Wednesday, September 12, 2012

Phra Malai: Madu Atau Racun?

Mungkin anda pernah mendengar istilah Phra Malai, Desana Mahachat atau Katha Phan (Katha 1000). Phra Malai ini menjadi sumber kepercayaan masyarakat Thai beragama Buddha sejak sekian lama. Sewaktu budak-budak kita selalu dihiburkan oleh orang tua-tua dengan kisah Phra Malai. Kisah Buddha akan datang - Phra Sri Ariya Mettrai (Metteya) yang digambarkan sebegitu sempurna dan indah bersumber daripada Phra Malai. Phra Malai mengisahkan seorang Bhikkhu Arahant yang bernama Phra Malai menjelajah alam syurga dan neraka dan mengetahui segala isinya. Sewaktu di syurga beliau pernah berjumpa dengan Bodhisatva yang bakal dilahirkan sebagai Buddha Sri Ariya Mettrai.

Phra Malai umpama madu dan racun sekali gus?

Phra Malai ialah kesusateraan klasik yang mendominasi fikiran dan kepercayaan masyarakat Thai sejak sekian lama masih menjadi misteri nusantara kerana asal-usulnya belum dapat dipastikan. Berdasarkan struktur penulisan, dipercayai bahawa mungkin berasal daripada kisah "Malai Vatthu" yang dihasilkan oleh sasterawan Sri Lanka dalam bahasa Pali. Penulisnya barangkali seorang bhikkhu. Ditulis pada abad ke-17 BE. Namun, tiada bukti yang menyokong bahawa Phra Malai dihasilkan di Sri Lanka kerana karya ini tiada sama sekali di negara tersebut.

Struktur penulisan kisah Chunkalla dalam kitab Sahassapakon Sri Lanka yang dihasilkan sekitar abad ke-14 BE telah mempengaruhi struktur kisah Malayya Devas Thera Vatthu di Burma. Maka timbul pula pendapat yang mengatakan Phra Malai mungkin berasal daripada Malayya Devas Thera Vatthu yang dikatakan dihasilkan di Burma oleh bhikkhu Burma antara akhir abad ke-16 BE hingga awal abad ke-18 BE. Kisah ini telah tersebar ke Thailand melalui 2 cara melalui Lanna (abad ke-17hingga abad ke-18 BE). Melalui Sukhothai (abad ke-19 hingga abad ke-20 BE).

Akan tetapi tidak wujud versi asal Malayya Devas Thera Vatthu di Burma. Bersandarkan maklumat ini, satu andaian bahawa kisah Phra Malai yang ditulis di Burma mungkin hasil sastera pendek yang dipanggil "Phra Sutta". Lantas wujud nama Phra Malai Sutta. Phra Malai Sutta merupakan kisah teladan seperti kisah Phra Vetsandorn. Oleh itu, tidak dapat dirumuskan dengan tepat asal-usul karya Phra Malai.

Kisah Phra Malai tersebar secara meluas di Negara Thai sejak sekian lama - dalam bentuk sastera dan bacaan mantra (Suatmon). Bahagian yang menjadi sastera ialah Phra Malai Kham Luang yang ditulis oleh Chao Fa Dhammathibet dalam aksara Thai zaman Ayuthaya. Satu lagi ialah "Traiphum Phra Ruang" yang dihsilkan oleh Phaya Dhammaraja Lithai.  Dalam kisah ini tercatat ungkapan "Palayyaka" yang mungkin merujuk kepada Phra Palayyaka" atau kisah Phra Malai. 

Bahagian yang menjadi bacaan mantra (suatmon) ditulis dalam buku "Samut Khoi" dan daun lontar dalam bahasa setempat.  Di Selatan ditulis dalam bahasa Khom atau bahasa Thai. Di Isan dan Chiangmai ditulis dalam daun lontar dalam bahasa Dhamma. Di Selatan dipanggil "Phra Malai Khamkarp". Di Isan dipanggil "Malai Meun, Malai Sen". Di Chiangmai dipanggil "Dika Phra Malai".

Selain Negara Thai, negara jiran yang beragama Buddha seperti Burma, Laos, Kemboja dan Malaysia juga kenal Phra Malai. Perbezaannya mungkin berbeza pada nama atau panggilan tetapi struktur penceritaan dan isinya sama. Tema pun sama. Kisahnya berkisar pada cerita neraka, syurga, dosa, pahala, kebaikan, musibah dan Phra Sri Ariya Mettrai (Mettiya). Tujuannya agar pembaca atau pendengar dapat memahami Karma baik, Karma jahat, balasan Karma, berbuat pahala (tambun), berbuat kebajikan (tamthan), kebaikan tambun dan tamthan dan amalan-amalan yang akan membawa seseorang lahir pada zaman Buddha yang dikenali sebagai Phra Sri Ariya Mettrai (Buddha Penyelamat).

Kisah Phra Malai telah mempengaruhi kepercayaan masyarakat thai dengan begitu kuat dalam hal neraka, syurga, kebaikan dan kejahatan. Habuan membuat baik ialah dapat pergi syurga. Balasan membuat jahat ialah akan ke neraka. Begitu juga dengan kisah Traiphum Phra Ruang. Namun pengaruh Phra Malai lagi kuat sebab penggunaannya yang meluas di dalam masyarakat. Dahulu dalam upacara perkahwinan dan kematian ada dibacakan (suat) Phra Malai.

