Tuesday, December 25, 2012

Apa Yang Lebih Panas Daripada Neraka?



Buddha berkata, neraka yang dikatakan mempunyai kepanasan yang melampau masih ada. Dalam neraka tersebut, penghuninya masih:

(1) Dapat melihat rupa atau bentuk dengan mata kasar, tetapi rupa yang dilihat hanya rupa yang tidak diingini, rupa yang diingini tidak dilihat; melihat rupa yang tidak digemari, rupa yang digemari tidak dilihat; melihat rupa yang tidak disukai, rupa yang disukai tidak dilihat.

(2) Dapat mendengar suara dengan telinga, tetapi suara yang didengar hanya suara yang tidak diingini, suara yang diingini tidak didengar; mendengar suara yang tidak digemari, suara yang digemari tidak didengar; mendengar suara yang tidak disukai, suara yang disukai tidak didengar.

(3) Dapat menghidu bau dengan hidung, tetapi bau yang dihidu hanya bau yang tidak diingini, bau yang diingini tidak dihidu; menghidu bau yang tidak digemari, bau yang digemari tidak dihidu; menghidu bau yang tidak disukai, bau yang disukai tidak dihidu.

(4) Dapat mengecap rasa dengan lidah, tetapi rasa yang dikecap hanya rasa yang tidak diingini, rasa yang diingini tidak dikecap; mengecap rasa yang tidak digemari, rasa yang digemari tidak dikecap; mengecap rasa yang tidak disukai, rasa yang disukai tidak dikecap.

(5) Dapat menyentuh objek dengan anggota tubuh, tetapi objek yang disentuh hanya objek yang tidak diingini, objek yang diingini tidak disentuh; menyentuh objek yang tidak digemari, objek yang digemari tidak disentuh; menyentuh objek yang tidak disukai, objek yang disukai tidak disentuh.

(6) Dapat mengetahui fikiran dengan minda (atau hati), tetapi fikiran yang diketahui hanya fikiran yang tidak diingini, fikiran yang diingini tidak diketahui; mengetahui fikiran yang tidak digemari, fikiran yang digemari tidak diketahui; mengetahui fikiran yang tidak disukai, fikiran yang disukai tidak diketahui.

Seorang bhikkhu berkata, kepanasan yang melampau, kepanasan yang melampau sungguh, adakah masih ada kepanasan lain yang lebih panas dan lebih menakutkan daripada kepanasan neraka ini?

Buddha berkata bahawa masih ada kepanasan yang lebih panas daripada kepanasan neraka yang melampau ini. Kepanasan tersebut ialah kepanasan yang dialami individu yang tidak mengetahui kebenaran Ariya Sacca 4.

Buddha berkata, Samana atau Brahmana (atau sesiapa sahaja) yang tidak mengetahui dengan jelas tentang kebenaran Ariya Sacca 4 bahawa ini Dukkha, ini Samudaya, ini Nirodha dan ini Magga 8, Samana atau Brahmana tersebut akan terpengaruh kepada semua Sankhara yang membawa kepada kelahiran. Sankhara mempengaruhi fikiran hingga menghasilkan kelahiran demi kelahiran yang tiada kesudahan. Kepanasan pun timbul akibat kelahiran, ketuaan, kesakitan, kematian dan kesedihan. Samana atau Brahmana ini tidak akan bebas daripada kelahiran dan kesengsaraan.

Manakala Samana atau Brahmana yang mengetahui kebenaran Ariya Sacca 4 dengan jelas; mengetahui Dukkha, Samudaya, Nirodha dan Magga 8 dengan terang tidak akan menanggung kepanasan kerana kelahiran, ketuaan, kesakitan, kematian, kesedihan atau kesengsaraan.

Sutta ini sangat penting untuk direnungi. Neraka dikatakan kepanasan melampau kerana benda-benda yang dilihat, didengar, dihidu, dikecap, disentuh dan difikirkan hanya benda-benda yang tidak diingini, tidak digemari dan tidak disukai belaka. Maknanya, benda-benda yang buruk sahaja muncul. Manakala benda-benda yang baik tidak muncul. Itulah yang menyebabkan kepanasan melampau.

Akan tetapi orang yang tidak mengetahui kebenaran Ariya Sacca 4 menanggung kepanasan yang lebih melampau lagi. Oleh itu, Ariya Sacca 4 sangat mustahak diketahui kebenarannya dengan jelas supaya kita tidak perlu menanggung kepanasan melampau yang tiada penghujung.

1 comment:

Anonymous said...

Sathuk! Sathuk! Sathuk!