Friday, August 3, 2012

Siapakah Penganut Agama Buddha Yang Pertama?

Pada minggu ke-3 selepas Trassaru, (dalam  Attha Katha disebut minggu ke-7 atau ke-8) Buddha duduk di bawah pokok Rajayatana (atau kayu Khet) menikmati kebahagiaan daripada pembebasan minda (Vimutti-Sukkha).

Dua orang saudagar iaitu Tapussa dan adik lelakinya, Pallika bersama para pengikut dalam perjalanan dari daerah Ukkala (utara India) menuju ke bahagian tengah India bersama 500 buah kereta lembu. Mereka melalui daerah Budhagaya, tempat Buddha mencapai Trassaru (Pencerahan Sempurna).

Seorang Devata (Dewa) yang pernah menjadi bonda kepada dua saudagar tersebut pada kehidupan yang terdahulu melihat keadaan Buddha yang telah beberapa minggu selepas mencapai Pencerahan Sempurna belum menjamah santapan. "Jikalau Buddha berterusan begini, fikir Devata, adalah sukar untuk Buddha meneruskan hidup. Dua putera kita pun sedang dalam perjalanan ke mari, fikir Devata lagi. Maka hari ini, mereka berdua berpeluang memberi santapan kepada Buddha."

Kemudian Devata pun membuatkan lembu-lembu yang mengheret 500 kereta terhenti tercengang di situ. Dua saudagar dan pengikutnya berasa hairan lalu memeriksa kereta lembu. Devata melihat dua puteranya dalam kesusahan lalu merasuk seorang lelaki dan berkata: "Tahukah kenapa kalian terkandas? Tiada gergasi yang buat kacau, tiada hantu yang buat onar, tiada naga yang buat ribut. Kita adalah bonda kepada kalian berdua dalam kehidupan terdahulu. Sekarang kita dilahirkan sebagai Bhumma Devata di tempat ini!"

"Wahai puteraku, Yang Suci Buddha baru saja mencapai Trassaru. Baginda sedang berehat di bawah pokok Rajayatana. Sila kalian berdua pergi puja Buddha dengan sattu pong dan sattu khol. Pujaan kalian berdua itu demi faedah dan kebahagiaan kalian semua untuk selama-lamanya."

(ข้าวสัตตุก้อน สัตตุผง. Kedua-dua jenis nasi ini mempunyai pelbagai makna, antaranya ialah: (1) nasi yang dimasak sebagai bekalan perjalanan; (2) sejenis kuih/biskut kering; (3) Nasi sattu pong ialah nasi jemur dan ditumbuk hingga lumat. Nasi sattu khol ialah nasi jemur yang digaul dengan madu dan dikepal menjadi ketul-ketul. Kedua-dua jenis nasi ini biasanya dibawa sebagai bekalan oleh pengembara.)

Dua saudagar dengan penuh saddha (Thai: sattha) mengadap Buddha di bawah pokok Rajayatana. Mereka mempersembahkan nasi sattu pong dan nasi sattu khol kepada Buddha sebagaimana diberitahu oleh Devata.

Maka Buddha pun terfikir dalam hati: "Semua Buddha tidak terima makanan dengan tangan. Kita mahu terima sattu pong dan sattu khol dengan apa?"

Sebelum ini, sewaktu sebelum Trassaru, Buddha mempunyai batil (Thai: bart) tetapi telah hilang sewaktu Puteri Sujata mempersembahkan nasi Payas.

Sewaktu Buddha sedang berfikir bagaimana mahu menerima santapan,  Empat Thau Maharaja tahu akan kemusykilan yang dihadapi Buddha, lalu berangkat dari 4 arah membawa batil yang diperbuat daripada batu 4 biji kepada Buddha. Buddha cuma memerlukan sebiji sahaja lalu dengan kuasa minda, 4 biji batil telah digabungkan menjadi sebiji.

Empat Thau Maharaja memohon Buddha agar menerima santapan dengan batil yang dipersembahkan.

Buddha menggunakan batil daripada batu berwarna hijau seperti warna kacang hijau tersebut menerima nasi sattu pong dan sattu khol yang dipersembahkan dua saudagar lalu bersantap.

(Terlebih dahulu Empat Thau Maharaja telah mempersembahkan batil daripada batu zamrud yang berkilau-kilauan tetapi ditolak oleh Buddha).

Dua saudagar memohon menjadi upasaka (Thai: ubasok) dengan menjadikan Buddha dan Dhamma sebagai pelindung. (Sangha belum wujud). Ini merupakan upasaka terawal yang mendapat dwi-sarana. yang dipanggil tavevacika.

