Saturday, September 1, 2012

Agama Buddha Fokus Pada Kehidupan Sekarang

(Dhamma Pitaka P.A Payutto)


Sejak sekian lama apabila kita berbicara tentang ajaran Buddha, bermakna kita akan berbicara melangkaui beberapa kehidupan, iaitu kehidupan lampau, kehidupan sekarang dan kehidupan akan datang. Paticca-samuppada (konsep sebab-akibat yang membawa kepada kesengsaraan), Karma, dosa-pahala dan sebagainya pasti akan dibicarakan dengan merangkumi 3 kehidupan, dahulu, sekarang dan akan datang. Dalam 3 kehidupan ini pula terbahagi kepada 3 alam iaitu dunia, neraka dan syurga. Kehidupan sekarang ialah dunia. Kehidupan lampau dan akan datang terbahagi kepada neraka dan syurga. Setelah bebas daripada ketiga-tiga alam ini barulah kita mencapai Nirvana.

Dalam setiap inci kehidupan kaum Buddhis pasti akan dikaitkan dengan kehidupan lampau dan kehidupan akan datang. Apabila kita dilanda kesengsaraan hidup, kita dengan yakin berkata inilah balasan Karma lampau. Apabila pergi buat pahala di wat, kita akan minta diberikan kebahagiaan sekarang dan untuk kehidupan akan datang. Kita seolah-olah tahu dengan pasti bahawa "aku" akan lahir lagi pada kehidupan akan datang dengan orang yang sama sebagai "aku" juga.

(Kepercayaan yang berkaitan dengan beberapa kehidupan ini berpunca daripada Kitab Visuddhimagga. Kita menerima agama Buddha dari Sri Lanka. Kitab utama yang ditulis oleh Buddaghosa yang dikatakan membicarakan teras agama Buddha ialah Kitab Visuddhimagga. Ditulis sekitar 1000 tahun selepas Buddha parinibbana. Kitab ini telah mempengaruhi kepercayaan dan kehidupan masyarakat Sri Lanka sejak sekian lama. Akibatnya, para Sangha percaya bahawa Kitab Visuddhimagga merupakan "teras agama Buddha" yang lebih hebat daripada Kitab Tipitaka dan sutta-sutta lain. Kitab Visuddhimagga menghuraikan pembentukan Paticca-Samuppada melangkaui 3 kelahiran (jati) dan 3 kewujudan (bhava). Sebenarnya Kitab Visuddimagga ada menghuraikan pembentukan Paticca-Samuppada jenis "kehidupan sekarang" tetapi tidak diberikan penekanan. Sebaliknya, jenis yang merangkumi 3 kelahiran dan 3 kewujudan diberikan penekanan. Penekanan kepada 3 kelahiran dan 3 kewujudan inilah detik yang dianggap "krisis pemikiran" atau "krisis kebijaksanaan" dalam agama Buddha oleh pakar refomasi agama Buddha seperti Achan Buddhadasa Bhikkhu dan Achan Dhamma Pitaka (P.A Payutto). Apabila melangkaui 3 kelahiran dan 3 kewujudan maka ia telah terjerumus ke dalam Sassata Ditthi yang merupakan Micca Ditthi. Bermula dari detik inilah, para reformis agama membuat kajian secara mendalam untuk mencari kebenaran.) - petikan daripada tulisan dhamma Buddhadasa Bhikkhu.

Ini bukan bermakna Buddhaghosa tidak menyebut tentang pembentukan Paticca-Samuppada jenis kehidupan sekarang, tetapi tidak diberikan penekanan kerana beliau dipercayai bukan "penulis asal" tetapi hanya "mengumpul" atau "menyelenggara" hasil kerja guru-guru lain hingga menjadi Kitab Visuddhimagga.

Sesetengah pakar berpendapat bahawa Buddhaghosa menulis Kitab Visuddhimagga tanpa mengetahui dhamma secara mendalam. Sesetengah pula berpendapat bahawa beliau ingin memelihara keaslian hasil kerja guru-guru sebelumnya. Oleh sebab itulah beliau turut memberikan kedua-dua jenis tafsiran tentang pembentukan Paticca-Samuppada iaitu jenis kehidupan sekarang dan jenis merangumi 3 kehidupan. Beliau mahu kita - penganut hari ini - membuat tafsiran dan nilaian sendiri. Maksudnya beliau membuka ruang yang luas untuk kita menggunakan kebijaksanaan sendiri. Dan ruang itu telah digunakan dengan bijak oleh Achan Buddhadasa Bhikkhu dan Achan Prayut Payutto.

Maka hasilnya, hari ini kita mempunyai 2 konsep agama Buddha yang (1) menekankan kehidupan sekarang dan (2) menekankan 3 kehidupan/kelahiran iaitu lampau, sekarang dan akan datang. Istilah "menekankan" bermakna memberi keutamaan, bukan mengabaikan sama sekali konsep yang satu lagi.

KSB memilih konsep 1 iaitu "menekankan kehidupan sekarang" untuk diketengahkan. Walaupun dalam artikel tertentu kelihatan KSB menulis tentang kehidupan lampau, neraka di bawah tanah, syurga di langit, Raja Syaitan, Phra Phrom dan sebagainya, akan tetapi itu harus ditafsirkan dalam konteks simbolik dan personifikasi (Puggala-Ditthi). Puggala Ditthi ialah teknik penulisan yang memberikan sifat orang kepada perkara yang abstrak untuk memudahkan pemahaman.

