Sunday, November 4, 2012

10 Kaedah Tambun: Kenapa Fokus Pada Satu?

 Bun Kiriya Vatthu 10 ialah 10 Kaedah Membuat Pahala. Bun saya beri definisi pahala kerana kedua-duanya membawa maksud kebaikan. Dalam agama Buddha, terdapat 10 kaedah asas membuat pahala. Antaranya ialah:

1. Membuat kebajikan @ memberi sedekah (Dana-maya @ Thai: Thana-mai)

2. Menjaga Sila (Sila-maya @ Thai: Sila-mai)

3. Membuat Pavana (Pavana-maya @ Thai: Pavana-mai)

4. Bersopan dan menghomati orang dewasa (Apacaya-maya @ Thai: Apacaya-mai)

5. Mengusahakan pekerjaan yang baik (Veyyavacca-maya @ Thai: Veyyavacca-mai)

6. Berkongsi hasil pahala @ uthit suan bun (Pattidana-maya @ Thai: Pattidana-mai)

7. Menerima hasil pahala @ Anumodana suan bun dengan berkata Sathuk (Pattanumodana-maya @ Thai: Pattanumodana-mai)

8. Mendengar khutbah Dhamma @ mempelajari Dhamma (Dhammasavana-maya @ Thai: Dhammasavana-mai)

9. Memberi khutbah Dhamma @ memberi ilmu Dhamma (Dhamadesava-maya @ Thai: Dhammadesana-mai)

10. Mempunyai pandang yang betul (Ditthucukamma @ Thai: Ditthucukam)

Dalam kesemua 10 Bun kiriya Vatthu ini, majoriti masyarakat Thai hanya fokus kepada Dana-mai. Dana-mai ialah memberi, menyedekah, menderma atau membuat kebajikan.

Dana-mai terbahagi kepada 4 jenis yang asas iaitu:

1. Amisa- dana - memberi material

2. Apayya-dana - memberi kemaafan

3. Vidya-dana - memberi ilmu

4. Dhamma-dana - memberi Dhamma @ ajaran Buddha.

Dalam Dana-mai, terdapat 4 jenis, tetapi majoriti masyarakat Thai memberi keutamaan kepada Amisa-dana semata-mata iaitu memberi atau menyedekah material. Dana yang lain kurang diberikan perhatian. Sedekah material ini termasuklah kediaman, pakaian, minuman, wang dan sebagainya. Antara Amisa-dana yang paling popular di kalangan masyarakat Thai ialah Sanghadana, Kathina dan Phapa. Semuanya dituju kepada Sangha.

Dalam 10 kaedah mendapatkan pahala @ bun, orang Thai hanya mengutamakan 1 sahaja iaitu Dana-mai (memberi atau menyedekah). Dalam 4 jenis Dana-mai, orang Thai juga tumpu kepada Amisa-dana (memberi atau menyedekah material atau kebendaan).

Bukan tidak ada orang Thai yang melakukan kesemua 10 kaedah mendapatkan pahala dan 4 jenis dana, tetapi kurang. Malahan ramai orang Thai yang tidak tahu bahawa terdapat 10 cara mendapatan bun (thambun). Ramai yang menganggap untuk mendapatkan bun kita mesti membuat Sanghadana, Kathina atau phapa, membina kutti, membina patung Buddha, membina bangunan Ubosot, dewan dan sebagainya. Apa yang disebut di sini semuanya termasuk dalam Dana-mai (memberi material). Tambun beginilah yang dianggap oleh orang Thai paling banyak dapat bun.

Anggapan begitu silap. Buddha tidak pernah berkata kaedah mana lebih baik dan banyak mendapat hasil bun. Kesemua kaedah mendapat bun yang sama asalkan kita ikhlas melakukannya.

Bun Kiriya Vatthu 10 apabila digabungkan hanya tinggal 3 iaitu (1) Dana; (2) Sila; dan (3) Pavana @ Panya.

Persoalannya, kenapa apabila hendak "mencari bun" masyarakat Thai hanya fokus kepada "memberi material kepada Sangha @ wat semata-mata? Kenapa tidak kaedah lain yang tidak perlu mengeluarkan modal, misalnya mendengar, membaca dan mendalami Dhamma atau berkongsi Dhamma? Atau menjaga Sila supaya lengkap? Atau mengusahakan sesuatu yang baik? Sebaliknya, apabila tiba musim Kathina, kita begitu sibuk membuat hebahan Kathina dan mengagihkan sampul duit Kathina. Kenapa?

Sebab yang pertama kerana kita diberitahu sejak kecil bahawa tambun kepada Bhikkhu atau Sangha atau wat sangat banyak hasil bun. Siapa yang memberitahu kita? Bhikkhu atau Sangha. Kenapa Bhikkhu kelihatan membuat propaganda supaya masyarakat Buddhist membuat Kathina? Kathina membawa material ke wat. Kathina membawa duit ke poket Bhikkhu. Duit banyak kegunaannya. Kathina Di-Raja paling mewah. Selepas Kathina, Ketua Bhikkhu bersembang pasal apa? Pasal wat siapa dapat duit Kathina paling banyak.