Kitab Tipitaka mengisahkan bahawa selepas mempersembahkan nasi sattu pong dan nasi sattu khol kepada Buddha, kedua-dua saudagar pun balik ke negeri asal. Kitab Tipitaka tamat setakat ini. Akan tetapi penulis Attha Katha masih mahu memanjangkan lagi cerita lalu menambah bahawa dua saudagar tersebut meminta cendera mata daripada Buddha untuk dijadikan kenangan dan sembah hormat selepas balik ke negeri mereka.

Buddha melurut kepala dan 8 helai rambut yang berkilat melekat pada tangan lalu diberikan kepada dua saudagar tersebut sambil berkata: "Kalian jagalah rambut ini dengan baik!"

Dua saudagar tersebut amat gembira menerima rambut Buddha, kemudian mereka memohon diri, memberi penghormatan sebelum beredar. Dua saudagar itu membina chedi di negeri mereka bagi menyimpan rambut Buddha. Pada setiap hari Upasatha cahaya memancar-mancar keluar dari chedi itu.

Sewaktu di Chetawan Mahavihara, Buddha pernah menamakan dua saudagar ini sebagai upasaka yang paling mulia daripada semua upasaka kerana mereka mencapai Ratana terawal.

Kisah ini amat penting untuk direnungkan.

1. Buddha mencapai Trassaru dan duduk menikmati kebahagiaan vimutti-sukkha di bawah pokok Rajayatana.

2. Dua saudagar yang dalam perjalanan dengan saddha memberikan santapan kepada Buddha. Ini merupakan santapan pertama selepas Trassaru.

3. Mereka mohon jadi penganut dan mengakui Buddha dan Dhamma sebagai pelindung.

Orang India pada zaman tersebut amat menyanjungi para pertapa. Apabila tahu seorang Buddha sedang duduk di bawah pokok Rajayatana, dua saudagar terus mengadap Buddha dengan penuh kepercayaan dan keyakinan. Mereka tahu bahawa Buddha ialah individu suci lagi mulia. Oleh sebab itulah mereka sudi memberikan makanan. Selepas memberi makanan, mereka mohon jadi penganut.

Apabila Sangha wujud, maka makanan juga diberikan kepada Sangha dengan saddha oleh penganut kerana Sangha ialah pengikut yang sedang menjejaki langkah Buddha. Jadi, makanan diberikan kepada Sangha bukan atas dasar individu, keluarga atau keturunan tetapi atas dasar "amalan mulia" mereka sebagaimana diajarkan Buddha. Sekiranya amalan Sangha tidak mulia lagi, penganut berhak tidak memberikan makanan kepada Sangha. Ini kerana pemberian atas dasar amalan mulia. Namun, penganut masih hormat kepada Buddha. Sangha ialah pengikut Buddha. Penganut tidak sampai hati "membiarkan" Sangha biarpun amalannya tidak mulia lagi.

Kekadang, kerana tidak tertahan penganut terpaksa menegur Sangha. Itupun dengan niat yang baik. Mereka menyara Sangha. Maka mereka berhak menegurnya.

Sekiranya hanya individu biasa yang duduk di bawah pokok Rajayatana, adakah dua saudagar akan memberikan nasi? Devata akan menyuruh dua saudagar memberikan nasi? Empat Thau Maharaja akan memberikan batil? Tidak. Kerana individu itu ialah Buddha - individu suci - maka dua Devata, dua saudagar dan Empat Thau Maharaja mempunyai saddha.

Kesimpulannya, penganut menyara hidup Sangha kerana amalan mulia mereka. Amalan mulia umpama tiket yang memberikan Sangha hak untuk menerima pemberian daripada penganut. Jikalau tiada tiket, tetapi masih mahu terima pemberian, maka penganut pasti akan menegur. Dan teguran ini adalah bukti bahawa penganut masih mengambil berat terhadap Sangha.






















6 comments:

Anonymous said...

Tuan tikus baiki labu.

pena reformasi said...

Terpulang tafsiran masing2.

Anonymous said...

Sathuk x3
Apabila Phra Song tidak mulia lagi, Sasana tidak akan berterusan.

Anonymous said...

Setuju dgn Tuan yg Phra Song ditegur krn masyarakat prihatin. Tiada siapa gila pi tegur Phra Song tanpa sebab. Masa depan sasana bergantung kpd Phra Song.

Anonymous said...

Kita perlu lihat dhamma dari dimensi baru di mana setiap perbuatan ada hasil sekarang juga. Kita tanam rambutan mesti boleh makan buah kehidupan sekarang. Agama Buddha selari dengan sains. Saintis buat kajian untuk hasil hari ini. Saintis tivdak berdoa. Doa bukan agama Buddha tapi mesti buat baru dapat hasil.

Anonymous said...

Berdoa ialah minta pada Tuhan. Buddha ajar kita berusaha bukan berdoa. Siam berdoa krn terpengaruh sasana Bram.