Wednesday, August 8, 2012

Raja Syaitan Pemerintah Syurga

Syurga ada 6 tingkat. Semua tingkat bersifat Kama-vacara atau Kama-loka. Kama bermakna kenikmatan indera.  Vacara bermakna mengembara. Kama-vacara bermakna  mengembara di dalam kenikmatan indera. Maksudnya syurga ialah tempat di mana penghuninya begitu seronok, malahan melekat dengan kenikmatan indera iaitu kenikmatan melalui mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati. Dengan kata lain, syurga merupakan tempat yang sangat subur dengan nafsu indera.

Oleh sebab itulah orang tua-tua selalu menggunakan syurga sebagai umpan untuk kita berbuat baik. Syurga digambarkan dengan 1001 macam kebahagiaan, keseronokan dan kenikmatan. Dikatakan dewa-dewi syurga begitu anggun dan cantik sedang menanti manusia yang bakal ke syurga. Manusia yang masih melekat dengan kebahagiaan, keseronokan dan kenikmatan indera begitu teruja dengan gambaran syurga lalu bertungus-lumus berbuat pahala untuk ke syurga selepas meninggalkan dunia.

Syurga ini merupakan syurga selepas mati. Syurga yang manusia biasa seperti kita tidak mungkin dapat melihatnya. Namun, syurga inilah yang menjadi kepercayaan ramai antara kita. Sejak kecil kita telah disogok dengan syurga ini agar kita berbuat baik.

Menurut Buddhadasa Bhikkhu, syurga selepas mati yang dipercayai oleh penganut agama Buddha sebenarnya terpengaruh dengan syurga Brahmana. Ini bererti penganut agama Buddha sedang berbuat baik untuk ke syurga Brahmana?

Syurga agama Buddha terletak di "Phassayatana" iaitu "sentuhan antara ayatana dalam dengan ayatana luar. Ayatana dalam ialah mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati. Ayatana luar ialah objek di luar iaitu objek pandangan, suara, bau, rasa, objek sentuhan dan objek hati/minda atau perkara yang difikirkan. Daripada Phassayatana inilah wujudnya syurga atau neraka. Perasaan bahagia ialah syurga, manakala perasaan derita ialah neraka. Contoh, apabila mata kita terpandang sesuatu dan kita suka, itulah syurga. Apabila mata kita melihat sesuatu dan kita benci, itulah neraka.

Sesetengah orang berpendapat, perasaan suka dan perasaan benci ini hanya syurga dan neraka di atas muka bumi. Masih ada syurga dan neraka lain yang hanya akan diketahui selepas mati.

Sekarang saya akan tulis tentang syurga selepas mati. Syurga jenis ini sangat digemari kaum Buddhis, terutama kaum Thai. Syurga di muka bumi yang dapat dirasai kurang disukai. Sebaliknya pergi suka yang selepas mati. Pergi buat baik di mana-mana, syurga inilah yang menjadi harapan dan destinasi. Dalam Kitab Tipitaka pun memang ada menerangkan tentang syurga selepas mati ini. Syurga ini ada 6 tingkat.

1. Catumaharajika.

2. Tavatimsa (Thai: Tavatingsa)

3. Yama

4. Tusita (Bodhisatta)

5. Nimmana-rati.

6. Paranimmita-vasavatti.

Di sini saya akan terangkan syurga tingkat Paranimmita-vasavatti sahaja kerana ia ada kaitan dengan cabaran yang dihadapi Bodhisatta Siddharta sewaktu hendak Trassaru (Pencerahan Sempurna)

Menurut kitab, syurga Paranimmita-vasavatti ialah syurga tingkat ke-6 iaitu tingkat tertinggi yang dihuni Devata/Dewa. Bersifat Kama-Bhava. Merupakan Para-loka yang bersifat Sugati-Bhumi. Merupakan syurga yang mempunyai usia yang istimewa, kebesaran yang istimewa, warna kulit yang istimewa, pangkat yang istimewa, rupa yang istimewa, suara yang istimewa, bau yang istimewa dan syurga ini mempunyai kehalusan dan keindahan lebih daripada 5 syurga yang lain.

(Kitab menggunakan istilah "Dibba" (Thai:Thip) yang bererti "istimewa" iaitu keistimewaan yang hanya dimiliki Devata. Penglihatan yang istimewa dipanggil Dibba-Cakkhu. "Dibba" diberikan erti Divine oleh kamus agama Buddha terbitan Sri Lanka).