Kepercayaan yang begitu kuat dipengaruhi kisah Phra Malai ialah kepercayaan tentang Buddha akan datang iaitu Phra Sri Ariya Mettrai. Zaman Buddha Penyelamat ini digambarkan dengan penuh harmoni hingga tiada orang jahat dan kejahatan sama sekali, melainkan keharmonian, ketenteraman dan kebahagiaan sahaja. Tiada lagi keindahan kehidupan yang digambarkan seindah kehidupan zaman Phra Sri Ariya Mettrai ini. Kediaman, pakaian, makanan dan semua keperluan manusia datang dalam bentuk "ajaib/istimewa" (dibba).

Sebenarnya kisah Phra Ariya Sri Mettrai ada dalam Kitab Tipitaka: (Buddha berkata: "Oh, Bhikkhu, apabila manusia mencapai usia 80,000 tahun, maka Buddha yang bernama Mettrai akan lahir di dunia. Baginda seorang Arhant yang mencapai Trassaru dengan usaha sendiri....")

Mahu tahu lebih lanjut, baca rujukan Tipitaka Thai di bawah.


(Rujukan: Kitab Tipitaka)


Dalam Kitab Tipitaka tidak disebut tentang cara-cara tambun untuk dilahirkan pada zaman Buddha Mettrai sebagaimana dalam kisah Phra Malai. Mungkin kisah Phra Malai tercetus daripada imaginasi penulisnya sendiri. 

Dalam Kitab Tipitaka, Buddha Sri Ariya Mettrai tidak berbeza dengan Buddha. Cuma Buddha Mettrai (Metteyya) menguruskan ribuan Sangha, manakala Buddha sekarang hanya menguruskan ratusan Sangha. Ini bermakna Sangha dan penganut agama Buddha Metteyya lebih ramai jumlahnya.

Matlamat asal agama Buddha ialah membuat kebaikan (tambun) untuk mencapai Nirvana, tetapi dalam Phra Malai telah terpesong iaitu membuat kebaikan untuk dilahirkan pada zaman Phra Sri Ariya Mettrai, kemudian baru mencapai Nirvana. Oleh itu, masyarakat begitu gemar membuat kebaikan sebagaimana ditetapkan dalam Phra Malai; misalnya mendengar khutbah (desana) Mahachat yang terdapat Khata 1,000 hinga habis dalam sehari. Desana Mahachat ini umpama kapal besar yang bakal membawa manusia ke zaman Phra Sri Ariya Mettrai.

Betapa kuat pengaruh Phra Malai dapat dilihat pada tradisi masyarakat Thai yang gemar mencetak buku Phra Malai sebagai sedekah kepada sanak saudara yang telah mati. Dipercayai sedekah ini mendapat faedah bun kuson yang banyak. Dalam buku Phra Malai biasanya dicetak sekali dengan Phra Abidhamma 7 Khampi. Maka tidak hairanlah kebanyakan orang memanggil Phra Malai sebagai Khampi Phra Malai.

Phra Malai mempengaruhi kepercayaan masyarakat Thai hingga ke hari ini sehingga ramai yang tidak sedar bahawa Phra Malai sekadar karya sastera. Saya katakan Phra Malai umpama madu sekiranya kita tafsir dan fahaminya dalam konteks sastera. Banyak pengajaran yang kita dapat. Namun, sekiranya kita tafsir dan fahaminya sebagai kitab agama, Phra Malai adalah racun. Inilah yang telah terjadi kepada pemikiran masyarakat Thai sejak berzaman. Phra Malai telah meracuni pemikiran mereka (kita?) kerana mereka menganggap Phra Malai ialah kitab agama yang sahih dan kebenarannya tidak diragui.

Oleh sebab Phra Malai sebuah karya sastera, kita selaku generasi berpendidikan harus mentafsir kisah Phra Malai sebagai hasil kesusasteraan, bukannya sebagai kitab agama. Kitab agama kita ialah Kitab Tipitaka atau Phra Traipidok. Sudah tiba masanya kita menjadikan Kitab Tipitaka sebagai rujukan utama.


10 comments:

Anonymous said...

Siam percaya kepada Phra Malai seperti khek percaya Sejarah Melayu dan Hikayat Han Tuah. Mana ada betul. Mai, balik ke pangkal jalan.

Anonymous said...

Lama meracuni pikiran orang Siam. Fikiran aku diracuni dari dulu... huhhuh.

Anonymous said...

Cerita Phra Malai ada pendidikan moral.

Anonymous said...

Siam suka cerita phra malai seperti kanak-kanak suka cerita hantu, lagi mengerikan lagi syiok!

Sama juga dgn cerita traiphum phra ruang.

Anonymous said...

mitos!

Anonymous said...

Cerita dongeng,mitos,atau khayalan jika mendatangkan faedah apa salahnya.Cubalah berfikir kepada yang membina.Tahi ayam baja juga cik oii

Anonymous said...

Apa faedah dongeng, mitos dan khayalan dalam agama?

Anonymous said...

Tentang neraka bagi orang takut buat dosa.

Anonymous said...

Bagaimana dengan Prathomsompot?

pena reformasi said...

Kisah dalam Prathomsompot Katha juga rekaan. Karya ini asalnya terdapat 2 versi dalam bahasa Pali tetapi tidak diketahui siapa penulisnya. Kemudian Samdej Samana Chao menulis semula ke dalam bahasa Thai dengan melakukan tokok tambah di sana sini.