Daripada teknik sebeginilah Buddhadasa Bhikkhu mengatakan bahawa dalam Kitab Tipitaka terdapat 2 jenis bahasa iaitu bahasa manusia dan bahasa dhamma atau bahasa tersurat dan bahasa tersirat. Contohnya, sewaktu Buddha duduk meditasi di bawah pokok Bodhi sebelum Trassaru, Baginda didatangi Raja Syaitan menaiki gajah bersama bala tentera yang ramai. Ini yang kita baca. Ini bahasa dhamma. Apabila ditafsirkan mengikut bahasa manusia maka kita akan lihat Raja Syaitan menaiki gajah bersama bala tentera. Namun, apabila ditanfsir mengikut bahasa dhamma, kita akan dapati bahawa Buddha sedang berlawan dengan Kilesa sendiri. Kerana Kilesa itu terlalu kuat, maka penulis Tipitaka menggambarkannya seperti Raja Syaitan yang menaiki gajah bersama bala tentera.

Tafsiran yang salah akan memberikan hasil pemahaman yang salah. Orang dulu-dulu cenderung mentafsir kitab agama secara tersurat. Apa yang mereka baca, itulah yang ditafsirkan. Mereka tiada asas ilmu untuk mentafsir secara tersirat. Mungkin juga mereka tidak berani kerana takut tersilap tafsir. Maka tafsir secara tersurat lebih mudah. Penulisan buku Nakhtham juga masih terpengaruh dengan tafsiran secara tersurat. Mengikut Buddhadasa Bhikkhu, keadaan ini berlaku kerana ketika itu konsep "bahasa dhamma" belum wujud dalam pengkajian agama Buddha. Malahan Buddhadasa Bhikkhu sendiri pada era awal penyebaran dhammanya masih menggunakan pendekatan "melangkaui 3 kehidupan". Setelah membuat kajian secara mendalam barulah beliau jumpa "bahasa dhamma" dalam Kitab Tipitaka dan konsep "dhamma untuk kehidupan sekarang" yang ditulis secara tersirat.

Kenapa terlalu banyak bahasa dhamma atau bahasa tersirat dalam Kitab Tipitaka? Kita tahu bahawa selepas era Maharaja Asoka, agama Buddha menghadapi ancaman yang hebat daripada seorang Maharaja yang beragama Brahmana (sekitar 300 tahun selepas Buddha parinibbana). Baginda fanatik dengan kepercayaan Brahmana. Ribuan vihara dibakar. Sesiapa yang berjaya membunuh Bhikkhu akan diberikan hadiah. Banyak kitab agama Buddha dibakar dan dimusnahkan.

Agama Buddha menghadapi zaman merudum. Masyarakat India menjauhi daripada ajaran Buddha. Sekitar 600 tahun selepas Buddha parinibbana, seorang bhikkhu iaitu Asvaghosa (Mahayana) telah "melakukan penyelamatan" terhadap agama Buddha. Beliau menulis dhamma secara simbolik supaya tidak menjadi sasaran ancaman Maharaja Brahmana. Kedua, beliau memasukkan pengaruh Brahmana ke dalam penulisan dhamma untuk menarik minat masyarakat. Kisah neraka di bawah tanah, syurga di atas langit dan Karma yang melangkaui ratusan kehidupan dipercayai hasil kerja beliau. Kisah kehidupan Buddha yang kita belajar hari ini dikatakan dipengaruhi oleh karya beliau yang agung iaitu Riwayat Hidup Buddha.

Niat beliau untuk menyelamatkan agama Buddha. Teknik penulisan inilah yang mempengaruhi penulisan Kitab Tipitaka Theravada dan Atthakatha kemudiannya.

Asvaghosa seorang yang hebat. Beliau mahir berceramah dhamma. Dikisahkan bahawa pernah suatu ketika beliau menyampaikan ceramah dhamma, menyebabkan seekor kuda tidak mahu makan rumput, tercengang berdiri mendengar ceramah dhamma beliau dengan linangan air mata. Betapa hebatnya hingga haiwan pun boleh faham dhamma yang disampaikan!

Dalam sejarah agama Buddha selepas kemangkatan Buddha, dua individu yang memainkan peranan penting dalam mewarnai Buddha Dhamma iaitu Asvaghosa dan Buddhaghosa. Dalam Theravada, Asvaghosa kurang menyerlah kerana beliau Mahayana. Namun, hasil kerja beliau turut menimbulkan"krisis kebijaksanaan" dalam agama Buddha sebagaimana hasil kerja Buddhaghosa.

Seorang penulis dhamma pernah memberikan perumpamaan yang menarik tentang dhamma Buddha. Dhamma umpama patung emas yang disaluti simen. Untuk mendapatkan emas, kita mesti memecahkan lapisan simen terlebih dahulu. Pada zaman perang antara Thailand dengan Burma, banyak patung Buddha yang diperbuat daripada emas telah disaluti simen kerana takut diambil oleh tentera Burma. Selepas perang selesai, para penganut tidak tahu bahawa patung yang disembah diperbuat daripada emas sehinggalah lapisan simen itu retak dan kelihatan kilauan emas di dalamnya. Aapabila memecahkan lapisan simen, mereka sangat gembira kerana patung Buddha kesayangan diperbuat daripada emas!








2 comments:

Anonymous said...

2500 tahun masa yang lama tentunya banyak perubahan berlaku dalam agama Buddha. Apapun saya bangga kerana agama Buddha kekal konsep ahimsa. Dunia bergolak di sana-sini tapi pelakunya tidak melibatkan kaum Buddha.

Anonymous said...

Dhamma ialah sains yang bisa dibuktikan dengan amalan meditasi. Hasilnya dinikamati hari ini tanpa perlu tunggu kehidupan akan datang.

Sadhu!Sadhu!Sadhu!