Sunday, September 2, 2012

Agama Buddha Fokus Pada Kehidupan Sekarang (2)

(Buddadasa Bhikkhu)


Sekiranya saya tidak berjumpa dengan buku kecil tulisan Buddadasa Bhikkhu yang berjudul "Nirvana di Hujung Hidung" rasanya saya tidak mungkin dapat duduk menulis dhamma seperti hari ini. Buku ini telah merangsang minat saya untuk mendalami ajaran Buddha. Maklumlah sebelum ini saya diberitahu bahawa Nirvana sesuatu yang sangat sukar yang jauh dan hanya individu tertentu boleh pergi. Buddha mengamalkan Parami beratus kehidupan baru mencapai Nirvana. Tiba-tiba Buddhadasa Bhikkhu berkata, "Nirvana di Hujung Hidung" - sesuatu yang berada terlalu dekat dengan kita tetapi kita tidak nampaknya.

Sebelum ini saya telah "putus harapan" dengan agama saya kerana ajarannya yang saya kira sama sekali "tidak dapat diterima akal yang waras". Saya seorang yang minat dengan bidang falsafah. Saya sering baca buku karya ahli falsafah Greek. Apabila dibandingkan dengan ajaran Buddha yang saya terima secara turun temurun, saya rasa jauh berbeza.

Saya "putus harapan" kerana Buddha dikatakan individu yang sangat bijak tetapi kenapa ajaran yang saya (kita) terima begitu daif, kolot dan tidak masuk akal.

Aktiviti agama Buddha asyik buat benda yang sama yang tidak banyak memberikan hasil. Banyak meminta daripada memberi. Setelah membaca buku "Nirvana di Hujung Hidung" barulah saya dapati agama Buddha bukan sesuatu yang "sia-sia dan membuang masa". Selepas satu persatu buku Buddhadasa Bhikkhu saya baca (saya tidak pasti berapa buah), saya pun membuat kesimpulan bahawa ajaran Buddha adalah ajaran yang agung yang tiada pada mana-mana agama, tetapi telah jatuh ke tangan orang yang tiada kebijaksanaan lalu disampaikan kepada khalayak secara tidak tepat. Lagipun, kita terlalu menekankan upacara daripada isinya. Setahun entah berapa kali rapsin, tambun, saibart, punggah pasir masuk wat, berjalan keliling bangunan Ubosot dan sebagainya, tidakkah membosankan. Aktiviti begini tidak membuka ruang untuk kebijaksanaan tumbuh, apatah lagi bercambah dan mekar.

Sebaliknya, Buddhadasa Bhikkhu membawa saya melihat agama Buddha dari sudut baru yang mencabar tetapi merangsang kebijaksanaan. Dari situlah saya bertatih untuk mengenali agama anutan saya. Setakat ini, saya berbangga kerana dapat berjumpa dengan Buddhadasa Bhikkhu dan membaca karya beliau yang saya rasa tiada bandingannya. Beliau telah memberikan "mata" kepada saya untuk melihat Buddha Dhamma dengan lebih terang. Buddha Dhamma adalah sains yang tersorok di sebalik ritual-ritual atau permata yang tertimbus di bawah lumpur. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk mencarinya.

Hari in, saya akan menyorot sudut pandang Buddhadasa Bhikkhu dalam beberapa perkara.

Dalam Kitab Tipitaka dijelaskan bahawa Phra Sodaban (Sotapanna) akan kembali ke dunia ini tidak lebih daripada 7 kali lagi.

Kita sering mentafsir makna "kali" sebagai "lahir"(jati) yang merujuk kepada lahir daripada perut ibu. Maka kita akan faham bahawa Phra Sodaban akan "dilahirkan" semula ke dunia tidak lebih daripada 7 kali lagi.

Namun, Buddhadasa Bhikkhu memberi 2 penjelasan, iaitu (1) kelahiran 7 kali merupakan ajaran yang diajarkan secara ikut-ikutan dan (2) perkataan "kali" tidak semestinya bermaksud jumlah kelahiran dari perut ibu. Mungkin merujuk kepada jumlah kemelekatan (upadana) terhadap "diri aku" sehingga  menyebabkan lahirnya bhava (kewujudan) dan jati (kelahiran) dalam kehidupan sekarang. Dalam sehari, kita mungkin "lahir" beberapa kali mengikut kelahiran nafsu (tanha).

