Sunday, September 23, 2012

Kehidupan Sekarang Dan Kehidupan Akan Datang

"ชาติหน้าของคนโง่ จะต้องอยู่ ไกล หลังจากตายไปแล้วอยู่เสมอ แต่ชาติหน้าของคนฉลาด ต้องอยู่ที่นี่ และเดี๋ยว นี้ ติดต่อกันไปทีเดียว จึงสามารถ ป้องกันมันได้ คนโง่จะเอาเรื่องเหตุ ไว้ที่ชาติอื่น,
เอาผลไว้ที่ชาติอื่น, แล้วมันจะทำกัน ได้อย่างไร, เช่นว่าเดี๋ยวนี้ เราจะมีความทุกข์ เราต้องการ จะตัดต้นเหตุ ของความทุกข์, แล้วเราเอาเหตุ ของความทุกข์ ไปไว้ที่ ชาติอื่น คือ ชาติที่แล้วมา อย่างนี้ มันจะตัดต้นเหตุ ของความทุกข์ ได้อย่างไร."
-   พุทธทาสภิกขุ

Pemahaman tentang kehidupan sekarang (Thai: chat ni) dan kehidupan akan datang (Thai: chat na) telah diberikan definisi baru oleh golongan reformis agama Buddha, terutamanya Buddhadasa Bhikkhu. Dahulu orang faham khidupan sekarang sebagai kehidupan seseorang selepas dilahirkan dari perut ibu hingga ke mati. Kehidupan akan datang ialah kehidupan selepas mati apabila seseorang dilahirkan semula sebagai manusia. Sebelum dilahirkan semula sebagai manusia, seseorang mungkin terpaksa melalui beberapa kehidupan di alam lain seperti di alam syurga, di alam neraka atau di alam haiwan dalam tempoh yang lama bergantung pada Karma yang dilakukannya.

Misalnya, Buddha telah melalui pelbagai kehidupan, termasuk di alam Dewa dan alam Phrom yang tidak terhitung banyaknya hingga akhir sekali dilahirkan di dunia sebagai Putera Siddharta. Begitu juga dengan pengikut Buddha seperti Saribut, Mongganlan, Phra Anon dan sebagainya pernah dilahirkan entah berapa kali sebelum tiba pada kehidupan terakhir sebagai Arahant.

Jikalau anda pergi cari Luang Phor Charan, beliau juga akan beritahu bahawa anda telah dilahirkan sebagai itu dan ini. Jikalau anda seorang yang kaya, beliau akan berkata anda pada kehidupan dahulu pernah jadi adik beradik dengan beliau. Bahkan beliau berkata beliau pernah jadi Panglima Kanan kepada Prachao Taksin Maharaj. Ada yang percaya. Ada yang tidak percaya.

Masyarakat kita apabila mengalami sesuatu musibah, maka punca akan ditolak kepada Karma yang dilakukan pada kehidupan yang terdahulu (macamlah kita tahu bahawa dahulu kita pernah jadi manusia). Luang Phu Wen Suchinno duduk meditasi hingga punggungnya menjadi kudis dan lama berubat baru baik. Apabila orang bertanya, beliau berkata, Karma. Orang bertanya, kenapa pada kehidupan dahulu Luang Phor pernah buat Karma apa? Beliau berkata, bukan Karma kehidupan dahulu, sebaliknya Karma masa kanak-kanak. Beliau berkata masa kanak-kanak beliau pernah baling punggung lembu dengan kayu hingga terluka. Luka di punggung lembu merebak hingga lama berubat baru sembuh. Itulah puncanya.

Perihal kehidupan sekarang dan kehidupan akan datang merupakan sesuatu yang menarik untuk ditelusuri. Mengikut Buddhadasa Bhikkhu, perkara ini masih mengelirukan ramai orang. Perkara berkaitan kehidupan akan datang bukan perkara yang boleh dibuat andaian; bukan perkara yang boleh diajar mengikut buku, kitab atau kepercayaan turun menurun tanpa pemahaman yang betul.

Kehidupan sekarang (chat ni) dan kehidupan akan datang (chat na) berkaitan dengan perkataan "chat" iaitu lahir atau kelahiran. Apa yang lahir? Kelahiran fizikal atau kelahiran mental? Yang pastinya ialah kelahiran aku atau diri aku; sama ada kelahiran fizikal atau kelahiran mental. Kelahiran fizikal daripada perut ibu hanya berlaku sekali. Akan tetapi kelahiran mental boleh berlaku sepanjang masa. Dalam sehari mungkin berlaku berpuluh-puluh kali kelahiran mental. Kelahiran mana yang menjadi masalah kepada kita? Kelahiran fizikal atau kelahiran mental? Tentulah kelahiran mental. Kelahiran ini sering menimbulkan masalah kepada manusia. Oleh, itu manusia mesti menewaskan kelahiran ini agar tidak menimbulkan masalah. Inilah yang dikatakan kelahiran membawa kedukaan (dukkha). Setiap kali berlaku kelahiran mental, setiap kali akan menimbulkan kedukaan.

