Sunday, September 9, 2012

Muhasabah Diri!

Matlamat utama agama Buddha adalah untuk membebaskan minda daripada Kilesa. Kilesa ialah kotoran batin atau defilements, mind-defiling, unwholesome qualities. Keadaan minda yang bebas daripada Kilesa dipanggil Nirvana. Nirvana secara harafiah bererti "sejuk". Kilesa bersifat "panas" dan membakar. Apabila Kilesa tiada, minda pun sejuk, nyaman dan tenteram.

Buddhadasa Bhikkhu berkata Nirvana boleh dicapai di sini dan sekarang ini. Kita tidak perlu menunggu mati terlebih dahulu atau menunggu beratus-ratus kelahiran baru pergi Nirvana sebagimana kepercayaan orang tua-tua dahulu. Nirvana bukan tempat. Oleh itu kita tidak perlu pergi. Nirvana ialah "keadaan" yang wujud di dalam diri kita setelah tiada Kilesa. Diri kita umpama sebiji gelas berisi air yang berkeladak. Air keruh kerana keladak. Sekiranya keladak dikeluarkan (melalui penapisan) air akan jernih. Diri kita pun sama. Kilesa umpama keladak. Sekiranya Kilesa dibersihkan, diri kita pun suci.

Kaedah membersihkan Kilesa ada pelbagai, tetapi semuanya menjurus kepada 2 pembebasan yang dipanggil Ceto-Vimutti dan Panya-Vimutti. Kedua-dua pembebasan ini mesti mempunyai Samadhi sebagai dasar. Ceto-Vimutti memberi penekanan kepada Jhana Samabat. Manakala Panya-Vimutti memberi penekanan kepada kebijaksanaan menelaah hingga memahami kebenaran dengan baik. Individu yang mempunyai kebijaksanaan yang tinggi mudah mencapai Panya-Vimutti. Phra Saribut dikatakan mencapai pembebasan minda cara ini. Manakala Phra Mongganla mencapai pembebasan minda melalui Ceto-Vimutti.

Oleh sebab matlamat utama agama kita adalah untuk membebaskan diri daripada Kilesa, maka apa-apa sahaja aktiviti agama yang kita buat mesti menjurus kepada usaha mengurangkan Kilesa.   

Oleh hal yang demikian, setiap kali kita membuat kebaikan kita harus bertanya kepada diri sendiri adakah kebaikan yang kita buat boleh mengurangkan Kilesa? Lazimnya, kita menggunakan "kegembiraan" atau "kesenangan hati" sebagai kayu ukur apabila membuat kebaikan. Apabila rasa gembira dan senang hati, maka kita berkata perbuatan kita berjaya.

Kita selalu terdengar orang yang pergi tambun apabila balik akan berkata mereka berasa sangat senang hati atau puas hati kerana berjaya tambun. Mereka berasa mereka telah mendapat faedah yang tinggi. Malahan bhikkhu pun selalu berpesan apabila membuat kebaikan, kita mesti berasa gembira dan senang hati. Maka setiap kali membuat kebaikan (tambun), apabila hati gembira dan berasa puas hati, kita rasa telah berjaya mencapai matlamat tambun.

Sebenarnya silap. Gembira dan senang hati bukan kayu ukur yang betul. Matlamat tambun untuk mengurangkan Kilesa - Lobha, Dosa dan Moha. Apabila Kilesa habis, minda pun bebas.

Gembira dan senang hati merupakan tindak balas perasaan yang terjadi secara spontan terhadap perbuatan kita. Pengumpul pahala berasa gembira dan senang hati apabila dapat membuat pahala (tambun). Sekumpulan perompak yang berjaya melarikan 3 dulang emas pun akan berasa gembira dan senang hati. Seorang pemburu pun berasa gembira dan senang hati apabila berjaya menembak mati seekor rusa. Jadi, gembira dan senang hati bukan kayu ukur kepada kebaikan.