Maknanya, "kali" bagi Buddhadasa Bhikkhu merujuk kepada "kelahiran" dalam kehidupan sekarang yang ditentukan oleh kelahiran nafsu. Kelahiran ini merujuk kepada kelahiran perasaan. Contohnya, sebelah pagi kita marah, bermakna kita sedang lahir di alam kemarahan. Sebelah petang kita hilang marah, bermakna kita mati daripada alam kemarahan. Kemudiannya kita gembira, bermakna kita telah mati daripada alam kemarahan dan lahir di alam kegembiraan.

Penjelasan yang diberikan oleh Buddhadasa Bhikkhu selari dengan penjelasan beliau tentang Paticca-samuppada. Beliau berkata, proses Paticca-samuppada terbentuk di dalam kehidupan sekarang sahaja yang tidak melibatkan kehidupan lampau atau kehidupan akan datang. Maksudnya pembentukan Paticca-samuppada - bermula daripada Avijja, Sankhara, Vinyan, Nama-rupa, Ayatana, Phassa, Vedana, Tanha, Upadana, Bhava, Jati, Jara, Morana dan segala Dukkha melibatkan kehidupan sekarang sahaja.

Sedangkan, dalam Kitab Visuddhimagga, diterangkan bahawa:

1. Avijja dan Sangkhara adalah "sebab/punca" dari kehidupan lampau.

2. Vinyan, Nama-rupa, Ayatana, Phassa dan Vedana adalah "akibat/hasil" dalam kehidupan sekarang.

3. Tanha, Upadana dan Bhava (dalam bahagian Kamma-Bhava) adalah "sebab/punca" dalam kehidupan sekarang.

4. Bhava (dalam bahagian Upatti-Bhava), Jati, Jara dan Morana adalah "akibat/hasil" yang dihantar ke kehidupan akan datang.

Beliau berkata pembahagian begini menyebabkan manusia tidak mampu melakukan apa-apa kerana semuanya berpunca daripada kehidupan lampau yang sudah berakhir. Begitu juga, apabila manusia melakukan sesuatu, manusia tidak dapat menerima hasilnya; baik atau jahat kerana semua akan dihantar ke kehidupan akan datang. Oleh sebab manusia berasa tidak berkuasa melakukan apa-apa, maka manusia memilih untuk melepaskan diri mengikut perjalanan Karma tanpa berusaha membaik diri agar menjadi lebih baik.

Bhikkhu Dhamma Pitaka (P.A Payutto) berkata manusia dilahirkan untuk "membaiki Karma agar lebih baik" bukan untuk "menerima balasan Karma" sebagaimana tanggapan umum. Sekiranya manusia dilahirkan untuk "menerima balasan Karma" maka manusia akan duduk berpeluk tubuh menunggu balasan Karma tanpa berusaha membaiki Karma. Sedangkan manusia berhak menikmati hasil Karma yang lebih baik yang dilakukan dalam kehidupan sekarang.

Ramai yang setuju dengan pendapat Buddhadasa Bhukkhu dan Dhamma Pitaka, tetapi ramai juga yang tidak bersetuju. Mereka yang tidak bersetuju berpendapat Paticca-samuppada terbentuk mengikut melalui 2 kaedah  iaitu (1) mengikut kaedah yang diterangkan dalam Kitab Visuddhimagga dan (2) mengikut kaedah yang diperjelaskan oleh Buddhadasa Bhikkhu.

Maka pendapat tentang "kelahiran" Phra Sodaban juga terbahagi kepada 2 iaitu (1) bersetuju dengan Buddhadasa Bhikkhu dan (2) bersetuju bahawa Sodaban mesti melalui kelahiran dari perut ibu sekurang-kurangnya 7 kali sebelum Arahant.

Tafsiran dhamma mengikut sudut pandangan Buddhadasa Bhikkhu masih baru berbanding dengan usia agama Buddha yang telah melebihi 25000 tahun. Oleh itu, penerimaannya tidak begitu mudah terutama golongan konservatif.





No comments: