Monday, November 26, 2012

Devata Menganjurkan Manusia Perbanyakkan Tambun

Dalam kitab dikisahkan bahawa para Devata@Dewa selalu datang menghadap Buddha bagi bertanya soalan berkaitan kehidupan. Setiap kali datang, Devata akan memberi hormat kepada Buddha dengan sewajarnya sebelum membuka bicara mengemukakan persoalan. Buddha menerima kunjungan Devata dengan tangan terbuka dan sedia menjawab semua pertanyaan.

Di bawah ini diturunkan 2 sutta yang mengisahkan kedatangan Devata menghadap Buddha.

(1) Setelah memberi hormat kepada Buddha, duduk di tempat yang sesuai, Devata pun berkata:

"Masa akan berlalu pergi, malam pasti beredar. Setiap tingkat umur akan meninggalkan tahapnya . Individu setelah melihat bahaya dalam kematian, harus membuat pahala (tambun) yang membawa kebahagiaan."

Buddha membalas:

"Masa akan berlalu pergi, malam pasti beredar. Setiap tingkat umur akan meninggalkan tahapnya . Individu setelah melihat bahaya dalam kematian, harus meninggalkan kebendaan di dunia untuk menuju kedamaian."

(Sumber: Tipitaka Thai)
......................................................................................

(2) Devata berkata kepada Buddha:

"Kehidupan iaitu umur mempunyai kadar yang singkat yang dikepung sedikit demi sedikit. Individu apabila dikepung oleh ketuaan pasti tiada siapa mampu menghalang. Individu setelah melihat bahaya ini dalam kematian, harus membuat segala pahala (tambun) yang membawa kebahagiaan."

Buddha membalas:

"Kehidupan iaitu umur mempunyai kadar yang singkat yang dikepung sedikit demi sedikit. Individu apabila dikepung oleh ketuaan pasti tiada siapa mampu menghalang. Individu setelah melihat bahaya ini dalam kematian, harus meninggalkan kebendaan di dunia untuk menuju kedamaian."

(Sumber: Tipitaka Thai)
..............................................................................................

Daripada 2 sutta di atas, kita dapat melihat bahawa Devata sangat mementingkan tambun berbanding perkara lain. Apabila sedar bahawa kehidupan ini dipenuhi dengan bahaya (lahir, tua sakit dan mati), Devata menganjurkan agar manusia segera tambun kerana tambun akan membawa kebahagiaan.

Manakala Buddha pula setelah melihat bahaya dalam kehidupan, Baginda menyarankan agar manusia meninggalkan kebendaan (harta) dunia bagi mengecapi kedamaian dalam kehidupan. Meninggalkan di sini bermaksud tidak melekat kepada kebendaan dan tidak menjadi hamba kepada kebendaan. Apabila tidak melekat atau menjadi hamba kebendaan, barulah hati akan menjadi damai, aman dan tenteram. 

Kesimpulannya, Devata menganjurkan manusia memperbanyakkan tambun. Manakala Buddha menyarankan manusia berkorban duniawi. Apabila hendak membuat kebaikan, berhati-hati supaya tidak termasuk ke dalam perangkap Devata hingga membelakangkan saranan Buddha.




2 comments:

Anonymous said...

Mengorbankan duniawi juga tambun, kan tuan pena?

pena reformasi said...

Mengorbankan duniawi "tambun" cara Buddha yang lebih sesuai dipanggil "Kuson" kerana menyuburkan Panya. "Tambun" cara Devata ialah "saksom" (mengumpul) yang memupuk Lobha/tamak.