Pada suatu malam Achan Cha menangis sewaktu duduk Samadhi di kaki bukit. Beliau terkenangkan nasib diri yang terpaksa duduk menderita bermandi hujan di dalam hutan belantara sewaktu orang-orang lain sedang senang-lenang di wat atau rumah. Namun, beliau tetap bertekad akan terus duduk Samadhi hingga hari siang. Jikalau gembira dan senang hati jadi ukuran, Achan Cha tidak lulus kerana beliau tidak selalunya gembira dan senang hati. Adakalanya beliau sedih dan berasa susah hati. Perasaan yang timbul di hati tidak boleh dijadikan kayu ukur kepada kebaikan yang sebenar.

Kayu ukur kepada kebaikan adalah apabila Kilesa kita semakin hari semakin kurang; hati kita semakin hari semakin bijak; dan minda kita semakin hari semakin cerah dengan cahaya Nirvana. 

Kita boleh teruskan tradisi keagamaan kita. Kita boleh teruskan ritual keagamaan kita. Tidak salah kita membawa lilin, colok dan bunga berjalan keliling bangunan Ubosot setiap hari Wesak, Makha atau Asalaha. Tidak salah kita memandikan patung Buddha sempena Hari Songkran. Tidak salah kita buat Sanghadana setiap minggu. Akan tetapi kita harus beringat bahawa setiap aktiviti atau perbuatan yang kita percaya baik itu mesti membantu mengurangkan Kilesa. Jikalau aktiviti tersebut menambahkan Kilesa, bermakna kita telah tersilap langkah. Perbuatan kita telah terbabas malahan songsang daripada matlamat agama kita. Matlamat utama agama kita ialah mengikis dan membersihkan Kilesa hingga akhirnya mencapai Nirvana di sini dan sekarang ini.

Inilah kayu ukur yang sebenar. Setiap kali membuat kebaikan, renungkan sejenang adakah perbuatan kita mengurangkan atau menambahkan Kilesa - mengurangkan atau menambahkan Lobha, Dosa dan Moha; mengurangkan atau menambahkan perasaan dengki, iri hati, cemburu dan sebagainya. Jikalau jawapannya "mengurangkan", maka bolehlah kita gembira dan berpuas hati. Jikalau jawapannya "menambahkan", maka segera membaiki diri kerana perbuatan kita itu telah terpesong.

Ada orang suka tambun, derma kepada wat beribu-ribu jumlahnya. Maklumlah orang kaya. Suatmon dan Sila tidak tinggal. Pantang mendengar ada upacara tanam Luknimit, dia akan pergi. Bahkan apa-apa sahaja tambun dia jarang ketinggalan. Namun, hatinya sejak dahulu hingga sekarang tetap menebal dengan perasaan dengki. Dia suka mengangkat diri dan merendahkan orang lain. Seandainya dia berjaya membuang tabiat buruknya, dia hampir menjadi penganut yang sempurna. Akan tetapi itulah manusia tidak pernah menyuluh diri melihat dan menilai diri. Dia tenggelam dalam perbuatan baiknya sendiri. Dia hanyut dengan pahala yang dibuatnya hingga dia tidak sedar bahawa dia sedang terpesong daripada matlamat utama agama Buddha.

Kita tidak boleh sesat dengan aktiviti yang kononnya membawa kebaikan. Kita mesti bijak membuat penilaian. Matlamat utama agama Buddha ialah membebaskan minda daripada Kilesa. Semua aktiviti atau perbuatan kita mesti menjurus ke arah membersihkan Kilesa.



13 comments:

Anonymous said...

Artikel yang bagus menilai diri. Saya setuju Siam ramai yang makin tambun makin kuat hasad dengki. Pergi wat berpecah berpuak-puak.

Thai Budd said...

Ambo setuju dengan Anon Sept 9, 9.52pm. KSB telah menyiarkan satu artikel yang sangat baik untuk tatapan kaum Buddhis. Memang tidak dinafikan, terdapat banyak wat-wat disekeliling tempat tinggal kita, cuma untuk mendapatkan/pelajari Dhamma untuk hidupan/bekalan harian bagi kaum Buddhist terlalu sukar.

Ambo mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih pada semua mereka yang terlibat dalam KSB kerana tidak pernah berputus asa di dalam peyebaran Dhamma Buddha.. SADHUx3

Anonymous said...

