Friday, September 7, 2012

Konsep Pusingan Hidup Dalam Agama Buddha

Sekarang ini majoriti kaum Buddhis mempunyai pemahaman yang khilaf tentang konsep Vatta Samsara atau pusingan "hidup-mati" dalam agama Buddha. Keadaan ini berpunca daripada pengaruh kepercayaan Brahmana yang menguasai agama Buddha sejak sekian lama tanpa disedari kaum Buddhis. Dalam kitab Tipitaka terdapat begitu banyak ajaran Brahmana. Ajaran Brahmana yang paling penting yang meresapi agama Buddha ialah konsep Citta atau Vinyan manusia yang menjadi Atta dan kekal abadi. (Vinyan ini tidak mati atau tidak padam sama sekali). Vinyan ini mampu keluar dari tubuh badan manusia selepas mati dan akan dilahirkan semula di dalam tubuh badan yang baru yang kita panggil Vatta Samsara atau pusingan hidup (kitaran hidup). (Thai: vian vai tai-kerd).

Misalnya, jikalau siapa yang mempunyai tahap Samadhi yang tinggi, apabila mati akan dilahirkan di dunia Brahma (Phrom). Jikalau buat baik apabila mati akan dilahirkan sebagai Dewa (Devata) di syurga. Jikalau buat baik dan jahat bercampur-campur, apabila mati akan dilahirkan semula sebagai manusia di dunia ini. Jikalau buat jahat tidak banyak, apabila mati akan dilahirkan sebagai haiwan di dunia. Jikalau buat jahat banyak apabila mati akan dilahirkan sebagai Asura atau hantu. Jikalau buat jahat banyak lagi apabila mati akan dilahirkan sebagai Peta (Pret). Jikalau buat jahat terlalu banyak apabila mati akan dilahirkan sebagai makhluk neraka. Ini adalah konsep Karma mengikut ajaran Brahmana yang mengajar bahawa apabila kita melakukan Karma dalam kehidupan sekarang, maka kita akan menerima hasilnya (balasannya) dalam kehidupan akan datang. Konsep Karma inilah yang menjadi pegangan majoriti kaum Buddhis sekarang.

Kaum Buddhis percaya lagi bahawa indvidu yang mengamalkan Sila, Samadhi dan Panya mengikut konsep Ariya Magga hingga sempurna akan mencapai Nirvana - di mana Nirvana ini kebanyakan kaum Buddhis percaya sebagai suatu kematian yang mana Citta atau Vinyan akan padam terus dan tidak perlu kembali kepada konsep pusingan hidup lagi (bebas daripada Vatta Samsara).

Namun, terdapat juga yang percaya bahawa selepas mati Citta atau Vinyan akan tinggal di suatu tempat yang  mana tempatr tersebut hanya ada kebahagiaan (tiada kedukaan sama sekali) dan hidup abadi di situ selama-lamanya. Ini juga pengaruh Brahmana yang mempercayai bahawa Citta atau Vinyan manusia adalah Atta. Kepercayaan inilah yang mencambahkan kepercayaan berkenaan Devata, Puteri Kayangan, Indra (Phra In), Brahma (Phra Phrom), Phaya Yom, hantu, Pret, makhluk neraka, neraka bawah tanah, syurga atas langit dan sebagainya termasuk kehidupan dahulu, kehidupan akan datang dan Karma daripada kehidupan lampau atau pusingan hidup yang melibatkan tubuh badan. Kesemua kepercayaan ini terdapat dalam pendidikan Dhamma tahap moraliti (Sila-Dhamma) yang diajarkan secara meluas di sekolah atau kelas Dhamma sekarang ini.

