Sunday, December 16, 2012

Buddha Juga Mengalami Proses Penuaan Seperti Kita

Petang tadi berjumpa dengan sahabat lama secara kebetulan. Kami bersembang sambil minum kopi di sebuah kafe di ibu kota. Dia beritahu bahawa Buddha bukan manusia biasa kerana Buddha sentiasa muda, wajah berseri-seri dan tubuh sentiasa memancar-mancar dengan cahaya (rasemi). Saya berkata, biasanya phrom atau deva yang digambarkan sebagai tubuh memancar-mancar dengan cahaya. Buddha manusia biasa, ada sakit dan tua seperti kita. Dia tidak terima penjelansan saya. Dia berkata, Buddha tidak tua. Tubuh badan Buddha sentiasa muda. Kulitnya tegang, cantik dan bercahaya hingga Parinibbana.

Saya akui bahawa memang ada penganut agama Buddha yang mempunyai kepercayaan seperti sahabat saya itu. Saya tidak pasti dari mana kepercayaan ini datang. Memanglah Buddha bukan manusia biasa. Buddha merupakan "insan tunggal" di dunia yang tiada insan lain sama. Namun, Buddha juga berada di bawah hukum alam iaitu kelahiran, ketuaan, kesakitan dan Parinibbana.

Sebuah Sutta dalam Kitab Tipitaka ada menjelaskan bahawa tubuh badan Buddha juga mengalami perubahan seperti manusia lain. Pada suatu hari, Phra Anon (Ananda) mengurut badan Buddha. Phra Anon berkata bahawa wajah Buddha tidak jernih seperti dahulu, kulit pun kendur, tubuh terbongkok sedikit ke depan dan ada perubahan pada pancaindera iaitu iaitu mata, telinga, hidung, lidah dan tubuh.

Buddha berkata, begitulah kelaziman manusia yang tidak boleh lari daripada tua, sakit dan mati. Ketuaan ada pada kemudaan, kesakitan ada pada kesihatan, kematian ada pada kehidupan, wajah dan warna tidak akan jernih seperti dahulu, kulit pun kendur, tubuh terbongkok sedikit ke depan dan perubahan juga berlaku pada pancaindera.

Daripada Sutta ini dapat kita simpulkan bahawa Buddha juga mengalami proses penuaan seperti manusia lain. Kepercayaan bahawa Buddha sentiasa muda, wajah berseri-seri dan tubuh memancar-mancar dengan cahaya hanya mitos!


(Sumber: Tipitaka Thai)

No comments: