Sunday, December 9, 2012

Chivok: Pakar Perubatan Tradisional

Pelacur (Sopeni) memainkan peranan yang penting dalam agama Buddha. Salah seorang anak pelacur yang terkenal ialah Moh Chivok Komaraphat (Jivaka).

Chivok @ jivaka ialah pakar perubatan tradisional yang terkenal pada zaman Buddha. Beliaulah
 yang mengubati kaki Buddha yang terkena serpihan batu yang diguling turun dari bukit oleh Phra Devathat.

Chivok anak Phrachao Pimpisarn dengan seorang pelacur, bernama Salavadi. Setelah dilahirkan, ibunya bawa pergi buang ke di tepi jalan. 

Putera Apai Rajakumarn (Appaya Rajakumara), iaitu putera kepada Phrachao Bimpisarn (Raja Bimpisara) bersama pengikut bersiar-siar pada waktu pagi. 
(Bonda kepada Putera Apai Rajakumarn juga seorang pelacur). Mereka terlihat sekumpulan gagak sedang menghurung sesuatu di tepi hutan. Putera Apai menitahkan seorang pengikut pergi melihatnya. Pengikut tersebut pergi melihat dan memberitahu kepada Putera Apai bahawa terdapat seorang bayi yang masih hidup. "Jivako! Jivako!" Maksudnya masih hidup! Masih hidup!   

Putera Apai Rajakumarn membawa "Jivako" (Jivaka/Chivok) balik dan memeliharanya di istana sebagai anak angkat (Putera Apai Rajakumarn ialah abang kepada Chivok tetapi berlainan ibu). Phrachao Bimpisarn ini dikatakan Sodaban. Saya tak pasti masa Baginda pergi mencari pelacur sudah Sodaban atau tidak. 

Setelah besar, Chivok pergi menuntut ilmu perubatan dengan seorang pakar perubatan tradisional selama 7 tahun. Selama 7 tahun tersebut, Chivok berbuat apa-apa sahaja, cuci pinggan, sapu sampah dan sebagainya yang disuruh oleh guru sebagai pertukaran dengan ilmu yang dipelajarinya. Chivok pergi berilmu tanpa membawa sebarang bekal atau duit kerana dia pergi tanpa pengetahuan bapa angkatnya, Putera Apai. Dia begitu bijak dan pantas belajar. Dia bertanya kepada guru berapa lama lagi dia boleh menghabiskan ilmu. Guru memberitahu, ilmu perubatan belajar sampai bila-bila pun tidak akan habis. 

Masuk tahun ke-8, beliau hendak pulang kerana sudah terlalu lama meninggalkan rumah. Gurunya mahu menguji kebijaksanaannya lalu menyuruh dia membawa cangkul ke hutan mencari tumbuhan yang bukan ubat. Chivok balik tangan kosong. Dia beritahu gurunya, tiada tumbuhan yang bukan ubat kerana semua tumbuhan adalah ubat. Guru memuji Chivok kerana kepakarannya dalam ilmu perubatan tradisional.

Dalam perjalanan pulang, Chivok kehabisan bekalan makanan. Dia mendapat tahu di negeri tersebut seorang isteri hartawan sedang sakit dan minta mengubatinya untuk bertukar dengan bekalan makanan. Dia berjaya mengubati isteri hartawan yang sakit kepala sejak 7 tahun yang lalu. Ramai pengamal perubatan tradisional terkenal tidak berjaya mengubatinya. Setelah berjaya menyembuhkan sakit isteri hartawan, Chivok diberikan jumlah wang yang banyak. Dari situlah nama beliau mula disebut orang dan terkenal ke seluruh Magadha.

Setelah balik ke rumah, dia berjaya pula mengubati Phrachao Bimbisarn yang menghidap sakit resdung usus iaitu pendarahan melalui dubur. Setelah berjaya, Phrachao Bimbisarn (datuk dan bapa sekaligus) melantiknya sebagai "Pakar Perubatan Di Raja". 

