Monday, December 10, 2012

Dua Arahant Membawa Dhamma Ke Thailand

Saya tidak akan berhenti menulis hanya kerana desakan orang tertentu. Hari ini saya akan menulis tentang Phra Sonak (พระโสณะ) dan Phra Uttarak (พระอุตตระ). 

Phra Sonak dan Phra Uttarak ini antara 5 orang bhikkhu dari India yang datang menyebarkan agama Buddha ke kawasan Suvanna Bumi (Asia Tenggara). Pada mulanya saya terfikir, bagaimana mereka menyebarkan Dhamma? Apakah bahasa yang digunakan? Orang India masa itu menggunakan bahasa Pali dan Sanskrit. Manakala orang Thai pula menggunakan bahasa Thai. Bagaimana mereka berkomunikasi hingga ajaran Buddha boleh difahami dan tersebar luas di kalangan penduduk Asia Tenggara?

Kemusykilan ini terjawab apabila mendapat tahu bahawa 5 orang bhikkhu tersebut terdiri daripada Phra Arahant Patisampithayan (พระอรหันต์ปฏิสัมภิทาญาณ) iaitu Phra Arahant yang mempunyai kuasa dan kebolehan yang istimewa mengatasi Abinna 6. Antara kebolehan istimewa tersebut ialah mereka boleh bercakap dalam semua bahasa manusia dan bahasa haiwan. Maknanya Phra Sonak dan Phra Uttarak yang membawa ajaran Buddha ke Negara Thai mampu menguasai bahasa Thai dengan baik. 

Phra Sonak dan Phra Uttara ialah adik beradik. Phra Uttara mencapai Arahant terlebih dahulu. Meskipun begitu, Phra Uttara tetap menghormati Phra Sonak, selaku abang yang menjadi bhikkhu terlebih dahulu. Daripada kedua-dua Arahant inilah kita orang Thai menerima agama Buddha. 

Kepercayaan berkaitan kedua-dua Arahant ini agak luar biasa, umpama sebuah mitos. Betul atau tidak, terpulang kepada budi bicara masing-masing. Masyarakat Thai percaya bahawa kedua-dua mereka belum Parinibbana (masih hidup) meskipun usia mereka sudah melebihi 2000 tahun.

Dikatakan bahawa terdapat segelintir bhikkhu aliran Vipassana pernah berkomunikasi dengan kedua-dua Arahant ini. Beliau akan datang mengajar Kammathan kepada phra Vipassana. Phra Vipassana memanggil kedua-dua Arahant ini sebagai "Phra Lok Udhorn" (Pali: Phra Lokuttara). Phra Vipassana percaya bahawa "Phra Lok Udhorn" ini ialah Arahant Patisampithayan yang berusia melebihi 2000 tahun tetapi belum Parinibbana kerana mahu membantu bhikkhu yang mengamalkan Samadhi Pavana. Walaupun begitu, ramai bhikkhu aliran Samadhi Pavana tidak mampu berkomunikasi dengan "Phra Lok Udhorn" kerana tahap ketinggian minda yang tidak sama. Hanya bhikkhu yang mempunyai tahap minda yang sama baru dapat berhubungan dengan kedua-dua mereka.

Kita tolak ke tepi dahulu perihal "keganjilan" Phra Sonak dan Phra Uttarak. Walau apapun kita mengakui bahawa kedua-dua Arahant ini cukup hebat. Mereka mempunyai kebolehan yang sangat luar biasa kerana mampu berkomunikasi dengan penduduk tempatan yang menggunakan bahasa yang berbeza.  Penyampaian Dhamma mereka sangat berkesan hingga mampu menambat hati penduduk tempatan. Pendekatan yang digunakan mereka sepatutnya dijadikan contoh untuk mengembangkan agama Buddha. 

Suatu hal yang biasa apabila kedua-dua Arahant ini membawa masuk ajaran Buddha ialah penentangan daripada sesetengah penduduk yang melekat dengan kepercayaan sedia ada. Kepercayaan sedia ada ialah kepercayaan Brahmana/Hindu dan Animisme. Bukan senang mahu memisahkan manusia daripada kepercayaan yang sekian lama menjadi darah dagingnya. Pastinya pelbagai halangan, rintangan dan mungkin cemuhan dihadapi. 

Namun, Phra Sonak dan Phra Uttarak berjaya melakukannya. Harap kita semua tidak melupakan "Phra Lok Udhorn" yang berjasa ini. Mereka ialah guru pertama kita di bumi Suvanna Bumi!










3 comments:

Anonymous said...

Siapa makan cili terasa pedasnya. Cerita benar memang mengerikan sesetengah orang. Teruskan usaha tuan pena !

Anonymous said...

Biarkan anjing menyalak bukit. Saya peminat setia tulisan Tuan. Saya buka jenis baca melulu. Saya banding dengan web dhamma lain. Tulisan Tuan tidak menyimpang dari dhamma. Sathuk3x.

Anonymous said...

Sawaddi Tuan Pena,

Artikel Tuan beri banyak manfaat kepada saya. Sathuk, sathuk, sathuk!