Friday, September 28, 2012

Achan Vipassana: Jalan Berliku Seribu Duri

Ajaran Buddha tidak boleh setakat belajar daripada buku atau mendengar khutbah sahaja. Itu sekadar teori. Untuk kenal ajaran Buddha, kita mesti masuk ke "bilik makmal" membuat ujian amali. Bilik makmal pula mesti dikawal oleh saintis yang bergelar achan. Sekarang di Malaysia terdapat beberapa bilik makmal yang tersohor.

Di Kelantan terdapat dua orang Achan Samadhi yang terbilang. Secara pribadi saya tidak begitu kenal dengan kedua-dua Achan ini. Cuma mendengar daripada mulut orang. Kisah kedua-duanya pelbagai - ada baik, ada buruk. Maklumlah mulut orang ada yang wangi, ada yang busuk. Kalau tidak silap saya pernah jumpa dengan kedua-dua Achan ini beberapa kali sahaja. Itu pun tidak pernah bersembang panjang, sekadar bertegur sapa oleh bhikkhu muda kepada bhikkhu yang lebih tua. 

Jadi seorang Achan bukan senang. Banyak cabaran dan dugaan. Fitnah, cerca, caci dan benci perkara biasa.  Umpama Achan yang dua orang ini, pelbagai soseh-soseh yang tersebar berkenaan mereka. Semuanya daripada mulut anak murid sendiri. 

Orang bilang Achan 1 sangat garang. Mungkin tegas, bukan garang. Namun, orang yang tidak biasa menganggapnya garang. Ramai belia Cina yang berminat dengan meditasi kenal Achan 1. Seorang belia memberitahu dia pernah tengok Achan 1 menyergah seorang wanita. Wanita tersebut beranak kecil pergi mendengar khutbah dhamma membawa anak. Anak menangis kelaparan. Wanita itu pun membancuh susu bagi anaknya. 

Achan 1 menyergah: "Anak bagi susu lembu (susu tepung), susu sendiri bagi suami!" 

Wanita itu tersentak. Muka merah menyala kerana malu atau marah, entahlah. Saya rasa bukan Achan marah, tetapi memberi nasihat dengan cara yang tidak berlapik. Susu ibu amat baik untuk kesihatan bayi. 

Achan 2 pula masa duduk di Kelantan dahulu selalu terkena penyakit lenguh-lenguh badan. Maklumlah orang yang sudah berumur. Maka selalu minta anak murid "Mea Chi" muda tolong picit-picit badan. Mae Chi muda-muda ramai di Samnak Achan 2 ketika itu. Apabila Mea Chi muda tak datang, Achan 2 akan mengerang kesakitan: "Bapa dah nak mati, anak ooi, datanglah picit badan!"

Kesian melihat Achan kesakitan, maka Mea Chi muda pun datang memicit-micit badan Achan. Mae Chi yang pergi bermeditasi di Samnak Achan datang daripada pelbagai latar belakang. Ada yang datang kerana minat dhamma. Ada yang datang kerana untuk "melepaskan nazar". Ada yang datang kerana putus cinta. Ada yang datang kerana kesunyian. Anak dara sunyi lalu datang buard Chi. Jikalau ada anak teruna sunyi datang buard phra dan mereka berjumpa? Waduh, seram dibuatnya!

Sedap sebenarnya apabila ada orang tolong urut badan, apatah lagi oleh orang muda yang jari jemarinya lembut. Kerana tidak tertahan dengan "drama" picit badan inilah, maka seorang Samanera terus meninggalkan Samnak lalu balik ke kampung. Samanera ini anak saudara kepada Achan 2. Dialah yang membawa cerita tidak enak telinga ini ke pengetahuan masyarakat. Sejauh mana benarnya, saya tidak tahu. Orang kata, Achan 2 tinggalkan Samnak di Kelantan kerana isu ini. 

Kenapa saya menulis kisah yang saya tidak lihat dengan mata sendiri? Saya sekadar ingin mengingatkan penganut agama Buddha yang berminat dengan meditasi apabila terdengar cerita begini tidak usah terus percaya. Mara atau Marn begitu gemar dengan orang yang hendak membuat kebaikan. Achan Samadhi ialah individu mulia yang sedang membuat kebaikan untuk diri, masyarakat dan agama. Oleh itu, Mara sangat suka datang kacau. Cerita yang tersebar sejenang dahulu berkenaan dua orang Achan di atas mungkin angkara Mara semata-mata. Anak murid tidak harus percaya. Teruskan pejam mata duduk Samadhi. Akan tetapi jangan sampai taksub. Sikap taksub bukan ajaran Buddha.

Orang yang pergi Samadhi ini suka taksub tidak keruan. Mudah percaya cakap orang. Sekali pergi jumpa Achan, dibawa balik berbakul-bakul cerita aneh-aneh dan ada yang tidak masuk akal. Misalnya ada orang pergi Samadhi di hutan belantara bersama Achan. Dia berkata sewaktu kawannya duduk Samadhi, segerombolan hantu datang kacau. Nasib baik Achan dapat tahu. Achan terbang datang menyelamatkan kawannya. Achan ini orang atau burung boleh terbang?

"Betul! Achan terbang datang!" katanya denga penuh yakin. "Pergilah kalau tak percaya!"

"Aku tak akan pergi kerana setahu aku hanya binatang bersayap saja yang boleh terbang. Orang mana boleh terbang!" kata kawan yang lain.

