Monday, September 17, 2012

Ciri-ciri Seorang Pemimpin Yang Baik


Orang bertanya pandangan saya berkenaan pembinaan patung Phra Phrom (Brahma) di wat Thai. Phra Phrom dewa dalam agama Hindu, kenapa mesti dibina di dalam wat agama Buddha. Soalan ini rasanya lebih sesuai ditujukan kepada pihak wat yang membina Phra Phrom di dalam wat mereka. Pandangan saya tidak akan mengubah apa-apa. Jikalau ikut pandangan saya, pembinaan semua jenis patung harus diterhadkan. Matlamat agama Buddha bukan untuk sembah patung. Bahkan pembinaan patung bertentangan dengan konsep Anatta. 

Berbalik kepada patung Phra Phrom. Secara pribadi saya tidak menggalakkan pembinaannya. Akan tetapi bagi wat yang telah membinanya, kita boleh melihatnya dari sudut yang positif. Kita tidak melihat apa yang tersurat, tetapi melihat apa yang tersirat. Phra Phrom mempunyai 4 muka yang secara tersiratnya mewakili Metta, Karuna, Mudita dan Ubekkha. Empat ciri ini dalam agama Buddha dikenali sebagai Phrom Viharn 4 (Brahma Vihara 4). Phrom Viharn 4 merupakan dhamma yang sangat penting. 

Menurut Than Chau Khun, Phra Dhammapidok (P.A. Pyutto), dalam agama Buddha, seorang pemimpin mesti mempunyai empat dhamma ini. Seorang pemimpin yang mempunyai Metta, Karuna, Mudita dan Ubekkha adalah pemimpin agung yang tiada galang gantinya. Pemimpin negara, pemimpin masyarakat, pemimpin keluarga mahu pun pemimpin agama yang mempunyai Phrom Viharn 4 pasti membuahkan kejayaan dalam kepimpinannya. 

Setiap pemimpin, selain mempunyai Phrom Vharn 4, dia juga mesti mempunyai "4 muka" seperti Phra Phrom. Manusia hanya mempunyai sepasang mata. Phra Phrom mempunyai 4 pasang mata yang boleh dilihat ke 4 arah. Seorang pemimpin yang baik harus melihat ke 4 arah. Lazimnya, pemimpin hanya melihat ke arah depan sahaja. Pemimpin begini hanya mementingkan "orang di depannya" sahaja. Orang di sisi dan di belakang tidak dipedulikan. Maklumlah "orang di depan" ialah orang besar yang harus diberikan perhatian. Sedangkan orang di sisi hanya rakan taulan, manakala orang di belakang hanya pengikut yang tidak penting sangat. Oleh itu, cukup sekadar memandang ke depan sahaja. 

Sebaliknya, pemimpin yang baik umpama Phra Phrom yang mempunyai 4 muka yang memandang ke semua arah - depan, belakang, kiri dan kanan. Orang besar, orang kecil, orang kaya atau orang miskin diberikan perhatian yang sama rata. Bukan hanya memberikan perhatian kepada Perdana Menteri atau Menteri sahaja, tetapi kepada orang bawahan, sahabat seperjuangan, masyarakat dan orang perseorangan diberikan perhatian yang sama rata. 

Apabila  sifat Metta, Karuna, Mudita dan Ubekkha disertai dengan pandangan yang saksama ke semua arah, maka dialah pemimpin yang hampir sempurna sifatnya sebagai seorang pemimpin. 

Masalah yang sering timbul berkenaan pemimpin dan kepimpinan adalah berpunca daripada pemimpin yang tiada Phrom Viharn 4. Apabila pemimpin tiada Metta (kasih sayang) maka pemimpin cenderung mengabaikan orang lain. Kerana tiada perasaan kasih sayang, dia tidak dapat menyelami perasaan dan masalah orang lain dengan baik. Manakala pemimpin yang tiada Karuna tidak akan berusaha membantu orang lain agar bebas daripada masalah yang dihadapi. Pemimpin yang tiada Mudita pula tidak berasa bangga apabila orang lain mendapat kebaikan. Malahan sesetengahnya berasa dengki dan cemburu apabila orang bawahannya mendapat pengiktirafan. Sikap begini membawa kepada perbuatan tarik kaki sesama sendiri. Bagi pemimpin yang tiada Ubekkha, tindakan yang adil sukar dilakukan apabila melibatkan masalah keluarga atau saudara mara dengan pihak lain. Dia cenderung menyembelahi keluarga atau sanak saudaranya. 

Pemimpin yang tiada Phrom Viharn 4 dan hanya "memandang ke satu arah sahaja" akan mencetuskan perbuatan rasuah, kronisme dan nepotisme.  

Selain itu, Phra Dhammapidok memberikan 4 ciri lagi bagi menjadi pemimpin yang baik. Empat ciri tersebut ialah kemahiran dalam berinteraksi dengan masyarakat yang dipimpinnya. 

Empat ciri tersebut ialah: 

(1) Bercakap dengan jelas, apakah matlamat dan tujuannya. 

(2) Bercakap hingga orang lain yakin dan sedia melakukannya.

(3) Bercakap hingga menaikkan semangat yang berkobar-kobar di kalangan pendengar. 

(4) Bercakap melahirkan harapan bahawa ia akan memberikan hasil sebagaimana yang diharapkan.

Kesimpulannya, mempunyai Phrom Viharn 4, memandang secara saksama ke semua arah dan mempunyai kemahiran berinteraksi merupakan ciri-ciri pemimpin yang baik yang boleh diharapkan membawa kejayaan kepada masyarakat yang dipimpinnya. 


2 comments:

Anonymous said...

Susah mau cari pemimpin begitu, Tuan.

Anonymous said...

Kritikan tajam. Siapa makan cili, terasanya panas!