Syabas saudara KSB! saya juga setuju bahawa saudara menyampaikan ilmu agama yang sangat baik kpd kaum Buddha. Adakah anda percaya seperti saya? Kini dunia sudah berubah, kebayakan phothan tempat kita berlainan dgn prak di Thailand. Tidak begitu ramai yg mengajar thammak. Mereka lebih kpd suatmon dan terima tharn orng thambun saja. Kurang juga dalam teknik penyelamatan penganut agama Bhuddha untuk masa 10/20/30/50 atau 100 tahun akan datang. Program penyelamatan agama atau penyebaran ajaran agama kpd kalangan remaja Buddha banyak dilakukan oleh badan NGO dan orang persendirian. Mereka ini sedar suatu hari nanti Siam Buddha dlm negara ini akan berkurangan, ada yg tukar agama dan ramai juga gelar diri sbg atheis. Kenapa sampai jadi begini? Duit di wat banyak, kurang melabur dlm membentuk penggukuhan jatidiri membentuk modal insan beragama Buddha yg utuh dan kuat kpd remaja. Kenapa? Ada salah sebuah persatuan cuba bawa prak Maha untuk beri sedikit ceramah, kita pula tuduh mrk main politik? pening saya. Sedangkan masyarakat lain, hari-hari ceramah agama mereka. Campur aduk, isu politik ada, isu sosial ada dan macam-macam lagi. Tapi tak ada siapa pun pertikai, tak siapa pun memanipulasikan hingga jadi isu hangat dalam masyarakat. Kebanyak mrk menyokong pula krn buat begitu dpt mendekatkan remaja kpd agama mereka. Kenapa kita kaum Siam tidak contohi mereka bagi menggukuhkan jatidiri remaja kita kepada ajara agama kita?

Anonymous said...

RAMAI ORG MINAT TAMBOON DUIT SEBAB SENANG,TAMBOON PRATIS DIRI SUSAH.

pena reformasi said...

Tambun duit pun digalakkan terutama kepada golongan berada. Praktis diri pun mesti dilakukan. Dalam agama, manusia dinilai melalui moral, bukan duit.

pena reformasi said...

Anon 10,2012 11:36 AM. Saya setuju dengan pendapat anda bahawa kita kurang menekankan program pembangunan insan melalui Dhamma. Duit banyak tetapi digunakan untuk perkara lain. Phra yang berilmu ada tetapi tidak digunakan ke arah yang sepatutnya.

Mungkin kurang kesedaran, atau terlalu pentingkan keselesaan yang sedia ada.

Untuk menyebarkan Dhamma atau mengukuhkan jati diri remaja kita dengan Dhamma, kita harus memisahkan daripada program yang berbentuk politik. Program Dhamma mesti Dhamma 100%. Sekiranya ada berbaur politik, orang akan kritik.

Anonymous said...

Tambun duit bina sala, bina kuti, bina patung dewa-dewi lebih senang. Namapun diukir atas dinding buat selama-lamanya dinampak org ramai. Duduk samathi seminit lebih susah.

pena reformasi said...

Buat patung dewa dewi kemudian sembah. Apabila orang kata Siam sembah patung marah. Ha-ha!

Anonymous said...

Masyarakat Siam perlukan anjakan paradigma dalam agama. Artikel dalam KSB cukup rasional dijadikan renungan. Aliran Buddhathat Bhikkhu tidak mengecewakan.

Anonymous said...

Agama akan kembang bila orang berilmu jaga agama. Bila orang jahil jaga agama, lingkup agama dibuatnya.

Anonymous said...

Golongan yang kaya boleh menderma membina wat yang banyak tidak salah.Bila mereka menderma kemudian derma masa untuk mempraktis sila,jangan berhenti setakat di situ.Cubalah lebih dalam lagi dengan bhavana pula.
Begitu juga golongan miskin boleh menderma dengan duit yang sikit,campur sila dan bhavana.Cubalah stabilkan diri kita dengan dhamma.

Anonymous said...

Derma duit banyak-banyak amat digalakkan kerana phra song boleh jadi jutawan segera. kalau orang tak derma duit, amacam phra song mau tukar keleta baru? Hp canggih? Gerlfren cantik? Kihkihkih!

Anonymous said...

Kurangkan dengki antara kita.Banyakkan diri belajar dhamma kemudian lakukan yang berfaedah.sesiapa tidak akan dapat tolong kita kecuali kita sendiri.wahai manusia