Sejak kecil - malahan sejak berzaman masyarakat Thai ditanamkan kepercayaan bahawa tambun kepada Sangha sangat banyak hasil bun. Bun ialah tiket ke syurga. Dan sejak berzaman juga kita dimomokkan dengan syurga.

Buddha berkata tambun kepada individu suci banyak hasil bun. Ini memang terdapat dalam Kitab Tipitaka. Individu suci dalam agama Buddha dipanggil Ariya atau Ariya Sangha. Ariya Sangha terdiri daripada Sodaban, Sakadagami, Anagami dan Arahant. Ciri-ciri Sangha terdapat dalam bacaan Itipiso (bahagian Supati panno). Untuk mencapai Sodanan, seseorang itu mesti meninggalkan 3 Sangjot yang utama. Sodaban ialah individu yang melihat "cahaya Nirvana" (belum Nirvana, cuma melihat cahaya Nirvana) yang pertama. Oleh itu Sodaban telah berkurangan sikap tamak, marah dan sesat. Jikalau masih tamak duit Kathina, pasti belum Sodaban.

Ariya Sangha inilah individu suci yang apabila kita tambun kepada mereka akan mendapay hasil bun yang banyak. Individu suci ini tidak memerlukan banyak barang keperluan kerana mereka hidup sekadar yang ada. Matlamat hidup mereka ialah pembebasan minda daripada Kilesa. Oleh itu, mereka hanya hidup dengan keperluan asas sahaja. Misalnya, Luang Phu Mun, Kru Ba Srivichai, Luang Phu Wen, Achan Cha, Achan Buddadasa, Luang Phor Kron, Luang Phor Lin Dam (sekadar memberi beberapa nama).

Jikalau memberi entah berapa banyak tetapi tidak pernah cukup, itu bukan Ariya Sangha. Dari kutti kayu, tukar kepada kutti batu. Dari kutti batu setingkat, tukar kepada 2 tingkat. Kemudian pasang pendingin hawa, home teater dan sofa mewah, bukan Sangha tetapi tauke besar.

Adakah saya anti kepada tambun? Tidak. Saya tidak anti kepada tambun tetapi saya mahu masyarakat tahu bahawa mereka harus bijak tambun agar tidak terpedaya dengan propaganda konsumerisme yang meresap ke dalam institusi Sangha kita. Menyekat orang tambun adalah dosa. Namun, memberi petunjuk yang betul tentang tambun adalah pahala. Tambun boleh dilakukan bila-bila sahaja. Kita tidak perlu menunggu Kathina. Perkara yang penting kita mesti tambun mengikut kaedah yang disuruh oleh Buddha.

Dalam Kitab Tipitaka, Buddha paling banyak memberi khutbah Dhamma tentang usaha menghapuskan kesengsaraan (Dukka). Kaedah tambun paling kurang diberikan. Dalam bahagian dana, Buddha menekankan pemberian 4 keperluan asas kepada Sangha iaitu kediaman, makanan, pakaian dan ubatan. Sangha pula dilarang minta sama sekali. (Sekarang pun sami tidak minta, cuma tulis dekat Donation Box dan musim Kathina begini akan dilemparkan sampul duit Kathina).

Kita mempunyai 10 kaedah tambun. Oleh itu, kita tidak perlu taksub kepada mana-mana kaedah sahaja. Kita perlu tambun merangkumi semua kaedah supaya hasil yang kita dapat adalah seimbang. Jika diperhatikan, kesemua 10 kaedah tersebut membawa keseimbangan kepada kehidupan. Kita jangan terpedaya dengan propaganda bahawa: "Tambun duit apabila dilahirkan pada kehidupan akan datang akan jadi orang kaya". Itu propaganda manusia tamak yang mahu duit kita.

Buddha mengatakan bahawa pemberian Dhamma adalah lebih mulia daripada segala pemberian. Buddha tidak pernah berkata memberi emas, perak atau duit lebih mulia. Walau apapun, terpulang kepada pilihan hati masing-masing. Jikalau semua manusia membuat kebaikan dengan cara yang betul, Buddha tidak perlu jadi Buddha kerana orang pada zaman Buddha pun mendakwa mereka juga membuat kebaikan. Jikalau semua orang baik, neraka akan sunyi!








2 comments:

Anonymous said...

Sathuk sathuk sathuk.
Dhamma yang bagus sekali !

Anonymous said...

Dhamma pencelik mata! Jaga ibu bapa, hormat orang tua dan tolong orang sakit juga dapat bun barami. Tapi orang-orang muda sekarang pandang sepi perkara baik begini.