Tuesday, August 14, 2012

Upacara Sambung Usia Pesakit: Realiti Atau Khayalan?

Masyarakat dahulu apabila orang sakit tenat yang tiada harapan untuk hidup, sanak saudara akan menjemput Sangha datang suatmon Bojjhanga 7 (Thai: Phojjhong 7) dan tarik kain Bangsakun

Selain itu, ada upacara "sambung umur" kepada orang tua. Upacara agama ini biasanya dilakukan sebelum orang tua jatuh sakit. Sangha akan suat Paritta dan tambun uthit suan kuson. Lazimnya dilakukan setahun sekali atau setiap lima tahun, terpulang kepada saudara maranya. 

Phojjhong 7 ialah dhamma tahap tinggi kerana ia merupakan faktor mencapai Pencerahan Sempurna. Sewaktu sakit, Ariya Sangha (atau Ariya Puggala) akan mengingati Phojjhong kerana dapat meredakan kesakitan (dukkha-vedana). Dalam Kitab Tipitaka ada dikisahkan bagaimana Phojjhong menghilangkan penderitaan yang ditanggung Ariya yang dalam kesakitan.

Sewaktu Maha Kassapa dan Mogganlana sakit tenat, Buddha memberi khutbah Phojjhong sehingga kedua-dua Ariya Sangha ini reda daripada penderitaan (dukkha-vedana) dan akhirnya hilang daripada kesakitan tersebut. Begitu juga sewaktu Buddha sakit, Baginda minta Maha Chunda memperdengarkan Phojjhong sehingga Baginda hilang sakit. 

Memang tidak dinafikan kemujaraban Phojjhong menghilangkan penderitaan yang ditanggung pesakit. Namun, kita kena faham bahawa Ariya memahami makna yang terkandung dalam Phojjhong. Daripada pemahaman tersebut mereka menggunakannya untuk melihat "kebenaran" berkaitan kelahiran, penuaan, kesakitan dan kematian. Sebab itulah sangat berkesan. Sebaliknya, orang kampung kita mana faham bahasa Pali. Mereka mendengar Sangha membaca Phojjhong umpama burung merpati mendengar lagu Karabao. Phojjhong dijadikan seperti jampi serapah untuk mengubati pesakit. Padahal Phojjhong merupakan faktor yang menyumbang kepada pembebasan minda yang mesti difahami.

Oleh itu, untuk menjadi lebih mujarab, Sangha harus menterjemah Phojjhong ke dalam bahasa yang dapat difahami pesakit. Lagi satu, tidak perlu tunggu pesakit terlalu tenat untuk menjemput Sangha datang kerana orang sakit tenat daya peringatannya telah lemah. 

Paritta, Kusala 7 Khamphi dan Avijja juga biasa digunakan untuk pesakit. Kusala mengisahkan kebaikan dan keburukan yang dilakukan manusia. Avijja mengisahkan  "jaringan sebab musabab yang melahirkan penderitaan" atau yang dipanggil Paticca-samuppada.  Namun, kesemuanya pun tidak difahami pesakit. Oleh itu, kemujarabannya menjadi kurang. 

Tarik Kain Bangsakun

Biasanya tubuh pesakit akan ditutup dengan kain. Sangha akan memegang hujung kain dan membaca Pangsukula Gatha (untuk orang hidup) dalam bahasa Pali:

Acirang Vatayang Kayo
Pataving Atisessati 
Chuddho Apetavinyano
Niratthangva Kaling Kharang.

Maksudnya lebih kurang begini: (Tubuh ini tidak lama lagi akan jadi kosong, tiada kesedaran, berbaring di bumi, umpama sepotong kayu buruk yang tiada sebarang faedah.)

Maksud ini perlu difahami pesakit agar dia dapat "melepaskan" tubuhnya (kematian) dengan hati yang tenang. Selain itu, sewaktu upacara keagamaan begini dilakukan, sanak saudara, jiran tetangga dan kenalan akan turut serta memeriahan suasana. Ini boleh menceriakan hati pesakit. Akan lahir perasaan berbangga di hati bahawa dia masih dihormati sanak saudara dan dihargai jiran dan taulan. Minda pada detik-detik penghujung usia begini amat penting untuk "berpaut pada kebahagiaan atau keceriaan" supaya apabila mati akan ke Sugati. 