Manakala ajaran tahap tinggi (Paramattha Dhamma) yang sejati dalam agama Buddha akan mengajar perkara yang bertentangan dengan ajaran Brahmana. Agama Buddha akan mengajar bahawa Citta atau Vinyan kita adalah Anatta - bukan "Atman atau diri" yang kekal abadi seperti ajaran Brahmana. Sebaliknya, Citta atau Vinyan hanya "diri" sementara sahaja yang terbentuk daripada penggabungan elemen-elemen, bukan "diri" yang kekal abadi. Tubuh badan terbentuk daripada penggabungan elemen tanah, air, api dan angin atau udara. Manakala Vinyan (pengetahuan melalui mata, telinga, hidung, lidah, tubuh dan hati) lahir daripada anggota tubuh badan yang masih hidup. Citta atau minda yang mempunyai fungsi berfikir dan menerima perasaan lahir daripada aktiviti Vinyan dan otak. Citta berfungsi untuk mengetahui, merasa, mengingat, mengadun dan berfikir. Oleh itu, tanpa elemen tanah, air, api dan angin, tubuh pun akan mati. Tanpa tubuh badan yang hidup, Vinyan pun tidak akan lahir. Vinyan tidak boleh lahir dalam tubuh badan yang telah mati. Tanpa Vinyan, maka Citta atau minda juga tidak akan lahir. Semuanya mesti ada Vinyan iaitu pengetahuan melalui indera 6. Apabila mata melihat objek, maka lahirlah Vinyan mata (pengetahuan melalui mata atau dipanggil Cakkhu Vinyan). Daripada Cakkhu Vinyan akan lahir pelbagai perasaan, fikiran dan mencetuskan perbuatan; semuanya melalui aktiviti minda - suka, duka, benci, sayang, bertindak begitu, bertindak begini,  berbuat baik, berbuat jahat dan sebagainya. Begitu juga apabila telinga mendengar suara, hidung menghidu bau, lidah merasa masin atau manis, tubuh menyentuh objek. Semuanya melahirkan Vinyan yang membawa kepada perasaan, pemikiran, percakapan dan perbuatan.

Penjelasan di atas berkaitan kelahiran tubuh badan, Vinyan dan Citta manusia (fizikal dan mental) mengikut hukum alam (hukum tertinggi) yang dipanggil hukum Itappaccayata. Hukum inilah yang mengawal pembentukan segala benda. "Segala benda lahir (wujud) mesti ada sebab-sebab atau elemen-elemen (hetu-paccaya) yang bergabung mewujudkannya." Maksudnya segala benda wujud daripada hasil gabungan pelbagai elemen. Bulan, matahari, bumi, gunung, pokok, manusia, kereta dan sebagainya terbentuk daripada gabungan pelbagai elemen. Elemen asas ialah tanah, air, angin dan api.

Oleh sebab tiada Vinyan yang mampu keluar dari tubuh badan yang telah mati, maka sesungguhnya konsep pusingan hidup mengikut Brahmana adalah sesuatu yang mustahil.

Buddha juga ada mengajar tentang Karma dan konsep pusingan hidup tetapi bukan ajaran yang paling penting. Ajaran yang paling penting ialah Ariya Sacca 4. Agama Buddha juga ada mengajar tentang devata, Puteri Kayangan, neraka, syurga dan sebagainya tetapi berbeza dengan apa yang diajarkan dalam Brahmana. Brahmana mengajar benda yang berada di luar tubuh kita, ganjil, tidak dapat dibuktikan, tidak mampu dilihat dan tidak dapat disentuh.

Sedangkan agama Buddha adalah sains yang mana benda yang diajarkan boleh dibuktikan, boleh disentuh, dilihat, wujud dalam mental dan fizikal kita dalam kehidupan sekarang. Cuma sedikit kesukaran untuk memahaminya, tetapi bukan sesuatu yang di luar kemampuan fikiran kita.

Misalnya, apabila kita mempunyai Brahma Vihara 4 (Metta, Karuna, Mudita, Upekkha) atau mempunyai tahap Samadhi yang tinggi, Citta atau minda kita akan tenteram dan bahagia, maka ketika itu kita diumpamakan seperti Brahma (Phra Phrom) di Brahma-loka. Kita diumpakan sedang dilahirkan sebagai Phra Phrom kerana sifat-sifat kita yang mulia seperti Phra Phrom. (Phra Phrom juga merujuk kepada orang baik yang dihormati masyarakat. Ibu bapa juga dipanggil Phra Phrom kepada anak-anak).

Apabila kita malu dan takut (Hiri-Ottapa) kepada kejahatan, hati kita pun tenang dan bahagia, maka kita diumpamakan seperti dewa atau devata di syurga. Apabila kita berpuas hati dan gembira dengan perbuatan baik yang kita lakukan, kita diumpamakan sedang lahir sebagai orang di dunia (orang yang berhati mulia dipanggil manusia). Sewaktu kita berada dalam kejahilan yang melampau, membuat sesuatu yang bodoh dan tidak berperikemanusiaan, maka kita diumpamakan sedang dilahirkan sebagai haiwan.

Sewaktu hati kita dilanda kemahuan yang keras, tamak haloba, maka kita diumpamakan sedang dilahirkan sebagai Peta (Pret). Pret ialah makhluk yang sentiasa dalam kelaparan. Apabila kita melakukan kejahatan yang menyebabkan kita ketakutan (takut ditangkap) hingga terpaksa melarikan diri, hidup bersembunyi-sembunyi, maka kita diumpamakan sebagai Asura atau hantu. Asura dan hantu suka tinggal di tempat terpencil dan tersorok.

Apabila kita sedang marah, maka kita diumpamakan sedang lahir jadi Yak atau gergasi (individu yang ditakuti kerana kejahatan atau kebengisannya). Sewaktu kita dalam kesusahan, kedukaan dan kepanasan hati, maka kita diumpamakan sedang lahir sebagai makhluk neraka yang berada di dalam neraka.

Daripada penjelasan di atas, kita dapat tahu bahawa manusia "dilahirkan" sebagai Phra Phrom, devata, haiwan, hantu, pret dan sebagainya melalui mental. Manusia yang mempunyai minda (moraliti) yang tinggi dan mulia "dilahirkan" di alam yang mulia seperti alam Phrom dan devata. Manusia yang mempunyai tahap minda (moraliti) yang rendah akan "dilahirkan" di alam yang teruk seperti alam haiwan atau neraka. Kelahiran ini hanya perumpamaan bagi merujuk kepada tahap minda seseorang.

Jelaslah bahawa konsep pusingan hidup (Vatta Samsara) dalam agama Buddha merujuk kepada "perubahan minda" kita dari semasa ke semasa akibat kuasa Kilesa yang menguasai diri. Perubahan minda ini berlaku berkali-kali, berpuluh-puluh kali atau beratus-ratus kali dalam sehari. Sebenarnya minda kita mengalami proses "lahir - mati" setiap detik tanpa kita sedari. Dalam sehari kita mengalami pelbagai perasaan - suka, duka, gembira, marah, benci, sayang dan sebagainya. Mungkin sebelah pagi gembira lahir. Sebelah tengah hari gembira mati (padam), lahir pula sedih. Sedih mati, mungkin lahir perasaan lain lagi. Ini baru perasaan, belum lagi diambil kira perbuatan yang juga pelbagai.

Proses "lahir - mati" dalam agama Buddha digambarkan hampir serupa dengan kepercayaan Brahmana tetapi hanya melibatkan aktiviti minda sahaja. Semuanya berpunca daripada Kilesa. Kilesa mempengaruhi minda hingga melahirkan perbuatan melalui tubuh, mulut dan hati (Kaya Kamma 3, Vaci Kamma 4 dan Mano Kamma 3). Setiap perbuatan dipanggil Karma. Apabila ada Karma akan ada hasil atau balasan Karma. Berbuat baik akan mendapat hasil yang baik. Berbuat jahat mendapat hasil yang jahat. Hasil yang baik melahirkan kegembiraan dan kebahagiaan. Hasil yang jahat melahirkan kesusahan dan kesengsaraan. Kegembiraan adalah syurga. Kesusahan adalah neraka.

Ada ketika minda atau hati kita lapang daripada Kilesa (keadaan begini lahir secara semulajadi apabila minda dibakar oleh Kilesa hingga lemah longlai, atau lahir daripada Samadhi yang telah memadamkan Kilesa buat sementara waktu, atau lahir daripada kesuburan Panja hingga memahami keadaan sebenar bahawa "sebenarnya tiada diri aku yang kekal" boleh menyebabkan minda bebas daripada Kilesa, sementara waktu atau selamanya), maka minda kita pun akan bersih (suci), lapang, tenang, nyaman, segar, dan hening. Keadaan yang bebas daripada gangguan Kilesa ini dikenali sebagai Nirvana.

Kesimpulannya konsep Vatta Samsara atau pusingan hidup dalam agama Buddha merujuk kepada perubahan minda akibat daripada pengaruh Kilesa yang berlaku dari semasa ke semasa. Apabila minda kita berubah, sikap dan perlakuan kita juga ikut berubah. Dalam sehari kita mungkin akan jadi Phra Phrom, Devata, hantu, Pret dan sebagainya bergantung pada kuasa Kilesa.