Chivok telah menghadiahkan Taman Ampawan yang terkenal kepada Buddha untuk dijadikan kediaman Baginda dan Sangha. 

Dikisahkan juga bahawa Chivok pernah membedah kepala pesakit yang mengidap sakit kepala hingga berjaya. Oleh itu, sesetengah pakar pengkaji agama Buddha mengatakan bahawa Chivok ialah "doktor" pembedahan pertama di dunia.

Chivok mempunyai seorang adik perempuan daripada sebelah ibunya iaitu Sirima. Sirima seorang pelacur kerana mewarisi pekerjaan ibunya. Kitab mengatakan bahawa Sirima seorang Sodaban. Tiap-tiap hari dia membuat Sanghadana kepada 8 orang bhikkhu.

Inilah "rahsia" agama Buddha yang belum kita ketahui, seorang pelacur pun boleh jadi Sodaban. Sodaban ialah "individu mulia" yang dikatakan mula melihat cahaya Nirvana. Ariya ada 4 golongan, bermula dengan Sodaban, Sakadagami, Anagami dan Arahant. Bayangkan, seorang pelacur pun boleh jadi Sodaban kerana "sattha" dia kepada Buddha, Dhamma dan Sangha tidak berbelah bagi. Malah bukan Sirima seorang, dipercayai masih ada pelacur lain yang jadi Sodaban. Phrachao Bimbisarn pun suka melanggan pelacur tetapi masih boleh jadi Sodaban.

Kita sepatutnya mengambil kisah pelacur jadi Sodaban ini untuk dijadikan renungan bahawa agama kita tidak pernah "tutup pintu" kepada sesiapa untuk menjadi "individu mulia" kerana kerjayanya. Pelacur dipandang hina oleh masyarakat kerana kegiatannya tidak bermoral. Akan tetapi dalam agama Buddha, pelacur jadi Sodaban. Orang biasa pun bukan senang jadi Sodaban. Bahkan bhikkhu pun sukar jadi Sodaban.

Kita patut menyelidiki mengapa Sirima boleh jadi Sodaban. Minda Sodaban ialah minda yang tinggi dan akan jadi Arahant pada masa depan. Apakah ciri-ciri yang ada pada Sirima? Malam dia layan lelaki. Siang dia bagi Sanghadana kepada bhikkhu. Mindanya telah bebas daripada 3 kebelengguan iaitu Sakya Ditthi, Vicikicca dan Silabata-paramasa (silapotpramas).

(Anggulimala seorang pembunuh, tetapi jadi Arahant).

Namun harus diingat bahawa pelacur dahulu dipilih daripada kalangan gadis tercantik dari negerinya dan dilantik oleh Raja. Pemilihannya lebih kurang seperti pertandingan Ratu Cantik hari ini. Istilah "Sopeni" yang kita pakai hari ini berasal daripada istilah "Nakhon Sopeni" yang bermaksud wanita penghias negeri. Sopeni merupakan "penarik" duit ke negeri. Raja dan orang kaya asalkan ada wanita cantik, mereka sanggup berkorban masa dan harta. Pendek kata, pelacur ini satu daripada penyumbang pendapatan negara yang besar.

Chivok, pakar perubatan tradisional yang terkenal dan banyak berjasa terhadap agama Buddha. Walaupun bondanya seorang pelacur, namun dia dan adiknya amat berjasa kepada agama Buddha. Phrachao Bimbisara, bapanya, merupakan penaung agama Buddha pada masa tersebut. 

2 comments:

Anonymous said...

Kalau Phra Ongkuliman dan Mor Jivok boleh, kita pun boleh. Tapi main Iphone lebih disukai org-org zaman kini. Baca Dhamma dan duduk samadhi org kata boring.

pena reformasi said...

Alah bisa, tegal biasa!