Memberitahu Jalan Kepada Pesakit

Walaupun disambungkan umur, diubati oleh pakar, kematian tidak mungkin dapat di sekat. Apabila pesakit sangat tenat, sanak saudara akan sediakan "corong" (กรวย) daripada daun pisang untuk diisi bunga, lilin dan colok. Pesakit akan memegang corong tersebut. Sangha akan berbisik ke telinga pesakit agar mengingati Phra Arahant atau menghafal Arahang Samma. Perkara ini dilakukan kerana mengikut kepercayaan orang tua-tua, Vinyan akan keluar dari tubuh. Vinyan tersebut akan pergi ke Sugati atau Dugati bergantung pada minda terakhirnya. Apabila pesakit mengingati Arahant atau menghafal Arahang Samma, diharapkan vinyan dapat ke Sugati atau kelahiran baru yang lebih baik.

Perhatian: (Vinyan dalam konteks agama Buddha dengan kepercayaan orang tua-tua kita tidak sama. Vinyan kepercayaan orang tua-tua berbentuk roh. Dalam agama Buddha tiada konsep roh, melainkan Karma yang menentukan kehidupan kita sekarang atau selepas mati.)

Ada kisah berkaitan dengan upacaya membuka jalan kepada pesakit ini. Seorang pemburu yang menyara hidup dengan menjual binatang buruan sakit tenat. Dia sering terbayang akan binatang-binatang yang pernah jadi mangsa perburuannya jumlah yang banyak muncul di depan mata sehingga dia menjadi ketakutan. Dia takut akan kejahatan yang pernah dilakukannya. Dia memberitahu kepada anak lelakinya yang merupakan seorang bhikkhu.

Bhikkhu menyuruh bapanya memegang corong yang berisi bunga, lilin dan colok untuk memuja Tri-Ratana. Sewaktu bapanya menghampiri nafas terakhir, bhikkhu memberitahunya supaya mengingati kebaikan Tri-Ratana dan menghafal Samma Arahang atau Samma Sambuddho sebagai mengingati Phra Arahant. Daripada kisah inilah, kita mengamalkannya hingga sekarang.

Orang tua-tua dahulu percaya, pesakit yang akan mati mesti diberikan pakaian baru dan dibekalkan duit untuk dijadikan sebagai bekalan dalam perjalanan ke dunia baru. Di sesetengah tempat orang mati, selepas upacara pemandian, dipakaikan pakaian baru dan dimasukkan duit syiling ke dalam mulut. 

Sesuatu berkenaan agama pada asalnya ialah realiti, tetapi setelah masa beredar, ia telah bertukar menjadi satu upacara. Phojjhong merupakan faktor Pencerahan Sempurna yang amat berkesan mengurangkan penderitaan akibat kesakitan di kalangan Ariya. Namun, apabila tiba ke generasi kita hari ini, ia tidak lebih daripada satu upacara agama. Untuk menjadikannya realiti, kita harus kembali ke asal dan memahami maksudnya yang sebenar.

Begitu juga penghafalan "Arahang Samma atau Samma Sambuddho" tidak akan memberi sebarang makna kepada mereka yang tidak memahami Tri-Ratana. Untuk menjadi ia berkesan, kita harus memahami Tri-Ratana dan kebaikannya terlebih dahulu. Setelah memahami, barulah minda kita akan mendapat faedah daripadanya.

Realiti yang tidak difahami akan jadi khayalan yang tidak berguna.


2 comments:

Anonymous said...

Kalau upacara dapat memberi ketenangan kepada org org tua yg tenat, oklah. Tapi kalau dapat membetulkan pemikiran ibu-bapa dan org org tua dengan dhamma, inilah pemberian yg tertinggi sebagai anak kepada ibu bapa kita.

pena reformasi said...

Cara membalas jasa ibu bapa ialah "membetulkan pandangan/ditthi" mereka supaya menjadi Samma Ditthi. Perkara ini penting tetapi selalu terlepas pandang.