Syurga Paranimmita-vasavatti sangat luas; melebihi keluaran syurga Nimmana-rati. Kedudukannya di atas puncak  Gunung Mahameru menghala ke angkasa dengan ketinggian 42,000 joyana melebihi ketinggian syurga Nimmana-rati. Syurga ini tiada  matahari, tiada bulan, tiada bayang tetapi tiada sudut yang gelap. Semuanya terang benderang oleh benda-benda di dalamnya, misalnya badan Devata yang sentiasa memancarkan cahaya, mahligai yang bercahaya, kebun, tasik dan semua alam sekitarnya bercahaya sepanjang masa. Suasananya sangat indah.

Keadaan syurga ini berbentuk bulat dan rata. Jika dilihat dari syurga Dusita akan kelihatan cahaya yang terang benderang tetapi lembut dan sedap mata memandang.

Manusia yang cukup pahala baru dapat dilahirkan di syurga ini. Kelahirannya jenis opapatika iaitu terus wujud tanpa melahirkan seperti manusia. Setelah wujud terus jadi Putera Dewa yang kacak atau Puteri Dewi yang jelita. Putera Dewa berusia 18-20 tahun dan Puteri Dewi berusia 16-18 tahun. Hubungan kelamin Dewa-dewi tidak sama dengan manusia. Tiada cecair sebagai pengakhiran hubungan seperti manusia. Sekadar berpandangan mata - tidak perlu bersentuhan - dengan pasangan, kemudian berniat di hati maka belayarlah mahligai suami isteri. Tiada hamil dan tiada kelahiran seperti manusia. Hanya ada kelahiran jenis opapatika.

Usia penghuni syurga ini sangat panjang. Dalam kitab disebut 1,600 tahun manusia bersamaan dengan satu hari satu malam di syurga Paranimmita-vasavatti. 30 hari bersamaan dengan 1 bulan (syurga). 12 bulan bersamaan dengan 1 tahun. Purata usia Devata di sini ialah 16,000 tahun syurga. Jika dibandingkan dengan usia manusia maka usia Devata ialah 9,216 juta tahun manusia. 

Syurga tingkat ke-6 ini mempunyai Thau Paranimmita-vasavatti Dewa Raja (Phaya Vasavatti Mara) sebagai Ketua.

(1วิตถตสูตร, อังคุตตรนิกาย อัฏฐกนิบาต, มก. เล่ม 37 ข้อที่ 132 หน้า 506)

Thau Paranimmita-vasavatti Dewa Raja atau Phaya Vasavatti Mara inilah Raja Syaitan yang mengganggu Bodhisatta Siddharta sebelum mencapai Trassaru menjadi Buddha. Dia merupakan pemerintah dan ketua tentera di syurga Paranimmita-vasavatti.

Anda mungkin tertanya-tanya, kenapa Ketua Devata di syurga paling tinggi ini boleh jadi Raja Syaitan yang membawa bala tentera datang menyerang Bodhisatta Siddharta? Bukankah dewa itu baik? Hanya manusia yang banyak pahala sahaja boleh dilahirkan sebagai Dewa. Sebaliknya, Phaya Vasavatti sangat jahat kerana membawa bala tentera yang terdiri daripada para Devata pergi menyerang Bodhisatta.

Ini kerana Dewa kumpulan ini terpengaruh dengan kuasa yang dimiliki. Mereka ingat mereka paling berkuasa. Semua manusia milik mereka. Phaya Vasavatti menyimpan hasad dengki terhadap Bodhisatta Siddharta yang akan menjadi Buddha mendahuluinya. Phaya Vsavatti juga menyimpan perasaan ingin menjadi Buddha. Sebab itulah apabila mendapat tahu Siddharta akan menjadi Buddha, maka dia membawa bala tentera dengan menaiki gajah yang bernama Giri datang mengganggu Siddharta agar tidak berjaya menjadi Buddha.

Diriwayatkan bahawa sewaktu Bodhisatta Siddharta sedang duduk di bawah pokok Bodhi, para Devata dan Brahma dari pelbagai tingkat syurga datang menunggu untuk melihat dan meraikan seorang Buddha. Namun, apabila terlihat Raja Syaitan Phaya Vasavatti datang bersama ribuan bala tentera dengan senjata yang pelbagai jenis, gegak gempitanya hingga menggegarkan bumi, maka segala Devata yang ada terus beredar kerana ketakutan. Tinggal Bodhisatta seorang yang duduk berdepan dengan Raja Syaitan tanpa berganjak walaupun sedikit.

Raja Syaitan menjerit menghalau Bodhisatta bangun dan beredar dari pokok Bodhi. Raja Syaitan mendakwa  tempat yang diduduki Bodhisatta adalah miliknya. Individu yang berhak menentukan nasib manusia (bahagia atau sengsara) di muka bumi hanya dia seorang.

Bodhisatta tidak berganjak. Berbekalkan Parami yang dikumpul sejak ratusan kelahiran, Baginda berlawan dengan Raja Syaitan. Baginda menuding jari ke bumi dan berkata, bumi inilah saksi bahawa Baginda telah mengumpulkan Parami sejak ratusan kehidupan. Puteri Dorani muncul dari bumi lalu membilas "air Parami" dari rambutnya sehingga membanjiri bumi dan menghanyutkan para syaitan. Raya Syaitan tidak berputus asa. Dengan sisa bala tentera syaitan yang masih ada, dia cuba hendak menyerang Bodhisatta lagi. Namun, bala tenteranya terkena panah petir. Dia pun lemah semangat dan mengaku kebesaran Buddha dengan berkata: "Tiada individu yang sama dengan Bodhisatta sama ada di dunia Dewa atau dunia manusia. Bodhisatta akan membantu manusia bebas daripada Vatta Samsara!"

Selain itu, Raja Syaitan ini juga ada hantar Puterinya yang cantik jelita datang menggoda Buddha tetapi tidak berjaya. Malahan sewaktu Buddha pergi ke Brahma-loka berjumpa Paka Brahma, Raja Syaitan ini merasuk seorang Brahma memuji Paka Brahma agar tidak akur kepada Buddha. Namun, semua usaha Phaya Vasavatti tidak berjaya.

Kenapa Phaya Vasavatti yang merupakan Devata begitu jahat? Semua Devata yang tinggal di sini akur akan perintahnya. Mereka datang beramai-ramai mengganggu Buddha. Seperti yang dikatakan sebelum ini bahawa Devata bukan Arahant. Devata masih mempunyai kilesa dan hawa nafsu. Devata begitu seronok dengan kenikmatan deria. Sifat Devata tidak tumpah dengan sifat manusia yang menghambakan diri kepada kilesa. Oleh sebab sifat manusia yang masih melekat dengan nafsu deria, maka Phaya Vasavatti menganggap manusia adalah miliknya. Oleh itu, dia berhak ke atas manusia dan segala isi bumi. Syurga dan dunia masih tertakluk kepada Vatta Samsara. Vatta Samsara diputar oleh kilesa dan nafsu. Phya Vasavatti takut apabila Buddha mencapai Trassaru, Buddha akan membawa manusia keluar daripada Vatta Samsara. Phaya Vasavatti takut jika hal itu berlaku, maka pengikutnya (Devata dan manusia) akan berkurangan. Phya Vasavatti ini jenis gila kuasa dan berbangga dengan pengikut yang ramai.

Masih ramai manusia yang berTuhankan Phaya Vasavatti. Cuma mereka menggunakan nama lain. Mereka ini mengagung-agungkan versi syaitan dengan menolak versi Buddha Maha Agung. Maka tidak hairanlah setiap detik mereka akan mengganggu pengikut Buddha dan menuduh pengikut Buddha dengan bermacam-macam tuduhan. Mereka juga memberi jaminan syurga kepada pengikutnya. Maklumlah, ketua mereka ialah Phaya Vasavatti Mara.

Penganut agama Buddha harus berhati-hati. Jangan mudah terpengaruh dengan golongan Devata pengikut Phaya Vasavatti ini. Walaupun jaminan syurga diberikan, namun ketuanya ialah Raja Syaitan. Sifat dengki dan gila kuasanya amat besar. Hingga sekarang, sesiapa yang menghalang pengamal Dhamma akan dipanggil "Raja Syaitan" sempena gelaran Phaya Vasavatti.

Ada orang pernah beritahu saya, cerita syurga seperti tidak masuk akal. Saya kata, masuk akal atau tidak inilah syurga yang menjadi impian orang Thai Buddhis yang hingga tergila-gila pahala kerana mahu dilahirkan di syurga. Jika dilahirkan di Paranimmita-vasavatti, maka Raja Syaitan bakal menyambut kedatangan kita. Fikir-fikirlah dengan matang!

1 comment:

Anonymous said...

Tulisan yang baik untuk renungan kaum Buddha. Syurga dunia halusinasi khayalan manusia yang terjepit kehidupannya. Syurga escapism kedukaan abstrak yang tidak bisa digapai di realitas.