Thursday, September 6, 2012

Intipati Pencerahan Sempurna @ Trassaru

Seorang kenalan mengaku bahawa dia agak keliru dengan agama Buddha kerana hasil daripada bacaan dengan amalan harian masyarakat amat berbeza. Amalan golongan yang pernah pergi samadhi juga berbeza dengan amalan orang-orang kampung. Amalan bhikkhu di wat yang menganjurkan vipassana tidak sama dengan amalan bhikkhu di wat biasa. Amalan bhikkhu di wat bandar dengan wat hutan pun berbeza.

Bukan setakat kenalan saya ini yang keliru. Dulu saya pun keliru. Saya rasa masih ramai yang keliru. Puncanya kerana adat dan ibadat itu telah dicampur-adukkan oleh masyarakat kita. Teras dan ritual telah disatukan menjadi air batu campur. Ajaran tulen dengan ajaran palsu diadunkan umpama rojak mamak. Maka bukan mudah untuk dipisahkan oleh orang biasa seperti kita.

Dalam Dhammacakkappavattana Sutta, Buddha menerangkan kepada Pancavakkhi tentang kebenaran yang diperolehi melalui Trassaru. Kebenaran tersebut ialah Ariya Sacca 4.

Buddha berkata bahawa cakkhu (penglihatan), yana (pengetahuan), panya (kebijaksanaan), vijja (ilmu) dan pencerahan telah lahir di minda Baginda tentang dhamma yang tidak pernah didengar oleh Baginda sebelum ini iaitu tentang Ariya Sacca 4. 
(1). Buddha berkata terdapat dua perkara yang melampaui batasan yang mesti dielakkan oleh semua banpachit (pabbajjit). Apakah dua perkara tersebut? Pertama, perbuatan bergelumang dengan nafsu deria yang membawa kepada kenikmatan dan keseronokan duniawi. Ini perbuatan orang biasa, bukan perbuatan golongan Ariya dan ia tidak membawa faedah (kepada Ariya). Kedua, amalan menyeksa diri sehingga membawa kepada kesengsaraan (dukkha). Ini bukan perbuatan golongan Ariya dan ia tidak membawa faedah (kepada Ariya).

(2). Amalan mulia yang tidak melibatkan dua perbuatan di atas ialah Jalan Tengah yang terdiri daripada 8 perkara iaitu:

1. Sammâ-Ditthi (Pandangan yang Benar).
2. Sammâ-Sankappa (Hajat yang Benar).
3. Sammâ-Vaca (Percakapan yang Benar).
4. Sammâ -Kammanta (Perilaku yang Benar).
5. Sammâ-Ajiva (Sara Hidup yang Benar).
6. Sammâ-Vayama (Cara Berusaha yang Benar).
7. Sammâ-Sati (Daya Ingatan yang Benar).
8. Sammâ-Samadhi (Konsentrasi yang Benar).

Inilah Jalan Kebenaran yang diperolehi oleh Buddha melalui Pencerahan Sempurna (Trassaru). Jalan Kebenaran ini membawa kepada pengetahuan yang benar, ketenteraman minda dan Nirvana. 

(3). Kebenaran yang mulia ialah; kelahiran adalah dukkha (kedukaan/kesengsaraan), ketuaan adalah dukkha, kesakitan adalah dukkha dan kematian adalah dukkha, berjumpa dengan perkara yang tidak disukai adalah dukkha, berpisah dengan perkara yang disayangi adalah dukkha, tidak mendapat perkara yang dikehendaki adalah dukkha, kesimpulannya upadana (kemelekatan) kepada Khandha 5 adalah dukkha.

(4). Punca yang melahirkan dukkha ialah tanha (nafsu). Tanha membawa kepada kelahiran semula, membawa kepada kemahuan, membawa kepada kelekaan, membawa kepada ketagihan terhadap perasaan. 

Tanha terbahagi kepada 3 jenis iaitu: 

(a) Kama-Tanha (kemahuan terhadap kenikmatan Panca Indera (Kama-Guna 5), misalnya mahu sedap, mahu seronok, mahu hiburan dan sebagainya); 

(b) Bhava-Tanha (kemahuan terhadap sesuatu yang dirasa baik, misalnya mahu kaya, mahu jadi orang besar, mahu dilahirkan di syurga, mahu jadi Dewa, mahu dinaikkan pangkat dan lain-lain);
 
(c) Vibhava-Tanha (ketidakmahuan terhadap sesuatu yang dirasa tidak baik, misal tidak mahu jadi miskin, tidak mahu jadi buruh kasar, tidak mahu kena penyakit, tidak mahu masuk neraka, tidak mahu jadi haiwan dan sebagainya).

(5). Untuk menghapuskan dukkha, seseorang mesti memadamkan tanha. 

(6). Amalan yang membebaskan manusia daripada dukkha ialah mengamalkan Jalan Tengah 8 perkara iaitu Ariya Mangga 8 di atas.

(7). Buddha mendapat pengetahuan tentang perkara yang tidak pernah diketahui sebelum ini iaitu tentang Kebenaran Mulia Ariya Sacca 4.