Saya terfikir dalam hati, meditasi ada sesuatu yang boleh dibahaskan. Saya malas mahu potong angin orang.

Buddha, Monggalan, Saribut, Ananda dan ratusan bhikkhu berjalan kaki sahaja dari satu tempat ke satu tempat. Dalam Maha Parinibbana Sutta, Buddha bersama ratusan bhikkhu melakukan perjalanan jauh dari Rajagaha ke Kusinara dengan melalui beberapa bandar yang terkenal. Mereka berjalan kaki, bukan terbang. Begitu terang seorang kawan. 

Pergi Samadhi itu bagus tetapi harus berpijak di dunia realiti. Tempat meditasi umpama bilik makmal. Di situ manusia menjalani ujian amali mencari realiti kehidupan. Jangan pula membawa balik cerita "kayangan" kerana agama Buddha ialah agama realiti, bukan agama "kayangan". Dhamma Buddha bukan khayalan atau fantasi, tetapi sains. Sains mesti boleh diterima akal. Saya tidak menafikan "kuasa luar biasa" yang ada dalam agama Buddha. Abinya 6 atau Vijja 3 memang ada. Namun, takkan pergi duduk Samadhi 2 hari sudah dapat Abinya 6 atau Vijja 3. Kuasa ini bukan untuk ditunjuk-tunjuk. Orang yang dapat kuasa ini pun berusaha menyembunyikannya daripada pengetahuan orang ramai kerana takut dituduh "menunjuk-nunjuk". Sikap menunjuk-nunjuk ditegah oleh Buddha. 

Percaya sesuatu harus beralasan. Jangan mudah percaya semata-mata kerana dia seorang Achan. Sudah lupakah Kalama Sutta? Sutta bagi mengubat penyakit mudah percaya atau yang orang Thai panggil "ngom-ngai". Penyakit ini berjangkit dan boleh membawa kepada kesesatan. Jangan "ngom-ngai" apabila mempercayai sesuatu.

"Duduk pejam mata bukan cara Buddha!" kata seorang kawan lain. Dia ini seteru sangat dengan puak yang pergi Samadhi. Entah kenapa saya tidak tahu. "Buddha tak pernah hafal apa-apa masa duduk Samadhi! Pejam mata dan hafal itu, hafal ini cara Resi, bukan cara Buddha!" 

Kawan yang seorang ini pun bukan main ekstrimnya.

"Sebenarnya kita duduk Samadhi sambil "pejam mata" dan hafal "Phuttho" agar hati cepat tenang.  Jikalau kita buka mata; maka mata melilau-lilau tengok benda di luar, hati susah mahu tenang. Kita hafal "Phuttho" agar fikiran menjasi fokus dan tidak bercelaru," balas kawan lain. 

Perkara yang penting, apabila kita pergi Samadhi, kita mesti tahu apakah tujuan dan pendekatan Samadhi yang dianjurkan Buddha. Pengetahuan ini penting supaya kita tidak "ngom-ngai", taksub dan sesat. Samadhi ialah proses mengheningkan minda bagi menyuburkan panya. Sebaliknya, ramai yang mengheningkan minda menyuburkan "ngom-ngai". Saya telah kerap mendengar cerita orang yang pergi Samadhi. Cerita mereka kebanyakan "terkeluar" daripada batasan ajaran Buddha. Apa yang mereka cerita tiada dalam ajaran Buddha. Saya tidak tahu di mana silapnya. Akan tetapi kenyataannya memang begitu. 

Duduk Samadhi lebih baik daripada duduk tuang bersama kawan-kawan yang tiada kesudahannya. Duduk tuang dari muda hingga tua tidak penuh-penuh. Apabila usia semakin tuan, badan semakin lemah, ada baiknya pergi cari Achan Samadhi. Sekurang-kurang boleh tenang fikiran. 












7 comments:

Anonymous said...

Kisah benar!

Anonymous said...

Kisah benar dari satu sudut atau satu bahagian pandangan...sekiranya kita pandang/tengok dibahagian yang elok atau cantik, cuba cari/ tengok mungkin ada bahagian yang buruk/tak elok.

Kesimpulannya untuk mencari kebenaran tentang sesuatu perkara/cerita, kita kena mendengar cerita/dapat maklumat dari kedua-dua pihak termasuklah pihak yang berkecuali lain, selepas tu pakai panya untuk menilainya..

Anonymous said...

Mereka yang buard phrak era 80-an pasti arif dengan 2 achan yang Tuan Pena tulis. Saya kenal dengan baik. 99% comform betul.

Anonymous said...

Tidak mengapa benar atau tidak benar.Ini umpama guru kita saja.Berbalik pula kita semua,beramal sudah cukup ker?

Anonymous said...

Ada acharn yg lagi terror, mampu mempengaruhi sekumpulan mahasiswa-mahasiswi perubatan USM Kubang Kerian untuk menolak diri dari program perubatan USM selepas holiday kat negara Thai. Acharn ini juga terer doo duang pemuda kumpulan ini. Inilah Tok than yg saksit dan berwibawa.

adirecsankai said...

pertama kali saya masuk ke dalam blog ini,memang bagus artikal Tuan Pena..syabas..อนุโมทนาด้วยครับ..

pena reformasi said...

Terima kasih Adirecsankai!