Sunday, September 23, 2012

Bijak Mentafsir Dhamma

Apabila kita membaca kitab agama, terutama kitab Tipitaka, kita mesti bijak membezakan antara bahasa manusia dengan bahasa dhamma. Bahasa manusia biasanya ditulis secara tersurat, manakala bahasa dhamma ditulis secara tersirat.

Mungkin ada orang bertanya, kenapa masa mendengar khutbah dhamma, selalu rasa mengantuk?

Ini jawapannya.

Pada zaman Buddha, pernah ada 5 orang upasaka (Thai: ubasok) datang mendengar khutbah dhamma daripada Buddha dengan perlakuan yang berbeza-beza. Seorang duduk mendengar dhamma sambil tidur, seorang duduk melakar tanah dengan jari, seorang duduk menggoncang pokok, seorang duduk merenung langit dan hanya seorang yang duduk mendengar dhamma dengan hormat.

Phra Anon lalu bertanya kepada Buddha, kenapa 5 orang tersebut berperlakuan begitu?

Buddha berkata bahawa:

(1) Orang yang duduk tidur kerana pernah dilahirkan sebagai ular selama 500 kehidupan tetapi belum kenyang tidur. Datang mendengar khutbah dhamma pun masih tidur.

(2) Orang yang melakar-lakar tanah dengan jari kerana pernah dilahirkan sebagai cacing tanah selama 500 kehidupan. Oleh sebab sudah biasa mengorek tanah, maka datang duduk mendengar dhamma pun masih melakar-lakar tanah dengan jari.

(3) Orang yang duduk menggoncang pokok kerana pernah dilahirkan sebagai monyet selama 500 kehidupan. Sekarang datang mendengar dhamma pun masih duduk menggoncang pokok.

(4) Orang yang duduk mendengar dhamma sambil merenung langit kerana pernah dilahirkan sebagai Brahmana, tukang tilik masa berdasarkan bintang-bintang di langit selama 500 kehidupan. Sekarang pun masih duduk merenung langit hingga tidak mendengar khutbah Buddha.

(5) Orang yang duduk mendengar khutbah Buddha dengan hormat kerana pernah dilahirkan sebagai Brahmana yang kuat menuntut ilmu, mencari kebenaran selama 500 kehidupan. Sekarang apabila jumpa Buddha, berusaha mendengar dhamma hingga mencapai Sodaban.

Sudah tahu jawapannya. Lain kali berusaha mendengar khutbah dhamma dengan hormat.

Ini contoh bahasa dhamma. Jumlah 500 begitu banyak dijumpai di dalam kitab Tipitaka. Misalnya, 500 kehidupan, 500 buah kereta lembu, 500 ekor gajah, 500 ekor kuda dan sebagainya. Jumlah 500 ini merujuk kepada jumlah yang banyak. Jikalau diletakkan kepada perbuatan, menunjukkan perbuatan yang kerap berlaku.

Kelahiran sebagai ular, cacing, monyet, penilik masa dan pencari ilmu adalah perumpamaan untuk disesuaikan dengan perlakuan manusia. Manusia yang suka tidur diumpamakan seperti ular. Masa mendengar khutbah Buddha pun dia masih tidur. Orang yang suka korek-korek tanah diumpamakan seperti cacing tanah kerana cacing tinggal dalam tanah.

Kesimpulannya, kita mesti bijak mentafsir dhamma. Tafsiran yang salah membawa kepada pemahanam dan seterusnya amalan yang salah.



1 comment:

adirecsankai said...

betul kata Tuan Pena..dulu semasa saya mulai belajar Dhamma,ada kandungan yg menyatakan 'Buddha dikelilingi oleh 200 000 sami'..pada masa itu,saya juga pernah fikir 'siapa yang kira bilangan sami itu,kira betul tak tu'..hehee..jadi saya pun ajukan soalan ini kepada guru saya..beliau menyatakan,bilangan itu hnya melambangkan bilangan yang sangat2 banyak..mungkin lebih banyak atau mgkin juga lebih kurang dari jumlah yang ditulis..