma.Dhamma meluas hingga ke dunia lain.Bila kita sudah mengetahui dhamma ,marilah kita mengamalkan pula isi kandung sekadar yang kita mampu.
Ramai antara kita yang mengamal dhamma sekadar lakunan saja.Amalan ini kurang digalakan.

pena reformasi said...

Amalkan dhamma cara lakonan tak wajar. Amalkan sungguh-sungguh sikit-sikit tak apa tapi mesti berterusan.

Anonymous said...

Bagaimana ingin tahu tahap minda seseorang. Lokuttara atau lokiya?

pena reformasi said...

Bukan senang nak tahu tahap minda seseorang. Minda Ariya sekurang-kurangnya Sodaban. Mahu capai Sodaban mesti melepasi Sakya Ditthi, Vicikicca dan Silappata-paramasa.