Jadi, kita ada kuasa memilih untuk jadi Phra Phrom, Devata, hantu, Yak, Asura, haiwan atau Peta? Kita juga ada kuasa memilih untuk tinggal di dunia, syurga atau neraka. Jikalau kita mampu mengawal Kilesa, kita boleh jadi Phra Phrom. Jikalau kita gagal mengawal Kilesa, kita mungkin akan jadi hantu, Yak, Asura atau Peta. Jikalau kita berjaya menghapuskan Kilesa, kita akan jadi Arahant. Pilihan di tangan kita!






        




3 comments:

Anonymous said...

Terima kasih saudara KSB, rencana kali ini sangat bagus, amat menarik buat saya. Dari dulu saya hanya jadi pembaca saja kepada rencana saudara, tanpa komen. Tapi tulisan saudara kali ini menimbulkan soalan kepada saya. Entah kenapa saya sendiri pun tak tahu. Persoalannya amat mudah, tapi sukar buat saya, minta saudara beri sedikit pencerahan kepada saya:

Masalah saya ialah, Jika manusia makan dengan cukup adalah dgn cara yg sama iaitu masukan makanan kedalam mulut, kunyah dan telan, hilanglah lapar. Jalan pun serupa, kehadapan, tidur dan pelbagai aktiviti lagi adalah sama. Sebagai manusia biasa. Hanya berbeza warna kulit, banggsa dan agama. Kenapa kepercayaan tentang vinyan atau pusingan hidup tidak serupa pula? Kenapa Islam kata manusia tiada pusingan hidup lagi, hanya kebangkitan semula di padang Mashal saja? Kristian percaya bagaimana? Agama Hindu mungkin lebih kurang dgn Buddha sebab persekitaran penyebaran yg sama iaitu India. saudara boleh huraikan sikit, Kenapa tak serupa saja, sedangkan manusia adalah sama daripada fizikalnya, bagi orang yg tiada agama kemana pula vinyan/roh mereka. Nak pakai hukum agama mana jika mereka buat salah? Saya kurang faham dalam sudut ini. Kita kata Buddha adalah unversal, tetapi kenapa pula adanya agama lain yang mempercayai sesuatu itu dalam sudut lani pula?

pena reformasi said...

Kepelbagaian kepercayaan berpunca daripada pandangan (ditthi). Ada pandagan yang betul (samma ditthi) dan ada pandangan yang salah (micca ditthi). Pandangan yang betul membawa kepada kepercayaan yang betul. Setiap agama mendakwa kepercayaannya yang betul. Siapa akan jadi hakim? Sebagai penganut agama Buddha, saya mesti yakin dengan pandangan Buddha.

Upadana atau kemelekatan (clinging) juga mempengaruhi kepercayaan seseorang. Upadana yang berbeza melahirkan kepercayaan yang berbeza.

Kehidupan manusia di dunia lebih kurang sama, tetapi selepas mati macam-macam kepercayaan timbul. Agama itu percaya begitu, agama ini percaya begini. Kepercayaan bersandarkan pandangan dan tanggapan masing-masing. Realitinya berapa orang yang betul-betul tahu alam selepas mati? Atau sekadar reka cerita untuk menggamit kepercayaan orang ramai?

Sebab itulah Buddha tidak menekankan alam selepas mati. Banyak soalan berkenaan alam selepas mati tidak dijawab oleh Buddha bagi mengelakkan kekeliruan. Buddha minta kita tumpukan kehidupan sekarang dengan baik agar kita dapat mengecapi kebaikan hari ini dan sekarang ini.

Anonymous said...

Saya agak risau bagaimana kesudahan selepas mati kerana agama Kristian dan Islam ada membincangkan kehidupan selepas mati. Kadangkala dalam cerita Kantonis Budha ada juga ditunjukkan juga penjahat kena siksaan oleh dewa di neraka, yang baik mendapat balasan di kayangan atau sorga. Keadaannya dah hampir sama dengan kepercayaan islam.

Saya risau bila 'saudara pena reformasi' mengatakan Buddha tidak menekankan alam selepas mati. Bagaimana jika betul ada siksa neraka dan balsan baik sorga. Mungkin penganut Budha akan ketinggalan..