Wednesday, November 21, 2012

Phahiyak: Mencapai Arahant Paling Pantas

Phahiyak Tharuciriyak Thera merupakan individu yang mencapai Arahant paling pantas. Riwayat Arahant ini sangat menarik. Beliau baru sekali mendengar khutbah Dhamma daripada Buddha - selepas khutbah tamat, terus mencapai Arahant meskipun belum upasampada sebagai Bhikkhu.

Phahiyak seorang peniaga. Pada suatu hari beliau pergi berniaga di Suphannabumi dengan kapal bersama sekumpulan peniaga lain. Tiba di tengah laut, kapal karam. Semua peniaga mati lemas, kecuali Phahiyak. Beliau berpaut pada sekeping papan dan berenang ke pengkalan yang bernama Suparakak.

Semua pakaian telah tertanggal sewaktu bertarung dengan maut di lautan. Beliau tercari-cari kain untuk dijadikan pakaian tetapi tiada. Lantas beliau mengambil kulit kayu dan daun kayu untuk dijadikan pakaian. Dengan berpakai kulit kayu dan daun kayu, beliau menjadi pengemis jalanan untuk mengisi perut.

Orang ramai menyangka beliau seorang Arahant lalu memberi sedekah makanan dan minuman dengan banyak. Ada yang membawa pakaian dan selimut tetapi ditolak oleh beliau. Sekiranya beliau berpakaian dan berkain selimut, orang akan hilang saddha lalu makanan dan minuman pun akan berkurangan. Maka beliau terus memakai kulit dan daun kayu mengemis di jalanan sebagai seorang Arahant.

Seorang Devata yang pernah mempraktis Dhamma bersama-sama Phahiyak pada kehidupan yang lalu (kini jadi Brahma di Brahma-Loka) ternampak perlakuan Phahiyak. Brahma, selaku sahabat lama tidak senang hati melihat Phahiyak menyamar sebagai Arahant lalu datang menegurnya.

"Sahabatku, tuan bukan Arahant, kenapa buat begitu?" tegur Brahma.

Phahiyak tersedar mendengar teguran daripada Brahma. "Oh, saya bukan Arahant. Perbuatan saya tidak wajar sama sekali kerana menipu masyarakat!"

Setelah sedar, Phahiyak pergi mencari Buddha yang ketika itu berada di Kota Savatthi. Beliau mendengar Dhamma desana (penyampaian Dhamma) oleh Buddha. Buddha menasihati beliau menumpukan Tri-Sikkha iaitu Sila, Samadhi dan Panya. Beliau begitu tekun mendengar Dhamma desana tersebut. Apabila Dhamma desana tamat, beliau terus mencapai Arahant.

Beliau mohon upasampata sebagai Bhikkhu. Buddha suruh beliau pergi sediakan bart (pata) dan chivorn (kasa) terlebih dahulu. Pada zaman Buddha, sesiapa yang ingin upasampata sebagai Bhikkhu mesti ada bart dan chivorn. Sewaktu beliau sedang mencari bart dan chivorn, seekor lembu betina meluru dengan pantas dan menanduk beliau dengan kuat. Beliau parinibbana sebelum sempat jadi Bhikkhu.

Keesokan pagi, sewaktu Buddha dan beberapa orang Bhikkhu pergi pindapata, ternampak mayat Phahiyak di sawah. Buddha suruh para Bhikkhu menguruskan mayat Phahiyak dan membina sebuah stupa untuk simpan tulang beliau. Beliau dipuji oleh Buddha sebagai individu yang mencapai Arahant dengan pantas.

Dalam kitab dikisahkan bahawa lembu betina tersebut adalah jelmaan daripada Puteri Yaksini. Puteri ini pada kehidupan dahulu sewaktu jadi manusia dijadikan pelacur oleh Phahiyak. Phahiyak bapa ayam. Kerana Karma sebagai bapa ayam inilah, Phahiyak ditanduk lembu betina tersebut. Mungkin juga kerana Karma menyamar sebagai Arahant (cari makan sebagai Arahant) menyebabkan beliau parinibbana sebelum jadi Bhikkhu.








No comments: