Friday, August 24, 2012

Siapakah Sebenarnya Empat Thao Maharaja?

                                                              (Thao Vessuvan atau Thao Kuven)


Hari ini kita pergi kenali syurga sekejap sebelum kembali semula ke dunia untuk berkenalan dengan tetamu istimewa Buddha di Pergunungan Khitchakut.

Syurga paling rendah ialah Catummaharajika. Di syurga ini terdapat Empat Maharaja (Empat Thao Maharaja). Mereka ialah Vessavan (Kuvera), Virulhaka, Dhatarattha dan Virupakkha 

(Thai: Thao Vessuvan  Maharaj (Thao Kuven), Thao Virulahok Maharaj, Thao Dhatarattha Maharaj dan Thao Virupakk Maharaj.)

1. Thao Vessuvan memerintah di bahagian Utara dan merupakan Raja kepada golongan Yak (Yakkha).

2. Thao Virulahok memerintah bahagian Selatan dan merupakan Raja kepada golongan Khumphan

3. Thao Dhatarattha memerintah di bahagian Timur dan merupakan Raja kepada golongan Khonthan.

4. Thao Virupakk  memerintah di bahagian Barat dan merupakan Raja kepada golongan Nark (Naga).

Kisah Empat Maharaja  ini terdapat dalam kepercayaan Mahayana dan Theravada. Mahaya menggelar mereka Four Heavenly Kings (foto di bawah). Theravada memanggil Four Great Kings. Thai panggil Empat Maharaja. Namun, konsep kepercayaannya berbeza-beza. Siapakah sebenarnya Empat Maharaja ini?



Dalam Kitab Tipitaka Theravada, Empat Maharaja ini muncul di beberapa tempat. Kemunculan di dua tempat yang paling popular ialah (1) sewaktu Buddha baru mencapai Pencerahan Sempurna. Mereka datang mempersembahkan batil (pata) untuk Buddha menerima santapan; dan (2) sewaktu Buddha berada di Pergunungan Khitchakut berhampiran Kota Rajagaha. Kemunculan kedua inilah yang menjadi fokus hari ini.

Dalam Kitab Tipitaka, dikisahkan bahawa pada suatu malam, Empat Thao Maharaja bersama pengikut yang ramai datang menghadap Buddha. Empat Maharaja ini memancarkan cahaya Rasmi (aura) yang indah yang menerangi Pergunungan Khitchakut hingga terang benderang. Setelah memberi hormat kepada Buddha, mereka duduk di suatu tempat.

Golongan Yak datang bersama Empat Thao Maharaja menunjukkan sikap yang berbeza-beza terhadap Buddha. Ada yang memberi hormat kepada Buddha sebelum duduk. Ada yang menyapa Buddha sebelum duduk. Ada yang mengangkat tangan memberi sembah kepada Buddha sebelum duduk. Ada yang memanggil nama Buddha sebelum duduk dan ada yang hanya berdiam diri sahaja sebelum duduk.

Thao Vessuvan berkata kepada Buddha:

“Yang Mulia, di antara golongan Yak yang memiliki kedudukan yang tinggi, ada yang hormat dan yakin kepada Baginda, dan ada yang tidak.  Yak yang memiliki kedudukan yang sederhana, ada yang hormat dan yakin kepada Baginda dan ada yang tidak. Yak yang memiliki kedudukan yang rendah ada yang hormat dan yakin dengan Baginda, dan ada yang tidak!

"Yang Mulia, kebanyakan  golongan Yak tidak hormat kepada Baginda kerana Baginda mengajar dhamma agar menghindari dan berhenti daripada pembunuhan, pencurian, perzinaan, pembohongan dan minum minuman keras. Sedangkan golongan Yak kebanyakannya tidak menghindari dan tidak berhenti daripada pembunuhan, pencurian, perzinaan, pembohongan dan minum minuman keras. Ajaran Baginda bertentangan dengan tabiat mereka!"

Thao Veesuvan berkata lagi bahawa para bhikkhu, iaitu pengikut Buddha ada yang tinggal di dalam hutan belantara yang sunyi dan terpencil. Di hutan belantara tersebut juga merupakan tempat tinggal golongan Yak yang memiliki kedudukan tinggi. Thao Vessuvan bimbang golongan Yak yang tidak menghormati Buddha ini akan mengacau dan mendatangkan bahaya kepada para bhikkhu. Oleh itu, beliau mempersembahkan ilmu perlindungan yang dipanggil Atanatiya agar dihormati, dilindungi, dijaga, dan tidak dikacau oleh golongan Yak. Atanatiya ini penting untuk keselamatan dan keharmonian bhikkhu, bhikkhuni, upasaka dan upasika apabila berjumpa dengan golongan Yak di hutan belantara.

Malahan Atanatiya juga dapat melindungi daripada golongan Khumpan, Khonthan dan Naga yang berniat jahat terhadap bhikkhu, bhikkhuni, upasaka dan upasika.

Buddha cuma berdiam diri mendengar penjelasan Thao Vessuvan.

Melihat Buddha berdiam diri, Thao Vessuvan membacakan Atanatiya kepada Buddha. Atanatiya orang Thai panggil Vipassit atau Atanatiya Paritta. (Sila cari sendiri paritta Atanatiya ini dalan internet. Paritta ini dipercayai sangat mujarab untuk menghalau hantu).

Setelah selesai mempersembahkan ilmu menjaga keselamatan diri kepada Buddha, Empat Thao Maharaja pun minta diri kerana mereka ada banyak kerja yang harus dibuat. Sebelum beredar, mereka dan para pengikut memberi penghormatan kepada Buddha sebagaimana sepatutnya.

Buddha berpesan kepada para bhikkhu supaya belajar Atanatiya kerana ia berfaedah untuk melindungi  dan menjaga diri di kalangan bhikkhu, bhikkhuni, upasaka dan upasika.

Daripada Sutta Atanatiya ini, kita dapat perhatikan beberapa perkara yang menarik untuk direnungi siapakah Empat Thao Maharaja ini? Adakah mereka Maharaja di syurga atau sekadar Raja di dunia atau manusia biasa yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat?

Buddhadasa Bhikkhu pernah berkata, Sutta ini sangat menarik untuk kita memikirkan siapakah sebenarnya Thao Maharaja ini. Jika diperhatikan, sikap dan perlakuan mereka lebih mirip kepada manusia biasa, tidak kepada dewa-dewa.

1. Kita diberitahu bahawa Thao Maharaja ialah Raja di syurga Chatummaharajika yang memerintah empat golongan makhluk iaitu Yak, Khumphan, Khonthan dan Naga. Syurga sering dikisahkan terletak di langit yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Penghuni syurga juga tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana mereka bersifat dibba.

2. Dalam Sutta di atas, golongan Yak dikatakan tinggal di hutan belantara iaitu tempat yang sama dengan tempat yang didiami para bhikkhu. Thao Vessuvan bimbang golongan Yak, Khumphan, Khonthan dan Naga mendatangkan bahaya kepada para bhikkhu lalu memberikan ilmu perlindungan. (Yak digambarkan seperti golongan manusia).

3. Golongan Yak tidak suka kepada Buddha kerana Baginda mengajar Sila 5 yang bertentangan dengan perlakuan Yak yang lazimnya suka membunuh, mencuri, berzina, berbohong dan minum minuman keras. (Yak digambarkan seperti manusia yang tidak berpegang pada Sila 5 yang kita boleh nampak di mana-mana.)

4. Lazimnya, para dewa apabila datang menghadap Buddha, selepas memberi hormat kepada Buddha, mereka hanya berdiri. Sedangkan, Empat golongan makhluk ini datang dan duduk. Ini sesuatu yang luar biasa.

Adakah Sutta ini hendak menyembunyikan sesuatu lantas dikisahkan secara simbolik? Pada zaman Buddha, Raja juga dipanggil Dewa. Adakah mungkin Sutta ini mahu mengisahkan golongan Raja yang amat berkuasa yang mempunyai pengikut yang tidak berniat baik terhadap Buddha dan pengikutnya tetapi tidak wajar disampaikan secara terus terang? Lantas disampaikan secara simbolik? Dalam Kitab Tipitaka, terdapat banyak kisah yang disampaikan secara simbolik, personifikasi, perumpamaan, perbandingan dan sebagainya.   Maka tidak menjadi luar biasa, jikalau kisah dalam Sutta ini pun disampaikan secara simbolik.

Sama-samalah kita fikirkan!



(Rujukan: Kitab Tipitaka Thai)



1 comment:

Anonymous said...

Andainya diikutkan kisah ini, syurga Chatummaharajika berkongsi dunia dengan manusia.