Apakah yang dimaksudkan dengan kelahiran mental? Kelahiran mental berlaku pada minda. Kelahiran mental ialah kelahiran upadana tentang "diri aku" dan "milik aku". Kelahiran ini membawa masalah kepada manusia. Buddha berkata, Panca Khandha yang mempunyai upadana akan melahirkan dukkha. Maknanya Panca Khandha yang mempunyai upadana sebagai "diri aku" dan "milik aku" akan melahirkan dukkha. Setiap kali ada upadana, maka setiap kali itulah timbul dukkha. Sebaliknya, Panca Khandha yang tiada upadana, maka tiada dukkha. (Panca Khandha ialah tubuh badan kita).

Panca Khandha Phra Arahant dipanggil Panca Khandha suci kerana tiada kilesa dan upadana. Sebab itulah Phra Arahant tiada dukkha. Sebaliknya, Panca Khandha orang biasa seperti kita sekejap ada upadana begitu, sekejap ada upadana begini yang semuanya berpunca daripada "diri aku" dan "milik aku". Sekejap lahir keinginan terhadap perkara itu. Sekejap lahir kebencian terhadap orang ini. Kelahiran ini berlaku berterusan selagi ada upadana. Inilah yang dimaksudkan dengan kelahiran mental.

Oleh itu, kehidupan sekarang dan kehidupan akan datang berkaitan fizikal dengan mental tidak sama. Kehidupan akan datang berkaitan dengan mental mesti mati dahulu baru ada kehidupan akan datang. Manakala kehidupan akan datang berkaitan mental berlaku setiap masa kerana setiap masa berlaku kelahiran baru.

Dalam sehari entah berapa banyak kelahiran baru dan kehidupan baru yang muncul di minda. Kehidupan baru sama dengan kehidupan akan datang. Misalnya, pada waktu pagi kita gembira. Ini kehidupan sekarang. Pada sebelah petang kita belum tahu. Itu kehidupan akan datang. Sekiranya pada waktu petang, kita sedih, maknanya kita telah memasuki kehidupan baru iaitu kehidupan yang sedih. Dalam sehari entah berapa banyak kehidupan kita bertukar ganti. Semuanya mengikut kilesa, upadana dan nafsu. Jika setahun, sepulh tahun atau sepanjang hidup, entah berapa ratus kali kita mengalami perubahan dalam kehidupan. Untuk lebih mudah difahami kita boleh mengatakan bahawa kelmarin ialah kehidupan lampau, hari ini ialah kehidupan sekarang dan esok ialah kehidupan akan datang. Namun, perubahan pada minda lebih halus lagi. Setiap detik minda berubah. Maka, setiap detik juga kita mengalami perubahan dalam kehidupan. Dalam bahasa dhamma dipanggil "lahir dan padam". Lahir dan padam inilah yang menentukan kehidupan kita.

Perubahan minda membawa kepada perubahan dalam kehidupan kita. Setap kali berlaku perubahan kita akan mengalami kegembiraan atau kesedihan. Perubahan ke arah kebaikan membawa kegembiraan. Manakala perubahan ke arah kejahatan membawa kesedihan.

Kehidupan akan datang (kehidupan baru) yang berlaku di minda tidak perlu menunggu mati. Setiap detik dan masa sentiasa berlaku perubahan.

Kehidupan akan datang bagi orang bodoh terletak sangat jauh iaitu selepas mati. Sebaliknya, kehidupan orang bijak terletak di sini dan sekarang ini secara berkesinambungan. Oleh itu, kehidupan akan datang bagi orang bijak boleh diatasi dengan baik. Manakala orang bodoh, meletakkan "punca" pada kehidupan lain, kemudian meletakkan "hasil" pada kehidupan lain. Bagaimana mahu mengatasinya masalah? Misalnya sekarang kita menghadapi penderitaan, tetapi kita meletakkan "punca" penderitaan pada kehidupan lampau, bagaimana kita mahu menyelesaikannya? Setiap masalah, punca, penyelesaian dan penghasilan mesti berada pada kehidupan yang sama barulah boleh diselesaikan dengan sempurna.


Definisi tentang kehidupan lampau, sekarang dan akan datang mesti difahami dengan betul sekiranya kita mahu menyelesaikan masalah kehidupan dengan berkesan. Sesuatu yang lucu apabila kita meletakkan punca masalah di puncak Gunung Himalaya, kemudian kita cuba selesaikannya di sini dan mengharapkan kejayaannya pada 1000 tahun akan datang selepas kita mati. 



1 comment:

Anonymous said...

Seperti org2 dlm program KAM LIKIT yg menyedari kamma buruk dlm kehidupan kini kerana tidak menjadi sila, kita mesti sedar bahawa kelahiran sebagai manusia adalah sukar dan juga paling bagus untuk menyeberangi laut samsara. Tapi sangat kesal saya lihat pemuda Thai yg saling bunuh membunuh kerana kompetisyen tarian Gangnam !