Ariya Sacca 4 iaitu: (1) Dukkha, (2) Samudaya, (3) Nirodha dan (4) Magga. Dukkha ialah kedukaan yang mesti diketahui dengan jelas. Samudaya ialah punca-punca kepada kedukaan yang mesti ditinggalkan. Nirodha ialah pembebasan daripada kedukaan yang mesti dicerahkan. Magga ialah kaedah amalan untuk pembebasan minda yang mesti diwujudkan

Selagi tidak mendapat "pengetahuan yang sempurna", selagi itu Buddha tidak akan mengisytiharkan diri sebagai Anuttara Samma Sambodhiyana.

Setelah mendapat "pengetahuan yang sempurna" tentang Ariya Sacca 4 barulah Buddha mengisytiharkan diri bahawa Baginda telah berjaya mencapai Trassaru sebagai Anuttara Samma Sambodhiyana di dunia, di deva-loka, brahma-loka, mara-loka, dalam kumpulan makhluk dan brahmana, dewa dan manusia. 

Ciri-ciri pengetahuan yang sempurna ialah: 

(Ciri ini juga dipanggil 3 sifat dengan 12 keadaan. 3 perkara x 4 perkara dalam Ariya Sacca 4 = 12)

1. Sacca-yana: Kebijaksanaan yang membawa kepada pengetahuan yang benar dalam Ariya Sacca 4 bahawa dukkha merupakan keadaan yang memang wujud. Pengetahuan yang benar inilah dipanggil Sacca-yana. 

2. Kicca-yana:  Kebijaksanaan yang membawa kepada pengetahuan tentang tugas yang harus dilakukan terhadap Ariya Sacca 4, misalnya Dukkha mesti diketahui dengan jelas, Samudaya ditinggalkan, Nirodha dicerahkan dan Magga diwujudkan. 

3. Kata-yana: Kebijaksanaan yang membawa kepada pencerahan dalam tugas yang telah disempurnakan dalam Ariya Sacca 4 iaitu merujuk kepada Pencerahan Sempurna atau Nirvana setelah berjaya memadamkan segala Kilesa.

Dalam agama Buddha, pengetahuan yang sempurna mesti mempunyai 3 ciri di atas. Setelah memenuhi ciri-ciri ini barulah Buddha mengisytiharkan diri sebagai Trassaru. 

Inilah sebenarnya perkara-perkara yang diperolehi oleh Buddha melalui Trassaru yang kesemuanya berkaitan dengan Ariya Sacca 4 sahaja. Buddha pernah berkata pengetahuan Baginda umpama daun-daun pada pokok dan yang diajarkan kepada kita sekadar daun-daun dalam genggaman. Kesemua daun ini berkaitan dengan Ariya Sacca 4 semata-mata. Buddha mengajar manusia untuk mencapai Nirvana. Ariya Sacc 4 ialah komponen kepada Nirvana. Oleh itu, tidak menjadi keperluan kepada Buddha untuk mengajar perkara-perkara lain kepada manusia. 

"Perkara-perkara lain" yang berlambakan dalam masyarakat kita hari ini bukan ajaran Buddha tetapi tokok tambah yang berlaku dari masa ke masa. 

Agama umpama sebatang sungai. Sungai berpunca dari pergunungan tinggi yang airnya jernih dan bersih. Dalam alirannya, sungai melalui pelbagai permukaan bumi - tanah tinggi, dataran, lembah, muara dan akhirnya ke lautan. Sungai mengalir bersama proses hakisan yang membawa masuk batu, pasir, tanah dan lumpur ke dalam sungai. Apabila tiba di kawasan petempatan, sungai akan membawa bersama sampah dan bangkai. Apabila melalui kawasan kilang sungai membawa pula racun dan toksid. Sebelum tiba di lautan, sungai sudah menjadi tenat dan sarat dengan kotoran. Untuk meminum air sungai, kita memerlukan penapis.

Begitu juga dengan agama. Agama Buddha telah melebihi 2500 tahun. Tentulah tidak sedikit "lumpur dan sampah" yang terkandung dalam alirannya. Oleh itu kita memerlukan penapis yang baik agar kita tidak terminum sekali air yang berlumpur dan bersampah. Diri kitalah penapis tersebut. Kita mesti menjadi penapis untuk diri kita. Kita tidak boleh menerima semua apa yang kita lihat dan dengar, melainkan kita tapis terlebih dahulu. 

Kesimpulannya, Buddha hanya Trassaru tentang Ariya Sacca 4. Okeh hal demikian, hanya Ariya Sacca 4 dan dhamma yang berkaitan sahaja diberikan tumpuan. Perkara-perkara lain harus dibuang sebagaimana kita membuang sampah, lumpur, keladak dan kotoran di dalam air sebelum diminum. 

Bacaan lanjut/Rujukan:

(ธัมมจักกัปปวัตตนวรรคที่ ๒
ตถาคตสูตรที่ ๑
ทรงแสดงพระธรรมจักร  Tipitaka Thai)

2 comments:

Anonymous said...

Sawaddi, Tuan. Amalan masyarakat kita tersimpang jauh dr ajaran Buddha. Kita pentingkan yg mati dr yg hidup. Minta Tuan beri penjelasan.

Anonymous said...

Sebenarnya amalan kebanyakkan orang kita ialah membuat Derma & BUN untuk bekalan ke Syurga, iaiti selepas mati...itulah amalan yang diwarisi dari orang tua kita.. mengikut fahaman mereka itulah yang betul dan harus dipraktiskan.